Kuasa politik alternatif bebas yang berlandaskan sosialisma harus dibina untuk mengemudi perjuangan hak dan keperluan kelas pekerja, anak muda dan golongan tertindas yang lain !
Parti-parti politik arus utama di negara kita telah mula mengatur langkah untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang dijangka akan diumumkan pada pertengahan tahun 2011 atau awal tahun 2012. Nampaknya, sekali lagi keadaan ekonomi negara dan kesannya terhadap keadaan sosial akan menjadi penentu kepada pemenang tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan- apakah Barisan Nasional dapat mengekalkan kuasanya atau apakah Pakatan Rakyat boleh menamatkan pemerintahan hampir 54 tahun BN dan mencapai harapannya untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan.
Namun demikian, selama hampir tiga tahun sejak pilihan raya umum ke-12, rakyat biasa, terutamanya warga kelas pekerja tidak dapat melihat kewujudan perbezaan politik yang jelas di kalangan parti-parti politik yang ada selain bersaing dengan retorik-retorik politik masing-masing. Rakyat biasa juga tidak yakin bagaimana ahli parlimen atau ADUN kawasan mereka dapat meningkatkan taraf kehidupan rakyat yang semakin dibebankan dengan berbagai kesengsaraan hidup, dan sangsi hak dan keperluan mereka yang telah dijanjikan oleh ahli-ahli politik ketika pilihanraya umum 2008 dapat ditunaikan.
Sebahagian besar isu-isu sosial, demokrasi dan hak minoriti yang telah mencetuskan kemarahan rakyat pada tahun 2008, sehingga menyebabkan kekalahan teruk kepada Barisan, masih ketara lagi. Manakala Pakatan pula tidak memberikan penyelesaian alternatif yang meyakinkan selain menyalahkan perlaksanaan polisi dan kuasa undang-undang oleh kerajaan Barisan. Sementara Barisan pula telah mempergunakan kelemahan Pakatan dengan mengadaptasikan beberapa agenda Pakatan itu sendiri untuk memenuhi kehendak politiknya atas nama pembaharuan polisi ekonomi dan pentadbiran kerajaan. Namun demikian, pada ketika ini BN mempunyai kelebihan untuk mengekalkan kuasa dengan kekuatannya dalam kewangan, jentera plihanraya dan kawalan media. Namun, adalah dijangkakan bahawa Pakatan akan mencuba sedaya upaya untuk menandingi kekebalan Barisan, terutama di negeri-negeri yang sedang diperintah oleh Pakatan, seperti yang ditunjukkan oleh pilihanraya kecil Hulu Selangor, di mana mereka menggunakan jentera kerajaan negeri untuk melawan kekuatan jentera dan kewangan Barisan.
Ekonomi Negara tidak menentu dengan kegawatan ekonomi dunia
Kerajaan Malaysia amat resah dengan kegawatan ekonomi dunia yang telah tercetus mulai 2008, yang telah melanda Amerika Syarikat dan seterusnya Eropah, sehingga seorang menteri kabinet meramalkan Malaysia berkemungkinan besar akan menghadapi krisis ekonomi ala Greek yang membankrapkan negara tersebut jika kerajaan tidak mengambil langkah untuk menstrukturkan semula ekonomi negara yang amat bergantung kepada eksport. Dengan Amerika sebagai rakan dagangan utama Malaysia, pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) pada tahun 2008 dan 2009 telah menyusut kepada 4.7% dan -1.7%. Ini sekali gus menghancurkan Wawasan 2020 yang dirumuskan pada tahun 1991 dengan jangkaan bahawa Malaysia akan menjadi negara maju pada tahun 2020 dengan pertumbuhan KDNK tahunan sebanyak 7% untuk jangka masa 30 tahun. Bahkan, sebelum ini pada tahun 1997, krisis kewangan Asia telah pun menghancurkan Wawasan kerajaan tersebut untuk terus menerus menjadi 'harimau ekonomi' di rantau Asia. Krisis tersebut juga telah mencetuskan gerakan reformasi yang telah menggoncang kerajaan autokratik Mahathir ketika itu. Sejak itu, pertumbuhan ekonomi Malaysia tidak berupaya untuk mencapai keadaan sebelum 1997.
Namun, adalah tidak dapat dinafikan kesan pakej perangsang sebanyak RM60 bilion yang telah disuntik ke dalam ekonomi dalam masa dua tahun terakhir, yang mana sedikit sebanyak telah mendorong aktiviti ekonomi dalam negara. Dengan pakej perangsang tersebut dan peningkatan perdagangan dengan negara China (yang merupakan rakan perdagangan utama pada ketika ini) dan pasaran serantau yang lain, setakat ini Malaysia telah mengelakkan impak yang lebih teruk ke atas ekonominya. Pertumbuhan KDNK 2010 dijangka sekitar 6-7%. Pembangunan ekonomi negara setakat ini telah membantu kerajaan Barisan di bawah pimpinan Najib sedikit sebanyak untuk meningkatkan reputasinya selepas tsunami politik Pilihanraya Umum ke-12 di mana BN kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen serta kalah di beberapa negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang selepas hampir 40 tahun. Najib ingin memanfaatkan pertumbuhan KDNK tersebut serta konflik politik dalaman parti-parti pembangkang untuk memperkasakan kuasa politik dan kerajaan BN dengan memanggil pilihanraya awal, meskipun Barisan boleh terus memerintah sehingga Mac 2013.
Baru-baru ini, Najib menegaskan bahawa Malaysia akan menjadi negara maju pada tahun 2020 dengan ekonomi berpendapatan tinggi dengan pencapaian KDNK negara meningkat tiga kali ganda kepada 550 bilion dolar Amerika pada 2020. Najib juga memperkenalkan Program Mentransformasikan Ekonomi untuk menarik pelaburan bernilai 444 billion dolar Amerika. Tetapi, ketidakpastian yang sedang melanda ekonomi dunia boleh menjadikan impian tersebut satu lagi retorik politik untuk mengaburi risiko sebenar yang sedang dihadapi oleh ekonomi negara.
Pada masa kini, Malaysia sedang menghadapi persaingan hebat untuk menarik pelaburan asing, dan laporan-laporan ekonomi menunjukkan pelaburan 2009 turun mendadak sehingga 81% berbanding dengan tahun 2008. Pada tahun 2009 Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mencatat pelaburan negatif. Untuk pertama kalinya dalam sejarah, Malaysia memperolehi pelaburan kurang daripada Filipina, dan ini adalah disebabkan terutamanya kehilangan pelaburan kepada negara-negara seperti China dan Vietnam yang menawarkan tenaga buruh yang jauh lebih murah. Bahkan Singapura, yang hampir 500 kali lebih kecil saiznya daripada Malaysia dan dengan kekurangan sumber alam dijangka akan mengambil tempat Malaysia sebagai ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara selepas Indonesia dan Thailand. Prestasi dan halatuju ekonomi yang tidak memberangsangkan ini melemparkan keraguan mengenai apakah Model Ekonomi Baru, Rancangan Malaysia ke-10 , Program Mentransformasikan Kerajaan dan Program Mentransformasikan Ekonomi yang direka sebagai perancangan untuk membentuk Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi selepas Pilihan raya Umum ke-12, dapat dicapai.
Manakala kekurangan pekerja berkemahiran tinggi, serta kemampuan penyelidikan dan pembangunan teknologi tinggi yang tidak mencukupi juga telah membantutkan kemasukan pelaburan yang berdasarkan kepada industri teknologi tinggi atau bio-teknologi. Malaysia hanya ada di antara 300 hingga 400 pekerja dengan kemahiran sains dan teknologi untuk setiap 100000 orang, berbanding dengan 3000 orang di negara-negara yang telah berganjak daripada negara pendapatan menengah ke negara berpendapatan tinggi. Tambahan pula, kapitalis-kapitalis tempatan juga nampaknya tidak tertarik untuk melabur di Malaysia dengan keadaan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan sedang menuju ke negara-negara jiran yang lain untuk mengaut keuntungan berlipat ganda. Manakala, kerajaan pula berharapan dengan penglibatan lebih besar daripada sektor swasta, pasaran dalam negara dapat diperkuatkan untuk mengurangkan impak ekonomi dunia terhadap negara. Tetapi pada masa kini pelaburan sektor swasta hanyalah sekitar 10% daripada KDNK berbanding dengan 30% pada 1990-an. Sementara itu, kerajaan juga telah mengumumkan projek-projek mega seperti pembinaan Menara Warisan 100 tingkat di tengah Kuala Lumpur, serta projek Transit Aliran Pantas (MRT) di Lembah Kelang, yang merupakan projek infrastruktur berbillion ringgit untuk merangsang pasaran dalam negara.
Dengan pertumbuhan KDNK yang munasabah dan kadar faedah sebanyak 2.75%, peredaran modal asing telah mengalir ke dalam pasaran bon dan saham di Malaysia untuk mengaut keuntungan tinggi. Keadaan ini telah sedikit sebanyak telah mengimbangi kesan penyusutan pelaburan asing di dalam negara. Fenomena ini juga telah mengakibatkan peningkatan mendadak nilai ringgit terhadap nilai dolar Amerika. Jika fenomena ini berlanjutan, ia boleh mengakibatkan gelembung aset dalam mata wang, sektor pembinaan dan pasaran saham serta inflasi yang agak tinggi. Ini boleh menjurus kepada krisis dalam ekonomi dan sistem kewangan negara seperti yang dialami ketika Krisis Kewangan Asia 1997. Sementara itu, peningkatan nilai ringgit boleh menyebabkan penyusutan nilai eksport serta kehilangan daya saing dan kehilangan pekerjaan di sektor yang bergantung kepada ekspot. Setakat ini kerajaan masih tidak mengenakan kawalan modal yang khusus seperti yang telah dilaksanakan oleh negara-negara membangun seperti China, Indonesia, Thailand, Brazil dan Korea Selatan untuk membendung kerakusan pemodal yang berniat untuk mengaut keuntungan maksima. Ini berkemungkinan besar kerana kerajaan ingin mempergunakan aliran masuk modal ke pasaran bon dan saham untuk menunjukkan perestasi ekonomi yang munasabah kepada rakyat untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Namun begitu, ini tidak bermakna Malaysia dengan sepenuhnya telah mengelakkan kesan daripada krisis ekonomi global. Ekonomi global masih tenat daripada kemelesetan besar 2008-2009, dan menurut beberapa ahli ekonomi keadaan tersebut mungkin boleh menjadi lebih teruk. Keadaan ini mungkin akan berlanjutan untuk suatu masa yang lama sebelum mencapai kestabilan. Manakala, kerajaan Malaysia pula cuba mengubah dari satu dasar ke dasar yang lain akibat ketidakpastian dalam ekonomi global dan peningkatan persaingan di antara ekonomi-ekonomi serantau serta negara-negara ekonomi utama seperti Amerika Syarikat dan China. Nampaknya, satu lagi krisis ekonomi seperti krisis kewangan 1997 boleh berulang di rantau ini jika fenomena ini terus berlanjutan atau menjadi lebih buruk di masa yang akan datang.
Ini bermakna, fenomena ekonomi yang tidak menentu yang sedang dilalui oleh Malaysia adalah akibat krisis yang sedang dilalui oleh sistem pasaran bebas kapitalisma di dunia pada masa kini. Kerakusan untuk keuntungan maksima dengan berbagai aktiviti-aktiviti ekonomi yang tidak bertanggungjawap oleh kapitalis-kapitalis antarabangsa telah menjunamkan sistem kapitalis di dalam krisis ekonomi 2008-2009 yang dianggap paling buruk selepas 80 tahun. Ini menegaskan perlunya sistem ekonomi terancang sosialis sebagai alternatif kepada sistem pasaran bebas kapitalisma. Sistem ekonomi terancang sosialis mengutamakan keperluan majoriti warga kelas pekerja, anak muda dan golongan tertindas yang lain berlandaskan demokrasi dan penglibatan sepenuhnya golongan-golongan tersebut dalam perancangan, pengurusan dan kawalan aktiviti ekonomi dan keperluan sosial secara adil dan saksama.
Ketidakpuasan Sosial semakin bertambah
Sejak 2008, kerajaan di bawah tekanan daripada kapitalisma untuk mengurangkan defisit di dalam ekonomi, membendung inflasi dan menghapuskan subsidi ke atas barangan terkawal, serta mempertingkatkan liberalisasi terutama di sektor perkhidmatan untuk menarik pelaburan dari sektor swasta dan syarikat multinasional. Untuk matlamat tersebut, kerajaan telah merancang untuk menyelaraskan undang-undang buruh, memotong subsidi dan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), serta mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan pentadbiran dengan menggalakkan 'Inisiatif Awam Swasta' (istilah lain untuk penswastaan) khususnya dalam pendidikan awam dan perkhidmatan kesihatan, yang bertujuan untuk mempergiatkan ekonomi pasaran bebas untuk kepentingan kapitalis nasional dan antarabangsa.
Sebagai permulaan, tahun ini kerajaan telah mengurangkan subsidi terhadap petrol, gula dan gas meskipun ianya masih tidak dilaksanakan sepenuhnya, serta menunda perlaksanaan GST dan penyelarasan undang-undang buruh, takut tindakan tersebut akan menaikkan kemarahan rakyat biasa sehingga memberikan impak teruk dalam Pilihanraya Umum yang akan datang. Namun begitu, ramai berangapan bahawa kerajaan di bawah tekanan kapitalisma, akan melaksanakan perancangan tersebut dengan pemotongan perbelanjawan awam dan mengatur langkah-langkah penjimatan yang lain dengan memotong subsidi dan perbelanjaan prasarana untuk rakyat biasa selepas memenangi pilihan raya umum ke-13, jika ekonomi global terus tenat. Langkah-langkah ini akan menambahkan lagi beban kewangan kepada 75% penduduk yang berpendapatan kurang daripada RM3000 sebulan serta 25% daripada penduduk yang memperoleh kurang daripada RM1000 sebulan, yang kebanyakannya merupakan kelas pekerja dan kelas menengah. Tindakan tersebut juga akan terus meningkatkan jurang antara kaya dan miskin di Malaysia, memandangkan pada masa kini jurang kaya-miskin di Malaysia adalah yang terburuk di kalangan negara-negara Asia Tenggara, iaitu dengan kata lain yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin miskin. Kerakusan sistem kapitalisma untuk keuntungan maksima, akan memangsakan keperluan dan hak sosial warga kelas pekerja dan anak muda dengan semakin melebarkan beban kehidupan mereka.
Dengan apa jua cara, Barisan dan UMNO bertekad untuk terus berkuasa
UMNO terus menerus medominasi Barisan yang masih berkonsepkan kepada parti-parti perkauman untuk mendapat sokongan rakyat. Semenjak kekalahan teruk parti-parti MCA, MIC dan Gerakan dalam pilihanraya umum ke-12, UMNO telah bertindak untuk memperkukuhkan sokongan rakyat berbangsa Melayu, bahkan juga telah mengatur langkah untuk mendapatkan semula sokongan rakyat berbangsa Cina dan India yang kebanyakannya telah mengundi pembangkang. Untuk mengekalkan serta mendapatkan sokongan rakyat berbangsa Melayu, mereka secara tidak langsung mempergunakan PERKASA (kumpulan ultra-kanan yang berlandaskan Ketuanan Melayu) untuk meningkatkan sokongan rakyat Melayu. Manakala, untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat Cina dan India mereka mempergunakan propaganda SatuMalaysia.
UMNO masih menikmati sokongan terutama daripada golongan konservatif di luar bandar dan beberapa golongan kelas menengah yang amat bergantung kepada hak-hak istimewa serta faedah yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka. Walaupun kerajaan telah meliberalisasi sekitar 27 perkhidmatan sub-sektor dengan menghapuskan 30% ekuiti bumiputera, ini tidak banyak menjejaskan Pengusaha Kecil dan Sederhana (SME) daripada lapisan ini, kerana mereka masih mengecapi perlindungan lain dan insentif yang direka untuk melindungi kepentingan dan hak-hak mereka. Ini terutamanya adalah untuk terus mempertahankan sokongan kaum Melayu kepada UMNO. PERKASA, yang telah disokong oleh Mahathir dan pemimpin –pemimpin UMNO yang lain, dianjurkan untuk melindungi hak-hak keistimewaan kaum Melayu. Tindakan ini adalah bertujuan untuk memperkuatkan sokongan kaum Melayu kepada UMNO dengan merangsangkan sentimen dan hak-hak keistimewaan kaum Melayu.
Najib mencuba untuk mendapatkan semula sokongan kaum Cina dan India dengan propaganda SatuMalaysia tetapi ternyata ini menjadi kontra-produktif apabila PERKASA menyerang hak kaum Cina dan India. Ramai beranggapan propaganda SatuMalaysia hanyalah satu lagi retorik politik kerajaan untuk memenangi pilihanraya akan datang dan tidak akan berupaya untuk menyatukan rakyat selagi isu-isu asas keperluan sosial dan ekonomi tidak diselesaikan dengan adil dan saksama. Ini jelas dengan, kecurigaan dan ketidakpuasan di antara kaum yang masih wujud akibat diskriminasi hak sosial, ekonomi dan budaya yang masih ketara akibat kerakusan sistem kapitalisma yang dipelopori oleh kerajaan Barisan. Maka, apabila keadaan sosial dan ekonomi menjadi lebih parah, berkemungkinan kecurigaan dan ketidakpuasan tersebut boleh menjurus kepada ketegangan perkauman sehingga meletuskan rusuhan kaum.
Malcolm X, pejuang hak minoriti kulit hitam 1960an di Amerika Syarikat yang menentang dasar perkauman dan imperialis kerajaan Amerika Syarikat, pernah berkata, "anda tidak boleh mempertahankan kapitalisma tanpa perkauman". Frasa ini amat secocok dalam kaitannya dengan pendekatan politik BN yang menggunakan perkauman sebagai alat untuk mempertahankan dan memelihara sistem kapitalis di negara ini.
Pakatan Rakyat cakap tak serupa bikin
Dengan mempergunakan pertumbuhan ekonomi yang munasabah pada ketika ini, serta kelemahan perspektif dan konflik politik dalaman Pakatan Rakyat yang menimbulkan kesangsian di kalangan rakyat sama ada mereka boleh menerajui alternatif yang jelas dan meyakinkan, BN akan cuba memantapkan sokongan kepada kerajaan Najib dengan kekuatan kewangan, jentera pilihanraya dan media arus perdana yang dimilikinya.
Pertaruhan kuasa dalam parti, khususnya di dalam PKR dan DAP, sedikit sebanyak telah memberikan gambaran negatif di kalangan rakyat terhadap kredibiliti Pakatan Rakyat. Ramai beranggapan politik mereka tidak banyak berbeza dengan politik Barisan selain bermain-main dengan berbagai retorik politik untuk mengaburkan rakyat. Sejak pilihan raya umum yang lalu, Pakatan Rakyat juga gagal untuk mengutarakan penyelesaian alternatif yang jelas dan menyakinkan sebagai alternatif kepada dasar ekonomi dan sosial serta agenda politik Barisan selain tunduk kepada agenda sistem pasaran bebas kapitalisma. Ini sedikit sebanyak telah meruntuhkan kredibiliti mereka terutama di kalangan kelas pekerja dan anak muda yang mencari alternatif penyelesaian kepada diskriminasi sosial, ekonomi dan hak demokrasi yang masih ketara. Malahan, Pakatan Rakyat masih wujud hanya untuk menghadapi pilihan raya umum seterusnya, dalam usaha untuk mengalahkan BN dan mengambilalih kerajaan Persekutuan. Mereka juga bergantung kepada populariti yang masih ada pada Anwar Ibrahim, dan gambaran bahawa Anwar akan menjadi perdana menteri jika Pakatan menang. Namun, perbicaraan kes liwat yang dijangka selesai dipertengahan tahun ini, boleh digunakan oleh kerajaan BN untuk melemahkan keaktifan politik Anwar. Manakala, jika kerajaan memutuskan untuk memasukkan Anwar semula ke dalam penjara, kemarahan di kalangan penyokong Anwar boleh meluap semula dan ketegangan politik tersebut akan dipergunakan oleh Pakatan untuk menyemarakkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan BN.
Pada masa yang sama, Pakatan juga telah mula merangka langkah untuk memperkuatkan parti masing-masing untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan telah mula menaburkan berbagai janji kepada rakyat untuk mencipta situasi seperti yang telah diwujudkan sebelum pilihanraya 2008 dengan agenda kebajikan rakyat serta kempen untuk ketelusan pilihanraya dan hak-hak demokrasi. Baru-baru ini mereka melancarkan Program 100 Hari Pakatan Rakyat yang menyelitikan program social dan ekonomi selepas 100 hari Kerajaan Persekutuan Pakatan. Namun demikian, kekuatan jentera pilihanraya Pakatan di Sabah dan Sarawak masih jauh ketinggalan berbanding dengan kekuatan BN, walaupun ketidakpuasan sosial dan ekonomi amat ketara di kalangan berbagai masyarakat yang hidup di negeri-negeri tersebut. Namun, jika keretakan di kalangan parti-parti yang berkuasa di Sabah dan Sarawak menular maka ianya boleh memberikan laluan kepada Pakatan untuk mendapatkan sokongan mereka apabila Pakatan dapat menunjukkan ianya berupaya untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Manakala PSM, dengan aktivisma, terus menerus menyokong Pakatan untuk mengalahkan Barisan, meskipun politik Pakatan menjurus untuk menyokong sistem Pasaran bebas dan kapitalisma. Walaupun mereka jelas menyokong Pakatan, oleh kerana mereka bukan di dalam gabungan Pakatan Rakyat, beberapa pemimpin dan penyokong Pakatan tidak akan memberikan laluan mudah kepada PSM untuk bertanding satu lawan satu. Akibatnya, PSM akan bersaing untuk mempertahankan kerusi yang ditandingi oleh mereka atas tiket PKR pada plihanraya ke 12 atau untuk bertanding di kawasan baru dengan menggunakan logo mereka sendiri, yang boleh mencetuskan lebih banyak konflik dengan Pakatan. PSM akan mempergunakan kenalan rapat mereka dalam Pakatan untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru tetapi persaingan juga akan wujud di antara parti-parti Pakatan sendiri yang boleh mengasingkan PSM.
Manakala beberapa pemimpin kesatuan sekerja MTUC, pula menyokong Pakatan dengan harapan bahawa akan ada lebih banyak hak dan ruang demokrasi termasuk hak kesatuan sekerja dan hak pekerja di bawah pemerintahan Pakatan, tanpa mempersoalkan politik pro- kapitalisma dan pasaran bebas Pakatan yang mengeksploitasi pekerja.
Pengalaman di negara-negara jiran seperti Indonesia dan Filipina dengan jelas membuktikan bahawa, penukaran satu kerajaan pro-kapitalis kepada kerajaan pro-kapitalis yang baru tidak akan menyelesaikan isu-isu asas ekonomi dan sosial kelas pekerja dan anak muda selagi parti-parti pemerintah terus menerajui sistem kapitalisma. Justeru itu, parti atau organisasi yang berlandaskan kepada kelas pekerja haruslah bertindak bebas daripada pengaruh parti-parti politik pro-kapitalis untuk memperkukuhkan kesatuan sekerja dan politik kelas pekerja.
'Kuasa Ketiga'-dua kali tiga juga !
Kegagalan PSM dan pemimpin kesatuan pekerja untuk mengutarakan perspektif untuk membina organisasi kelas pekerja yang bebas dan jelas dengan sokongan dari anak muda, pelajar dan golongan tertindas yang lain, telah menimbulkan kekeliruan terhadap sifat 'kuasa ketiga' yang harus dibentuk dan dibina sebagai alternatif kepada parti-parti pro-kapitalis.
Zahid Ibrahim, yang kalah dalam pertandingan naib presiden PKR, telah mengundurkan diri dari parti tersebut dengan melontarkan tuduhan penyelewengan besar-besaran dalam parti tersebut, telah memulakan parti baru – KITA (Kesejahteraan Insan Tanah Air). Zahid menyamakan partinya 'kuasa ketiga' seakan-akan Parti Liberal Demokrat di United Kingdom. Ironinya, pada masa kini Parti Liberal Demokrat dan Parti Konservatif yang membentuk kerajaan pada pilihanraya umum lalu sedang bertubi-tubi menyerang faedah dan hak kelas pekerja, anak muda dan pelajar dengan sewenang-wenangnya untuk menyelamatkan golongan kapitalisma negara tersebut daripada krisis ekonomi.
Selain itu, Parti Hak Asasi Manusia (parti serpihan daripada HINDRAF) dan Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) yang tidak berpuas hati dengan politik Pakatan, kini mencadangkan untuk membina kuasa ketiga. Manakala Jeffrey Kitingan yang keluar daripada PKR pula melancarkan Barisan Borneo Bersatu untuk keadilan dan hak rakyat Sabah dan Sarawak.
Beberapa kumpulan dan serpihan yang lain dari Pakatan boleh bergabung bersama atas nama 'kuasa ketiga' untuk bertanding pilihanraya akan datang di bawah logo mereka sendiri tapi nampaknya mereka akan cuba berunding dengan Pakatan untuk pertandingan satu lawan satu. Tetapi, pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan jika tiada kompromi di antara Pakatan dan parti-parti 'kuasa ketiga' tersebut dan ini boleh menguntungkan BN.
Pada masa kini, golongan anak muda yang tidak puas hati dengan politik Pakatan dan mencari alternatif jelas akan cuba mengorientasikan sokongan mereka ke arah 'kuasa ketiga' tersebut, tetapi mereka akan segera dikecewakan dengan politik 'kuasa ketiga' tersebut yang tidak jauh berbeza daripada politik Pakatan atau aktivisma politik ala NGO.
Perlunya untuk membangunkan kuasa politik Kelas Pekerja
Polisi neo-liberalisma dan polisi pro-kapitalis yang dipelopori oleh BN terus-menerus memudaratkan taraf hidup dan hak-hak demokrasi kelas pekerja, kelas menengah, pelajar dan golongan tertindas yang lain. Manakala Pakatan, yang juga mendokong pasaran bebas dan sistem kapitalis, tidak banyak berbeza dalam dasar ekonomi dan penyelesaian politik untuk kelas pekerja dan anak muda berbanding dengan BN. Sementara itu, parti-parti 'kuasa ketiga' hanya dibentuk sebagai respon ketidakpuasan dengan kepimpinan dan dasar Pakatan, daripada mengedepankan alternatif kepada agenda pro-pasaran BN dan Pakatan. Fenomena politik negara menunjukkan bahawa dasar parti-parti tersebut tidak mengutarakan perspektif jelas untuk penyelesaian kepada hak-hak ekonomi atau sosial golongan kelas pekerja dan anak muda tetapi hanyalah retorik politik untuk mencapai agenda politik masing-masing tanpa mempertikaikan sistem kapitalisma. Justeru itu, sebuah organisasi politik kelas pekerja yang bebas untuk mewakili aspirasi dan keperluan kelas pekerja dan anak muda amat perlu dibina sebagai alternatif kepada parti-parti politik pro-kapitalisma sebagai langkah untuk membina alternatif politik massa untuk kelas pekerja dan anak muda.
Tempoh sebelum dan sesudah pilihanraya umum yang akan datang akan menyaksikan semakin ramai anak muda dan kelas pekerja menjauhkan diri dari polisi reaksioner dan oportunis yang dipelopori oleh parti-parti arus utama. Mereka akan mencari idea-idea alternatif termasuk idea-idea sosialis untuk penyelesaian isu-isu sosial, ekonomi dan demokrasi. Pembentukan entiti politik baru yang diterajui oleh golongan tersebut boleh muncul dalam tempoh masa ini. Malaysia sedang bergerak ke suatu era penting di mana ketidakpastian ekonomi dan politik semakin meningkat, dan ini seterusnya akan memperkuatkan keperluan untuk membina kuasa kelas pekerja massa dengan idea-idea sosialis.
No comments:
Post a Comment