Setiap kali Jerebu menyusuk masuk ke Malaysia daripada
Indonesia, satu sandiwara akan dipersembahkan kepada rakyat Malaysia
seolah-olah untuk menunjukkan kerajaan Malaysia amat prihatin dengan kesihatan
rakyat Malaysia. Menteri daripada Malaysia akan berjumpa dengan Menteri di
Indonesia, dan seterusnya akan membuat sidang media untuk mengumumkan satu
perjanjian sudah dipersetui kononnya untuk meyakinkan kedua-dua kerajaan akan
memastikan masalah pencemaran Jerebu tidak muncul lagi. Sandiwara ini sudah
berlangsung lebih satu dekad, dan rakyat Malaysia sudah tepu dengan permainan
politik dalam sandiwara ini. Yang jelas, permainan politik ini semata-mata
untuk menyelematkan pelaku (syarikat-syarikat gergasi perladangan) dan
mengkaburi mangsa (rakyat biasa di Malaysia dan Indonesia).
Kerajaan Malaysia dan Indonesia sedar bahawa pembakaran
hutan yang tidak bertanggungjawab ini ada kaitan dengan syarikat-syarikat
perladangan termasuk beberapa syarikat daripada Malaysia. Tetapi, setakat ini
tiada sebarang tindakan diambil terhadap syarikat-syarikat tersebut oleh
kerajaan Indonesia mahupun kerajaan Malaysia semata-mata untuk melindungi
‘keuntungan maksimum’ syarikat-syarikat gergasi ini walaupun kesan pencemaran
jerebu boleh memberikan impak kesihatan yang besar kepada rakyat biasa.
Dengan teknologi satelit dan pengesan kebakaran, lokasi
pembakaran boleh dikenalpasti dengan mudah, tetapi tindakan hanya akan menyusul
selepas situasi pencemaran jerebu dalam keadaan ‘bahaya’ atau ‘tidak sihat’
menunjukkan aktiviti ‘memaksimumkan keuntungan’ syarikat-syarikat gergasi lebih
diutamakan daripada kesihatan dan kebajikan berjuta-juta rakyat miskin dan
biasa di Malaysia dan Indonesia.
Kerajaan BN yang mampu mendapat derma daripada kapitalis
Arab untuk menang dalam PRU yang lalu, semestinya mampu untuk memastikan setiap
rakyat Malaysia terutama pekerja dan rakyat biasa diberikan alat perlindungan
pernafasan (penutup muka dan hidung) untuk melindungi daripada kesan terhadap
kesihatan. Begitu juga dengan kerajaan Indonesia yang menang dengan undi rakyat
miskin, tetapi kebajikan dan kesihatan rakyat miskin diabaikan untuk menuriti
kehendak sistem ekonomi pasaran bebas yang berpihak kepada majikan dan golongan
kapitalis. Tetapi, ternyata cita-cita untuk mengekalkan kuasa elit politik lebih
penting daripada melindungi keperluan dan kesihatan rakyat untuk kedua-dua
kerajaan ini. Begitu juga kerajaan kapitalis ini tidak akan prihatin terhadap
pekerja pembinaan, perladangan, pembuatan dan lain-lain yang akan lebih
terdedah kepada kesan jerebu, malahan mereka akan terus dipaksa berkerja oleh
majikan. Kerajaan pro-kapitalis di Malaysia dan Indonesia tidak akan memaksa
majikan untuk menutup kilang ketika jerebu ‘bahaya’ atau ‘tidak sihat’, dan
mewajibkan majikan menyediakan alat perlindungan pernafasan.
Rakyat di Indonesia terutama di Kalimantan yang rata-rata
hidup dalam kemiskinan sering dimangsakan dengan gejala jerebu. Begitu juga
rakyat di Malaysia tanpa mengira latarbelakang agama, bangsa, jantina akan
terjebak dalam jerebu yang boleh mengakibatkan berbagai-bagai penyakit.
Sepertimana isu-isu persekitaran dan pencemaran seperti Lynas, nuclear dan
lain-lain, rakyat biasa memerlukan satu penyelesaian yang akan memastikan kita
dan generasi akan datang dapat hidup dalam persekitaran yang sihat. Parti-parti
kapitalis di Malaysia dan Indonesia akan terus dengan berbagai-bagai sandiwara
untuk melindungi pelaku dan mengaburi rakyat biasa. Rakyat biasa di Malaysia
dan Indonesia mempunyai hasrat dan matlamat yang sama iaitu satu kehidupan yang
sihat dan keperluan asas yang memuaskan. Untuk mencapai matlamat tersebut
solidariti dan perjuangan daripada bawah perlu di bina, di Malaysia dan
Indonesia. Sosialis alternatif bergerak dan berkembang atas perspektif
tersebut.
No comments:
Post a Comment