Kita telah melabuhkan tirai 2010. Kini cabaran dan dugaan di tahun baru iaitu 2011 akan kita hadapi dalam situasi yang semakin sukar. Perhatikan betul-betul, seawal tahun baru ini iaitu pada 4 Januari 2011 rakyat malaysia telah digemparkan lagi dengan pengumuman kenaikan harga petrol RON97, sebelum itu ketika penutupan tahun 2010 harga petrol RON95, harga gas masakan, harga minyak tanah dan beberapa barang keperluan lain termasuk harga gula dan tepung telah turut dinaikkan. Kerajaan tanpa segan silu dilihat semakin rakus menarik sedikit demi sedikit subsidi yang dinikmati oleh seluruh rakyat malaysia.
Persoalannya, mengapakah hal-hal seperti ini berlaku ?
Persoalannya, mengapakah hal-hal seperti ini berlaku ?
Untuk memahami dan mengungkap persoalan demi persoalan yang semakin membebankan rakyat ini, kita perlu kembali kepada permasalahan pokok, kita wajib melihat apa yang telah berlaku semenjak tahun 2008 dan bagaimana dunia mengalami wabak kemerosotan ekonomi yang kesannya pada hari ini, menekan kehidupan rakyat malaysia dan seluruh warga dunia.
Semenjak tahun 2008 yang lalu, telah sampai berita kepada kita tentang krisis ekonomi global yang menjerut leher setiap kaum pemodal kapitalis. Masalah lambakan produksi di kesemua sektor industri telah membuatkan institusi kewangan gergasi dunia seperti IMF dan federal reserve memaksa negara-negara dunia ketiga membuka pasaran seluas mungkin dan terpaksa menerima hasil lebihan produksi ini dengan lapang dada. Dasar liberalisasi ini adalah strategi untuk menekan warga dan kaum buruh di seluruh dunia untuk membantu meningkatkan nilai dolar yang semakin merudum.
Kemudian, diberitakan sekali lagi kepada kita bahawa sumber petroleum dunia semakin mengecut. Negara-negara membangun terutamanya negara China yang terkenal dengan konsep ‘upah buruhnya yang murah’ telah menggunakan berjuta-juta tong petroleum setiap hari. Manakala dalam sistem ekonomi kapitalis ini, petroleum merupakan asas yang paling penting. Sehingga ke hari ini, kita masih tidak boleh menafikan bahawa, apabila harga petroleum di pasaran dunia meningkat, maka harga petrol di Malaysia juga akan meningkat. Justeru apa yang berlaku ialah, kesemua harga barangan yang melibatkan asas petroleum tadi akan meningkat sama.
Lalu kita kembali kepada Malaysia. Kerajaan Barisan Nasional (BN) kini dilihat semakin terdesak, beberapa langkah dan usaha yang dijalankan jelas menunjukkan yang mereka hanya berusaha untuk mengekalkan kuasa sekurang-kurangnya untuk penggal selepas pilihanraya umum ke 13. Pelan transformasi ekonomi dan bajet 2011 yang baru-baru ini diumumkan langsung tidak mengurangkan beban yang kini ditanggung rakyat. Justeru apa yang kita semua alami ketika penutupan tahun 2010 dan sambutan tahun 2011 yang lalu jelas menunjukkan kerajaan yang dipimpin oleh Dato' Najib Tun Razak semakin ganas dan rakus untuk menekan rakyat. Kenyataan ini disokong dengan hasrat dan cita-cita kerajaan yang melaksanakan projek-projek mega termasuk pelan pembinaan menara warisan setinggi 100 tingkat di kuala lumpur. Yang jelas keperluan dan kebajikan rakyat bukan lagi menjadi agenda utama kerajaan selain daripada memperkaya dan memperbanyak projek serta kontrak untuk kroni dan ahli keluarga.
Hari ini, segala keperluan asas untuk rakyat telah berjaya diswastakan. Air, elektrik, pendidikan dan perubatan yang ada di Malaysia bukan lagi dimiliknegarakan, malah telah dikuasai sepenuhnya oleh pemodal-pemodal tempatan dan antarabangsa. Justeru beban yang ditanggung oleh kelas pekerja dilihat semakin memburuk. Segala jenis keperluan asas yang wajib dimiliki telah berubah menjadi satu beban yang maha berat. Pembinaan insfrastruktur bukan lagi satu faedah yang baik, malah ia telah menjadi lubuk untuk negara memperoleh hasil dari nilai atau kadar yang telah ditetapkan.
Inilah apa yang kita panggil sebagai dasar penswastaan. Dalam sistem kapitalisma yang penting ialah memaksimakan keuntungan, maka penswastaan yang lahir dari idea neoliberal ini harus dan wajib berlaku. Lalu, apa yang sedang kita tonton di hadapan kita ini merupakan tekanan yang dikenakan oleh kaum pemodal ke atas kerajaan untuk terus memastikan keuntungan maksima tidak pernah lari dari landasan asal mereka. Dan sekali lagi kita telah melihat bahawa kebajikan tidak pernah wujud dalam nadi sistem yang semakin merobek norma-norma kemanusiaan hari ini.
Kita wajib sedar dan perubahan wajib berlaku. Penindasan yang diberikan keatas warga dan kelas pekerja perlu mendapat perlawanan yang setimpal dari rakyat. Kesadaran tentang situasi politik serta kemelut ekonomi adalah kata kunci yang paling penting untuk kita terus mencorak perubahan. Tidak dapat dinafikan, petrol dan harga barangan keperluan akan terus melambung di pasaran, justeru yang wajib kita lakukan ialah, menyatukan anak semua bangsa dan bangkit untuk melawan sistem kapitalisma yang rakus dan zalim ini.
No comments:
Post a Comment