Tuesday, 29 March 2011

PELAJAR DAN KELAS PEKERJA BERSATULAH !

Protes besar-besaran para pelajar di Britain pada bulan November tahun lalu akibat kenaikan yuran pengajian tiga kali ganda dan pemansuhan elaun pendidikan untuk pelajar miskin, serta perjuangan-perjuangan untuk hak pelajar di negara-negara lain telah diikuti dengan penuh semangat oleh segolongan para pelajar di Malaysia yang dahagakan kebebasan dan demokrasi untuk pelajar. Ada di antara mereka memperolehi inspirasi daripada perjuangan-perjuangan pelajar tersebut, berikhtiar untuk memperjuangkan hak-hak demokrasi pelajar dengan menyatukan kekuatan pelajar di Malaysia. Slogan ‘Kuasa Pelajar’ juga diutarakan untuk menghubungkaitkan dengan pengalaman gerakan pelajar 1960an di Malaysia. Analisis ini bertujuan untuk melihat beberapa inisiatif dan membincangkan perspektif untuk perjuangan hak pelajar dan juga peranan mereka di dalam membawa perubahan dalam masyarakat.


HAK-HAK PELAJAR


Di Malaysia, penglibatan pelajar Institusi Pengajian Tinggi di dalam politik negara diharamkan semenjak kerajaan memperkenalkan AUKU di awal tahun 1970-an. Keadaan ini telah membantutkan hak-hak demokrasi pelajar untuk secara terbuka membincangkan, menyertai atau melibatkan diri di dalam politik negara. Malahan pelajar yang mengkritik dasar kerajaan BN dan polisi-polisi pentadbiran universiti atau melibatkan diri di dalam kegiatan parti-parti politik pembangkang atau NGO sering diancam dengan AUKU. Pada tahun lalu, empat orang pelajar UKM dikenakan tindakan disiplin hanya kerana menyertai kempen pilihanraya kecil di Hulu Selangor.


Sementara itu, beberapa golongan pelajar  secara tidak langsung telah memberikan sokongan kepada  parti-parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat sebagai respon untuk mengecam kongkongan kerajaan terhadap hak-hak demokrasi pelajar serta isu-isu demokrasi dan kemanusian yang lain di dalam masyarakat. Sejak Pilihanraya Umum 2008, kebanyakan pelajar daripada golongan tersebut telah menonjolkan diri mereka sebagai kumpulan Pro-mahasiswa untuk membangkang golongan pelajar yang pro-kerajaan dan juga polisi pentadbiran universiti. Mereka juga menubuhkan blok alternatif kepada kumpulan Aspirasi yang pro-kerajaan untuk bertanding di dalam pilihan raya kampus untuk pemilihan wakil pelajar ke Majlis Perwakilan Pelajar.  Kumpulan sebegini juga wujud di beberapa Institusi Penggajian Tinggi atau Kolej swasta tetapi tidak menonjol sangat seperti di Institusi Pengajian Tinggi awam.


Pada masa yang sama, polisi-polisi sistem pendidikan negara semakin hari semakin menjurus kepada kehendak sistem pasaran bebas untuk memenuhi matlamat dan keperluan untuk memaksimakan keuntungan industri dan pelabur. Ini sekaligus telah menekan pengurusan universiti untuk lebih mefokus kepada matlamat menghasilkan graduan yang boleh dipasarkan untuk memenuhi keperluan kapitalis-kapitalis nasional dan antarabangsa daripada membentuk pengetahuan atau idea baru untuk meningkatkan keperluan dan hak-hak demokrasi masyarakat untuk pembangunan ekonomi dan penglibatan sosial yang menyeluruh untuk manfaat dan kepentingan masyarakat bersama tanpa batasan kaum, agama dan jantina.


PERJUANGAN PELAJAR


Semenjak penubuhan universiti awam yang pertama di awal tahun 1950-an, pelajar telah pun mula memperjuangkan autonomi bagi Intitusi Pengajian Tinggi serta melaungkan hak-hak demokrasi dan kebebasan untuk pelajar. Pada 1960-an pelajar Universiti Malaya yang telah menubuhkan Kesatuan Pelajar Universiti Malaya (KPUM) untuk memperjuangkan kepentingan dan hak pelajar. Pada era tersebut KPUM memiliki surat khabar sendiri sebagai organ propaganda pelajar dan juga melancarkan demonstrasi dan protes untuk mempertengahkan tuntutan pelajar. KPUM juga telah menjadi landasan untuk membincangkan serta memobilisasi pelajar untuk menyampaikan pendirian pelajar ke atas isu-isu tempatan dan antarabangsa. Antara isu-isu tempatan yang menonjol pada ketika itu sehingga pelajar memobilisasi untuk menyatakan sokongan adalah seperti, pemberontakan para petani Teluk Gong untuk hak tanah di Selangor, pengusiran paksa petani di Tasek Utara, Johor dan protes besar-besaran petani di Baling, Kedah menentang kemiskinan. Peristiwa-peristiwa antarabangsa seperti Perang Vietnam dan pencerobohan Rusia di negara Czechoslovakia juga telah meradikalkan serta memberikan semangat berjuang kepada para pelajar. Pada era tersebut juga berbagai idea dibincangkan dan diperdebatkan, termasuk idea-idea kiri yang ditonjolkan melalui pembentukan Kelab Sosialis di Universiti Malaya. Pada pilihanraya umum tahun 1969 pula, KPUM telah melancarkan kempen pilihanraya dengan manifesto sendiri untuk menyokong hak-hak demokrasi, reformasi pendidikan dan juga isu-isu pekerja, petani dan pelajar yang mana telah mendapat sokongan luar biasa dari rakyat biasa berbilang kaum ketika itu.


Peningkatan ketidakpuasan sosial dan ekonomi pada ketika itu juga telah menaikkan kemarahan rakyat biasa, dan ini telah melemahkan sokongan kepada parti Perikatan yang berkuasa pada masa itu. Peningkatan penglibatan pelajar ke dalam politik, dan, ke dalam isu-isu petani dan pekerja, telah meningkatkan tekanan kerajaan terhadap kesatuan pelajar dan pemimpin pelajar. Pemimpin-pemimpin pelajar juga ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk membantutkan penradikalan para pelajar. Kerajaan juga memperkenalkan AUKU untuk menghalang penglibatan pelajar di dalam politik dan mengasingkan mereka daripada pelbagai isu-isu sosial dan politik di dalam masyarakat. Selain era 1960-an, pelajar dan anak muda juga telah melibatkan diri di dalam konflik sosial, ekonomi dan politik negara, termasuk gerakan reformasi pada tahun 1997-98 terhadap rejim autokratik Mahathir dan juga ketika tsunami politik Pilihanraya umum 2008.


Pengalaman gerakan pelajar ketika era 1960an dan juga di awal 1970-an serta pengalaman-pengalaman lain menunjukkan bahawa, para pelajar boleh memainkan peranan bukan hanya mengutarakan isu-isu pelajar, tetapi juga masalah politik, sosial dan ekonomi yang lain untuk membawa perubahan dalam masyarakat. Pada masa kebelakangan ini, banyak inisiatif telah diusahakan untuk mengorganisasi pelajar dan anak muda. Diantaranya, usaha SMM (Solidariti Mahasiswa Malaysia) dan PMN (Perhimpunan Mahasiswa Negara) untuk membawa berbagai kumpulan pelajar untuk mengutarakan isu-isu pelajar dan anak muda. Baru-baru ini PMN telah mengumpulkan kira-kira tiga ratus pelajar daripada Institusi Pengajian Tinggi Tempatan dan Swasta untuk membincangkan hak-hak dan kebebasan pelajar.


Pada masa yang sama, berbagai pesoalan telah diungkit dan dibahas tentang peranan pelajar dalam membina masyarakat. Di antara persoalan-persoalan tersebut adalah : Haruskah pelajar campurtangan dalam politik untuk mempertengahkan hak-hak dan kebebasan pelajar ? ; Bolehkah ‘Kuasa Pelajar’ mengubah masyarakat itu dengan sendirinya tanpa dikaitkan dengan kelas pekerja dan masyarakat tertindas yang lain? Adakah perjuangan pelajar berhubungkait dengan hegemoni kapitalisma?


PENINDASAN HAK-HAK PELAJAR DAN KAPITALISMA


Isu-isu seperti hak/demokrasi pelajar, kebebasan pendidikan dan autonomi universiti adalah di antara isu-isu yang biasa dipertengahkan oleh para pelajar di Malaysia. Namun isu-isu tersebut amat berkaitan dengan dasar-dasar yang dirumuskan oleh kerajaan yang berkuasa semata-mata untuk melindungi kepentingan politik mereka. Selama ini, tindakan-tindakan kerajaan BN telah banyak menguntungkan sistem pasaran bebas kapitalisma melalui pengubalan dasar dan undang-undang atas nama ‘kestabilan’ untuk melindungi keperluan dan kuasa kelas kapitalis. Dengan kata lain, kelas kapitalis mempergunakan kerajaan sebagai alat perantara untuk mempertahankan hegemoninya.


Di Malaysia, dalam banyak situasi pelajar telah berjuang untuk memperolehi hak-hak mereka dengan berkonfrontasi dengan kerajaan yang berkuasa. Sementara itu, kerajaan pula menundukkan gerakan sedemikian dengan mempergunakan ancaman AUKU atau ISA terhadap pelajar. Ini menjelaskan bahawa kerajaan gentar apabila pelajar mula mempertengahkan hak mereka, gerakan pelajar atau anak muda tersebut mampu menular kepada golongan masyarakat lain sekaligus meradikalkan mereka sehingga boleh mencabar kredibiliti kerajaan seperti yang kita lihat di Egypt baru-baru ini. Sebab itulah kerajaan terus menerus mengkongkong hak-hak pelajar untuk bebas mengorganisasi untuk mempertengahkan pelbagai isu, dan seterusnya mengasingkan pelajar dari massa dengan menggunakan undang-undang seperti AUKU. Ini juga bertujuan untuk memastikan para pelajar hanya menumpukan pengajian mereka untuk membolehkan mereka menjadi seorang pekerja yang taat kepada sistem kapitalisma yang berlandaskan keuntungan maksima selepas mereka memperolehi ijazah daripada kolej atau universiti.


Pada masa yang sama, banyak isu-isu sosial dan ekonomi menghantui rakyat biasa akibat  dasar dan undang-undang yang dipertengahkan oleh kerajaan untuk memperkukuhkan sistem pasaran bebas. Hak dan keperluan kelas pekerja, petani, nelayan, kaum pribumi dan lain-lain telah diperjudikan oleh kerajaan semata-mata untuk kerakusan kuasa dan keuntungan kelas kapitalis tempatan dan antarabangsa.


Kebelakangan ini, ada usaha-usaha untuk mengorganisasi pelajar sebagai ‘Kuasa Pelajar’ tanpa menghubungkaitkan dengan kelas pekerja dan masyarakat tertindas yang lain. Inisiatif sedemikian boleh menjadi landasan permulaan untuk membahas pelbagai isu termasuk bagaimana menyatukan warga pelajar tetapi pada masa yang sama adalah penting untuk mengkaitkan perjuangan pelajar dengan perjuangan kelas pekerja dan masyarakt tertindas yang lain terhadap simptom-simptom sistem kapitalisma serta membina kesedaran kelas untuk bertindak secara kolektif sebagai kuasa alternatif untuk merubah sistem kapitalisma.


GABUNGAN KELAS PEKERJA DENGAN PELAJAR, ANAK MUDA DAN GOLONGAN TERTINDAS YANG LAIN UNTUK MEMBINA SOSIALISMA


Sistem kapitalis mampu bertahan akibat kuasa buruh kelas pekerja yang menjanakan keuntungan. Di Malaysia, hak-hak dan keperluan kelas pekerja telah terus-menerus ditekan untuk memastikan sistem yang berdasarkan keuntungan ini berjalan lancar atas dasar ‘kestabilan’. Dengan kekuatan ekonomi yang dimiliki oleh kelas pekerja, hanya mereka dengan sokongan anak muda dan golongan tertindas yang lain mampu mengubah sistem ini kepada sebuah sistem yang berlandaskan kepada demokratik sosialisma yang memberi keutamaan untuk mengorganisasi masyarakat bagi memenuhi hak dan keperluan kelas pekerja dan golongan tertindas yang lain yang didiskriminasi di bawah sistem ini. Oleh kerana itu, untuk mencapai perubahan sejati dalam masyarakat, para pelajar dan golongan tertindas yang lain, harus bergabung dengan kelas pekerja.


Namun, pada tahap ini, warga pekerja di Malaysia tanpa kepimpinan kesatuan sekerja dan juga kepimpinan politik massa yang berlandaskan kelas pekerja untuk mengemudi perjuangan sosial, ekonomi dan politik. Dalam keadaan sedemikian, kepimpinan para pelajar dan anak muda yang mempunyai kesedaran kelas boleh memainkan peranan dalam mendorong dalam pemantapan perjuangan kelas pekerja dengan menghubungkaitkan perjuangan pelajar/anak muda dan golongan tertindas yang lain di dalam masyarakat dengan perjuangan kelas. Ini boleh menjadi landasan awal untuk membina sebuah kekuatan politik massa kelas pekerja dan anak muda sebagai alternatif kepada politik parti-parti pro-kapitalis dan reaksioner dalam kerajaan BN dan juga dalam gabungan pembangkang Pakatan Rakyat. Untuk melaksanakan inisiatif tersebut, pelajar dan anak muda juga harus dilengkapi dengan perspektif yang berlandaskan kepada sosialisma untuk membina kesedaran kelas tanpa sebarang sentimen perkauman dan agama yang sempit. Hanya dengan pendekatan sedemikian, rakyat biasa daripada pelbagai bangsa dan agama boleh digabungkan untuk matlamat membina kuasa kelas pekerja dan anak muda.


Malaysia sedang menuju ke suatu era yang penuh dengan ketidakpastian ekonomi dan politik yang boleh mencorakkan pencapaian sosial negara ini. Dalam tahun-tahun yang akan datang, lebih banyak beban akan dilemparkan ke atas bahu kelas pekerja, pelajar dan anak muda memandangkan keadaan sosial dan ekonomi yang semakin merosot. Justeru itu, perjuangan pelajar dan anak muda harus dihubungkaitkan dengan kelas pekerja sebagai titik permulaan untuk membina sebuah kuasa kelas pekerja dan golongan tertindas yang lain di dalam masyarakat ke arah mengubah sistem kapitalis ke sistem yang berlandaskan kepada demokratik sosialisma.

No comments: