Wednesday 6 August 2014

PENGUATKUASAAN GAJI MINIMUM: SERIUS ATAU TIDAK ?

Menurut laporan laman web Portal Gaji Minimum Malaysia,  Perintah Gaji Minimum Kebangsaan 2012 diberitakan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013 bagi majikan yang mempunyai lebih daripada lima pekerja, dan pada 1 Julai 2013 bagi majikan yang mempunyai lima pekerja atau kurang. Di dalam tempoh itu, pihak kerajaan telah memberi banyak kelonggaran kepada syarikat besar mahupun kecil dan sederhana dengan memberikan tiga fasa penundaan bermula Disember 2012 hingga 31 Disember 2013.
Namun, sehingga Disember 2013, banyak syarikat yang masih belum melaksanakan pembayaran gaji minimum kepada pekerja berdasarkan 961 aduan pekerja yang diterima oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Daripada jumlah itu, sebanyak 290 kes telah diselesaikan melalui persetujuan di antara majikan dan pekerja. 622 kes masih lagi dalam siasatan akhir, manakala 49 kes lagi dirujuk ke Mahkamah Buruh.
Sebanyak 1,044 majikan memohon penangguhan pelaksanaan gaji minimum dengan alasan supaya mereka dapat mengkaji semula struktur perniagaan mereka sepanjang tempoh penangguhan tersebut. Di atas dasar kompromi kerajaan terhadap majikan-majikan kapitalis ini, pelaksanaan perintah gaji minimum tersebut telah ditangguh sehingga diputuskan untuk dikuatkuasakan semula pada 1 Januari 2014.

Tuesday 5 August 2014

PERANG DUNIA PERTAMA: 100 TAHUN SEJAK PEMBUNUHAN BESAR -BESARAN

Perang dunia pertama yang bermula 100 tahun yang lalu menyaksikan kepada pembunuhan pada skala yang tidak dapat disangka. Ulang tahun ke 100 perang dunia pertama telah dipaparkan dengan meluas dalam media-media kapitalis nasional dan antarabangsa. Tetapi, media-media tersebut gagal untuk menjelaskan mengapa berjuta-juta rakyat biasa yang kebanyakannya kelas pekerja telah dihantar ke jurang kematian dalam medan peperangan yang semata-mata bermotifkan kepada kerakusan kapitalisme untuk keuntungan maksimum, eksploitasi berterusan, mengondol sumber bahan-bahan mentah dan mempertahankan pasaran bebas.

Perang dunia pertama digelar ‘Perang Hebat’, ‘peperangan untuk mengakhiri peperangan’ . Tetapi, bagi sepuluh juta orang yang terbunuh dan lebih daripada sepuluh juta cedera parah ia pasti tidak hebat. Pertempuran tentera menyaksikan pertumpahan berdarah yang amat mengngerikan dalam sejarah manusia. Kesengsaraan dan kerugian yang dialami pada kedua-dua belah pakatan perang amat besar skalanya. Di Ypres, Belgium, tentera British kehilangan 13,000 orang dalam tempoh tiga jam hanya untuk mara 100 kilometer ! Pada hari pertama Pertempuran Somme 60,000 orang menjadi mangsa, kehilangan terbesar yang pernah dialami oleh tentera British, walaupun pada hakikatnya dalam tempoh enam hari sebelum itu, sempadan Jerman telah dilanda tiga juta peluru daripada tentera British !

Friday 1 August 2014

KONFLIK MENTERI BESAR DI SELANGOR

Konflik menteri besar muncul sekali lagi di Selangor, dan pada kali ini Pakatan pula ingin mendesak Khalid Ibrahim meletakkan jawatan untuk pemilihan menteri besar yang baru.

Semenjak 1980an hingga kini, setiap menteri besar di Selangor yang mengambil kuasa, telah dicemari dengan berbagai skandal dan konflik yang telah memaksa mereka untuk meletak jawatan. Mat Taib dengan konflik membawa keluar wang tunai RM 2.4 juta ke Australia; Abu Hassan dengan skandal seks; Khir Toyo dengan skandal rasuah. Semua menteri besar tersebut adalah daripada BN, sebelum Khalid Ibrahim daripada Pakatan Rakyat mengambilalih kuasa pada 2008.  Kejatuhan Selangor ke tangan Pakatan adalah disebabkan oleh kemarahan rakyat terhadap pemerintahan BN yang penuh dengan rasuah dan salahguna kuasa dengan berkomplot untuk memenuhi nafsu kroni-kroni kapitalis yang berhajat melipatgandakan kemewahan mereka dengan menganaktirikan keperluan rakyat.