Thursday 1 October 2015

UNITED KINGDOM: KEMENANGAN JEREMY CORBYN DALAM KEPIMPINAN PARTI BURUH

IDEA-IDEA SOSIALIS MENJADI SEMAKIN POPULAR !

Kemenangan Jeremy Corbyn sebagai pemimpin Parti Buruh England dan ketua pembangkang merupakan kejayaan yang bersejarah bagi perjuangan kelas pekerja Eropah. Jeremy Corbyn merupakan antara 9 ahli parlimen yang berhaluan sosialis di dalam Parti Buruh dimana majoriti daripada wakil rakyat mereka lebih cenderung untuk berjauhan daripada polisi-polisi yang memihak kepada kelas pekerja. Kemenangan Jeremy Corbyn boleh mengembalikan suara bagi organisasi kelas pekerja yang secara tradisinya menjadi kekuatan Parti Buruh. Parti Buruh tidak dipimpin oleh sosialis terutamanya semenjak Tony Blair memimpin parti itu kearah politik yang berpihak kepada pemodal dan kapitalis kaya.
Kemenangan Jeremy Corbyn jelas menunjukkan sokongan rakyat terhadap polisi-polisi yang menentang penjimatan perbelanjaan yang sedang diamalkan oleh kerajaan persekutuan. Konsensus Parti Buruh itu sendiri yang berpegang kepada polisi penjimatan telah dihancurkan dengan kemenangan ini.

Sepanjang pilihan raya, pendokong kapitalis yang menguasai Parti Buruh bersama dengan media massa telah melakukan segala-galanya dalam kuasa mereka untuk menghalang kemenangan Corbyn. Berpuluh-puluh ribu orang telah diketepikan daripada mengundi di pilihan raya kepimpinan parti, kebanyakkannya adalah penyokong Corbyn.
Walaupun begitu, serangan ke atas Corbyn termasuk daripada bekas pemimpin Parti itu seperti Blair, Brown dan Mandelson cuma menaikkan sokongan terhadapnya. Beratus-ribu rakyat biasa yang telah kecewa dengan politik pemimpin pro kapitalis selama ini telah menggunakan peluang yang diwujudkan oleh kempen Corbyn untuk mengutarakan kebencian mereka terhadap langkah-langkah penjimatan perbelanjaan.
Pastinya pihak kapitalis tidak akan berdiam diri dan akan mengambil langkah-langkah untuk melemahkan Corbyn dengan tujuan untuk menyingkirkan dia dengan secepat mungkin. Dengan berbuat demikian mereka akan mendapat sokongan penuh semua penubuhan kapitalis. Dalam beberapa dekad sebelum ini, Parti Buruh telah bertukar menjadi sebuah parti yang berjuang untuk kepentingan golongan kapitalis 1%. Dengan program yang memihak kepada kelas pekerja, Jeremy Corbyn tidak akan dapat menghadapi semua serangan dan kekangan daripada wakil kapitalis yang mendominasi segala mekanisme Parti Buruh.
Bagi memastikan perlaksanaan program anti penjimatan, Corbyn seharusnya mengulangi apa yang telah dicapai dalam pilihanraya kepimpinan parti dan menjana sokongan daripada kelas pekerja dari dalam dan di luar parti. Kebanyakan sokongan beliau telah datang dari 'luar' - ahli baru dan penyokong berdaftar yang tertarik dengan harapan untuk suatu perubahan.
Dari sudut pandang yang berbeza, ini merupakan satu proses pembentukan sebuah parti baru. Beribu-ribu orang yang kebanyakannya terdiri daripada anak muda dan kelas pekerja mendaftarkan diri menjadi ahli baru semenjak kemenangan Corbyn.

APA YANG HARUS DILAKUKAN OLEH CORBYN?

Sebuah persidangan raksasa harus dianjurkan bersama penyokong-penyokong Corbyn, Kesatuan Sekerja dan organisasi-organisasi lain yang menentang penjimatan kerajaan untuk membincangkan sebuah jalan penyelesaian kepada masalah ekonomi dan sosial negara.
Parti Sosialis (CWI England) akan mengambil bahagian dalam persidangan sebegitu dan akan menggalakkan semua kempen anti-penjimatan yang ada untuk melakukan perkara yang sama.
Sebahagian daripada transformasi Parti Buruh menjadi sebuah parti pro-kapitalis adalah dengan memusnahkan demokrasi yang pernah wujud sebelum itu. Maka, Jeremy Corbyn juga harus berjuang untuk mengembalikan suasana demokrasi yang pernah wujud dahulu termasuk suara kolektif kelas pekerja di dalam parti.
Pada masa yang sama keahlian parti itu perlu dibuka. Semua ahli yang dipaksa keluar atau dibuang pada masa lalu kerana menentang birokrasi dan membawa idea-idea sosialis perlu dijemput kembali.

IDEA-IDEA SOSIALIS MENJADI SEMAKIN POPULAR

Sebuah pungutan suara dari agensi Lord Aschroft mendedahkan bahawa 52% penduduk bersetuju bahawa sosialisme merupakan alternatif yang baik kepada sistem kapitalisme. Hampir 68% rakyat England juga menyokong penuh program-program kiri seperti memiliknegarakan syarikat-syarikat tenaga dan pengangkutan Keretapi.
Kekecewaan rakyat terhadap polisi-polisi Parti Buruh sebelum ini telah jelas terbukti apabila mereka kalah di pilihanraya umum lalu kepada Parti Konservatif. Kemenangan bersejarah SNP (Scottish National Party) di Scotland, walaupun kekurangan dalam program, juga merupakan sebuah tamparan yang hebat kepada kedua-dua Parti Konservatif dan Parti Buruh yang mendokong agenda penjimatan.
Jika Jeremy Corbyn berjuang bagi tuntutan-tuntutan rakyat yang sudah wujud seperti gaji minimum £10 ( RM 60 ) sejam, pendidikan percuma, penambahan rumah kebajikan dan pemansuhan undang-undang anti-kesatuan, beliau akan meraih sokongan daripada berjuta-juta rakyat.
Walau bagaimanapun, program kempen Corbyn yang telah dibentangkan secara bertulis sebenarnya agak terhad. Dia tidak menaruh harapan dalam membawa sektor-sektor industri dibawah kawalan organisasi kelas pekerja misalnya. Dalam apa-apa perbincangan, Parti Sosialis akan berhujah bagi keperluan untuk memiliknegarakan syarikat-syarikat dan bank-bank yang menguasai ekonomi di bawah kawalan demokratik kelas pekerja dan komuniti.
Hanya dengan cara itu sebuah masyarakat demokratik sosialis yang dirancang untuk memenuhi keperluan majoriti dapat di bina. Pada masa ini, rakyat dipaksa untuk memaksimumkan keuntungan golongan 1%.
Kemenangan Jeremy Corbyn telah memberikan harapan kepada jutaan rakyat England dan merupakan sebuah tamparan hebat terhadap institusi-institusi kapitalis yang sekian lama telah berkuasa. Jika golongan pro-kapitalis di dalam Parti Buruh itu berjaya menyingkirkan Jeremy Corbyn dari tampuk pemerintahan, ini akan mewujudkan kekecewaan di kalangan ribuan penyokong.
Jika perkara itu berlaku, Parti Buruh harus dianggap sebagai telah kehilangan legitimasi untuk bertindak sebagai kenderaan kelas pekerja dan rakyat biasa untuk memenuhi aspirasi mereka. Jeremy Corbyn pada ketika itu perlu memperjuangkan nasib kelas pekerja walaupun terpaksa berundur daripada Parti Buruh dan teruskan momentum yang sedia ada.
Bagi merealisasikan sebuah perjuangan yang mampu berkembang sehingga ke kemenangan, pembinaan sebuah Parti massa adalah amat penting. Jeremy Corbyn dan penyokongnya tidak boleh memandang ringan terhadap sebarang serangan yang mereka hadapi daripada golongan pro-kapitalis dan harus memulakan langkah-langkah untuk membentuk sebuah parti massa. Kelas pekerja harus diperkasakan dibawah parti ini dan bergerak menuntut hak mereka.
Parti Sosialis (CWI England) melihat kemenangan Jeremy Corbyn sebagai sesuatu yang positif bagi perjuangan kelas pekerja dan rakyat biasa. Parti Sosialis dan TUSC (Koalisi Kesatuan Sekerja dan Sosialis) bersedia untuk menyokong dan bersama dengan program-program yang akan memihak kepada kelas pekerja dan rakyat biasa.

KENYATAAN PARTI SOSIALIS (CWI ENGLAND DAN WALES)

No comments: