Perdana Menteri Malaysia yang ke-enam, Mohd Najib Abdul Razak, mengambilalih tampuk kepimpinan kerajaan pada 3hb. April daripada Abdullah Ahmad Badawi selepas Najib dilantik Presiden UMNO. Peralihan kuasa ini terpaksa dilangsungkan untuk menstabilkan krisis dalaman UMNO yang semakin menular. Ramai ahli UMNO juga beranggapan bahawa proses ini perlu untuk menyelamatkan UMNO dan BN yang semakin lemah semenjak kekalahan yang mengaibkan dalam Pilihanraya yang ke-12.
Namun demikian, peralihan kuasa tersebut tidak memberangsangkan ramai di kalangan rakyat biasa yang semakin muak dengan politik perkauman dan kronisma yang hanya memanfaatkan ahli-ahli politik BN dan golongan kaya-raya kapitalis. Ramai penganalisa politik beranggapan bahawa senario ini boleh membawa kepada kejatuhan sekaligus kuasa UMNO/BN yang telah mendominasikan politik negara semenjak merdeka, jika sokongan rakyat kepada parti-parti pembangkang di bawah Pakatan Rakyat semakin meningkat dan ekonomi negara yang tidak tentu pada masa kini terus menerus merosot.
5 TAHUN BERSAMA PAK LAH
Ketika Pak Lah mengambilalih tampuk kepimpinan kerajaan daripada Mahathir Mohamad pada tahun 2003, Pak Lah bertekad untuk membawa perubahan untuk mempertahankan demokrasi, menghapuskan gejala rasuah dan membentuk pemerintahan yang telus dan bertanggungjawab. Pak Lah melaung-laungkan moto "Kerja dengan saya dan bukan untuk saya" untuk menyatakan hasrat dan keseriusan beliau. Selepas 20 tahun pemerintahan mutlak dan serangan neo-liberal di bawah Mahathir, janji-jani Pak Lah kearah perubahan, telah memberikan harapan tinggi kepada rakyat biasa. Ini seterusnya telah diterjemahkan sebagai sokongan padu kepada agenda perubahan Pak Lah apabila rakyat memberikan kemenangan terbesar yang mencipta sejarah untuk BN dalam Pilihanraya yang ke-11 pada tahun 2004.
Tetapi sokongan padu rakyat kepada kerajaan Pak Lah telah bertukar menjadi kekecewaan dan kemarahaan apabila warga pekerja dan rakyat miskin bersama dengan golongan pertengahan tidak dapat melihat banyak perubahan yang dijanjikan kepada mereka, walaupun Pak Lah memberikan sedikit ruang kebebasan berbanding dengan Mahathir.
Pak Lah yang dianggap sebagai seorang yang halim dan 'bersih', gagal mahupun untuk membersihkan jentera-jentera kerajaan seperti Badan Kehakiman dan Polis yang terbelenggu dengan gejala rasuah. Beliau langsung tidak berusaha untuk berkonfrontasi dengan sistem kapitalisma yang berlandaskan kepada keuntungan maksima, untuk meningkatkan taraf kehidupan warga pekerja dan golongan miskin. Tetapi, pada masa yang sama, telah bersongkol dengan kroni dan kapitalis kaya raya untuk memuaskan nafsu keuntungan mereka. Manakala, kepimpinan beliau yang pro-kapitalis terpaksa tunduk kepada tuntutan-tuntutan pengikut-pengikut setia UMNO dan kerajaan untuk terus menerus menuruti lumrah politik naungan yang telah diamalkan oleh pemimpin-pemimpin sebelumnya. Ini mengakibatkan warga pekerja dan rakyat miskin, yang tertindas di bawah pemerintahan mutlak Mahathir, tidak puas hati apabila Pak Lah tidak berdaya untuk mencabar 'Mahathirisma'. Ini meremukkan harapan warga pekerja dan rakyat biasa yang menuntut perubahan.
Kekecewaan dan kemarahan rakyat biasa terhadap keangkuhan UMNO dan BN semakin meningkat apabila isu-isu perkauman tertentu dipinggirkan dan jurang kekayaan di antara golongan miskin dan kaya semakin melebar. Ramai telah menyedari bahawa kekuasaan mutlak UMNO/BN telah mengakibatkan hak dan keperluan warga pekerja dan rakyat biasa diabaikan dengan sewenang-wenangnya. Justeru itu mereka membuat keputusan untuk memberikan 'pengajaran' yang sewajarnya kepada UMNO/BN dalam Pilihanraya yang ke-12. Perasaan kemarahan tersebut menular kepada kebanyakan rakyat biasa tanpa mengira kaum dan agama, terutamanya di Semenanjung Malaysia. Perasaan ini telah diterjemahkan sebagai undi bantahan terhadap UMNO dan BN yang membawa kepada tamparan hebat 'tsunami politik' pada 8hb. Mac 2008 yang merupakan kekalahan paling teruk kepada BN dalam jangkamasa 50 tahun. BN hilang majoriti dua pertiga dan kalah kepada Pakatan di lima negeri.
Semenjak kekalahan parah tersebut, pemimpin-pemimpin UMNO amat risau tentang keadaan parti yang semakin terumbang-ambing akibat pukulan 'tsunami politik'. Mereka tahu, jika keadaan ini berterusan, ianya boleh membawa kepada kekalahan sekaligus keseluruhan kuasa kerajaan dalam Pilihanraya yang ke-13. Dengan hasrat untuk melindungi kronisma dan budaya naungan yang telah dikecapi selama ini, mereka beranggapan UMNO perlu diperbaharuhi dengan "kepimpinan yang kuat". Akibatnya, Pak Lah telah dijadikan 'kambing hitam' untuk menutup 'pekung di dada'. Walaupun, Pak Lah mencuba sedaya upaya untuk mempertahankan tampuk kepimpinannya yang telah dicemari, beliau akhirnya terpaksa sungkur kepada desakan bertuli-tuli dalam UMNO.
Mahathir juga memainkan peranan dalam menjatuhkan Pak Lah dengan menuduh polisi-polisi Pak Lah yang menurut beliau telah meruntuhkan UMNO. Tetapi, pada hakikatnya, ketika pemerintahan Mahathirlah UMNO terjunam ke dalam kancah politik wang dan kronisma, dan ianya berkembang menjadi barah (kanser) yang tidak dapat dibendung oleh Pak Lah.
Manakala, Najib dianggap sebagai rakan rapat Mahathir dan kini Mahathir pula berjanji untuk membantu Najib untuk mengembalikan zaman kegemilangan UMNO semula. Ini bermakna, hasrat bersama mereka adalah untuk memperkukuhkan semula 'Mahathirisma' untuk memanfaatkan kroni dan golongan kapitalis.
NAJIB DENGAN IMEJ TERCEMAR
Bahkan, sebelum mengambilalih kuasa lagi, Najib telah dituduh bertubi-tubi dengan berbagai tuduhan, yang di antaranya ialah beliau dikaitkan dengan pembunuhan model Mongolia dan penyalahgunaan kuasa dan rasuah ketika memangku Kementerian Pertahanan. Ramai juga percaya bahawa Najib telah bersongkol bersama untuk menjayakan 'rampasan kuasa' di negeri Perak. Walaupun, Najib menafikan semua tuduhan tersebut, tetapi beliau gagal untuk membetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap beliau yang semakin menebal. Malahan, ini merupakan kali pertama, di mana Perdana Menteri Malaysia mempunyai reputasi yang paling rendah sebaik sahaja mengambilalih tampuk kepimpinan kerajaan.
Namun begitu, untuk meningkatkan kepercayaan dan kredibiliti, sejurus selepas mengambil tampuk kepimpinan, Najib dalam ucaptamanya melancarkan moto "Satu Malaysia, Rakyat diDahulukan, Prestasi DiUtamakan". Dengan sokongan rakyat yang semakin susut, Najib sedar beliau perlu melaksanakan sesuatu dengan segera untuk meningkatkan persepsi positif rakyat terhadap beliau. Beliau dengan segera membebaskan 13 tahanan ISA and menggugurkan pengharaman dua akhbar Pembangkang. Cubaan sedemikian untuk mempengaruhi rakyat dengan retorik dan slogan untuk memperolehi manfaat politik, bukanlah perkara baru dalam politik Malaysia. Ketika Mahathir dan Pak Lah mengambilalih kuasa, mereka juga mementaskan slogan dan retorik perubahan untuk memukau rakyat. Memandangkan rakyat sudah jelak dengan retorik dan slogan kosong yang tidak memanfaatkan mereka ketika era Mahathir dan Pak Lah, cubaan Najib dengan reputasi yang rendah, tidak mendapat sambutan daripada rakyat biasa.
UMNO/BN SEMAKIN LEMAH
Dengan peralihan kuasa tersebut, UMNO dengan kepimpinan baru berharapan tinggi untuk mengembalikan zaman kegemilangan BN ketika ianya memerintah secara mutlak dengan sokongan padu rakyat. Tetapi, harapan ini remuk apabila BN tidak berupaya untuk memenangi pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang dianggap sebagai pungutan suara (referendum) terhadap kepimpinan Najib. Ini menandakan bahawa perlantikan Najib sebagai Perdana Menteri tidak memberi kesan besar kepada rakyat biasa sebagaimana ketika Pak Lah mengambilalih kuasa daripada Mahathir.
Ramai penganalisa politik menyangka bahawa UMNO/BN akan melangkah ke zaman kehancuran jika tidak berniat untuk berubah-'ubah atau hancur'– dengan persekitaran politik baru semenjak pilihanraya yang ke-12 yang telah memperkasakan pembangkang dan membuka persepsi rakyat kepada politik baru.
Tetapi, seperti kata seorang penganalisa politik, "Selagi kerajaan memberikan habuan untuk menjaga kepentingan ahli-ahli UMNO, gejala politik wang dan rasuah dalam parti tidak akan berakhir. Budaya inilah yang sedang meracuni UMNO". Mampukah Najib mengoncang kapal yang dikemudinya untuk menukar wajah yang telah tercemar? Mengikut penganalisa politik tersebut, " Siapa dalam UMNO berani menenggelamkan kapal yang telah melimpahkan keuntungan walaupun ianya tercemar? Hakikatnya, jika Najib tidak membersihkan partinya daripada gejala-gejala tersebut, maka jurang di antara UMNO dan rakyat akan semakin membesar".
Manakala, jika UMNO/BN yang tercemar dan lemah tidak dapat diperbaharuhi, seorang ahli politik veteran menasihatkan Najib " Lakukan seperti ayah kamu. Jika BN tidak berguna lagi, maka kamu perlu lupuskannya sahaja". Beliau merujuk kepada keputusan ayah Najib, Abdul Razak Hussein, yang memperbaharuhi Perikatan dengan Barisan Nasional pada tahun 1973 dengan mempengaruhi parti-parti pembangkang seperti PAS, GERAKAN dan PPP untuk menyertainya, dengan tujuan mempopularkan reputasi parti pemerintah di kalangan rakyat biasa. Pada masa tersebut, cubaan Razak tersebut adalah semata-mata untuk memperolehi sokongan bukan-Melayu yang menyokong parti berhaluan kiri dan memperolehi sokongan orang Melayu di luar bandar yang menyokong Parti Islam.
Semenjak Pilihanraya tahun lalu, parti-parti pembangkang dengan kepercayaan dan pendekatan politik yang berbeza, telah bersatu di bawah Pakatan Rakyat , dengan kepimpinan Anwar Ibrahim. Dengan peningkatan kepopularan Anwar di kalangan rakyat dan pertambahan sokongan daripada kapitalis-kapitalis antarabangsa, besar kemungkinan lebih ramai daripada UMNO/BN akan menyertai Pakatan jika UMNO/BN semakin lemah dan tercemar.
Manakala, Najib dan sekutunya tidak akan berdiam diri dan akan mencuba sebarang jalan untuk memecah belahkan Pakatan untuk mengkuatkan BN. Misalnya, jika konflik besar tercetus di kalangan parti pembangkang, atas nama memperkasakan Ketuanan Melayu atau Ketuanan Islam, PAS mungkin akan menyertai BN, seperti yang telah dinyatakan oleh beberapa pemimpin PAS baru-baru ini.
Tetapi, pada peringkat ini, UMNO/BN telah tepu dengan kapitalisma kroni, berbanding dengan sifat-sifatnya pada 1970an. Jika BN distrukturkan semula, ini bermakna, kapitalisma kroni yang merupakan daya tarikan, akan berkecai. Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang berlandaskan kepada kuasa dan kemewahan tidak akan membenarkan pertalian yang memanfaatkan kehendak keperibadian mereka hilang begitu sahaja.
KAPITALISMA KRONI
UMNO pada masa kini hanyalah satu mesin naungan (patronage) dan kita boleh menjejaki kemunculan budaya ini semenjak pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971 oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang ke-dua. Pada mulanya, DEB bertujuan untuk menghapuskan kemiskinan di kalangan rakyat Melayu di luar Bandar. Tetapi, kemudiannya UMNO telah mula menggunakannya sebagai alat untuk mempertahankan sokongan kaum Melayu terhadap UMNO- "habuan untuk mendapatkan sokongan".
Kapitalisma kroni berkembang dan mencapai sifat sepenuhnya ketika era Mahathir, di antara tahun 1981 dan 2003. Ketika pemerintahan Mahathir, pembentukan 'parti-kerajaan' diilhamkan melalui polisi-polisi "Pengkoperatan Malaysia". Pada tahun 1980an, polisi-polisi ini membawa kepada pembangunan pesat industri-industri berat dan perlaksanaan projek-projek penswastaan perkhidmatan-perkhidmatan awam secara meluas. Pada masa yang sama, Mahathir menggunakan DEB untuk membangunkan dan memperkasakan kedudukan kapitalis-kapitalis Melayu dan ini secara tidak langsung telah memperkukuhkan politik naungan di kalangan ahli-ahli UMNO. Manakala jalinan intim dengan peniaga-peniaga kaya dan kapitalis dibentuk dan ini membolehkan mereka meluaskan aktiviti perniagaan mereka dalam syarikat-syarikat bumiputera dengan menikmati habuan dan kelonggaran yang dijanjikan dalam DEB. Satu statistik menunjukkan bahawa UMNO dan individu-individu tertentu yang berhubungkait dengan UMNO menjadi pengarah kepada lebih daripada 100 syarikat dengat nilai aset berjumlah RM4 billion sehingga tahun 1990.
Ketika ini, bagi kebanyakan orang, UMNO hanyalah pasport untuk pengumpulan kekayaan peribadi dan untuk memperolehi kedudukan yang membuahkan kemewahan. Ini secara tidak langsung telah menjunamkan UMNO ke dalam politik wang, budaya rasuah dan seterusnya mengkukuhkan politik naungan. Manakala parti-parti komponen BN yang lain seperti MCA, MIC dan lain-lain pula telah mempergunakan politik naungan UMNO sebagai model untuk mempertahankan sokongan kaum masing-masing. Dengan perkataan lain, 'pecah dan perintah' mengikut kaum untuk mempertahankan kuasa.
SOKONGAN MENINGKAT UNTUK PAKATAN RAKYAT
Manakala, semakin ramai warga pekerja dan rakyat biasa pelbagai kaum menyedari bahawa kroni-kroni UMNO/BN terus menerus mengaut keuntungan yang dijanakan oleh "kuasa buruh" kelas pekerja. Disebabkan oleh tindakan-tindakan parti-parti BN yang berpihak kepada kerakusan keuntungan maksima golongan kapitalis, kelas pekerja dan golongan miskin dipinggirkan daripada memperolehi manfaat-manfaat yang sewajarnya daripada kekayaan melimpah dan pembangunan pesat negara. Justeru itu, ramai membuat kesimpulan bahawa mereka perlu merubah keadaan ini. Oleh kerana tiada parti massa berlandaskan kelas pekerja, mereka menaruh harapan dengan menyokong Pakatan Rakyat.
Berdasarkan kepada keputusan-keputusan pilihanraya-pilihanraya kecil semenjak Pilihanraya yang ke-12, Pakatan di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim telah meningkatkan sokongannya, terutamanya di Semenanjung Malaysia. Manakala pilihanraya kecil di Batang-Ai (Sarawak) yang dimenangi oleh BN menunjukkan BN masih mempunyai kelebihan dari segi jentera pilihanraya dan kewangan dalam politik di Sabah dan Sarawak. Tetapi, perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat biasa di negeri-negeri ini terhadap polisi-polisi kerajaan BN semakin meningkat dan ini mungkin diterjemahkan sebagai sokongan kepada Pakatan jika perubahaan-perubahaan yang dijanjikan oleh BN di negeri-negeri ini tidak dilaksanakan.
Manakala, Pakatan juga akan mempergunakan konflik dalaman UMNO di antara kem Najib dan kem Abdullah untuk memperkukuhkan kedudukannya. Peningkatan penyingkiran pemimpin-pemimpin pro-Abdullah daripada kepimpinan parti boleh menaikkan kemarahan di kalangan penyokong-penyokong setia Abdullah. Jika konflik ini mencapai tahap yang genting, ini akan memungkinkan lebih ramai penyokong Abdullah keluar parti untuk menyertai Pakatan.
EKONOMI TERUMBANG-AMBING
Namun demikian, ramai lagi yang tidak yakin dengan politik Pakatan Rakyat yang jelas merestui agenda kapitalisma. Manakala ramai yang masih lagi di 'atas pagar' lebih prihatin tentang ekonomi dan taraf kehidupan mereka daripada politik yang dicanangkan oleh parti-parti politik tersebut. Oleh yang demikian, pada peringkat ini masa depan pemerintahan UMNO/BN amat bergantung kepada prestasi ekonomi negara.
Seorang ahli ekonomi United Overseas Bank berkata, " Ekonomi Asia masih belum sampai ke tahap terburuk… hanya menunggu masa sahaja kerana kita masih di peringkat awalan krisis". Masa depan ekonomi di setiap pelusuk dunia nampak muram dan tidak tentu. Mahupun pada peringkat awalan ini, di Malaysia , ramai pekerja dan juga golongan kelas pertengahan telah merasai kesan krisis ekonomi yang sedang melanda dunia. Ketika ini hampir 30,000 pekerjaan telah hilang, terutama di sektor elektronik dan pembuatan, sejak bulan Januari. Malahan, kelab kapitalis, Gabungan Majikan-majikan Malaysia menjangkakan pada akhir tahun ini lebih 400,000 pekerja akan kehilangan pekerjaan. Setakat ini ekspot telah jatuh sebanyak 30% di bulan Januari disebabkan kejatuhan permintaan daripada Amerika, Eropah, China, Jepun dan Singapura. Adalah dijangkakan ekonomi negara akan menguncup sebanyak 2.5% pada suku pertama dan 4% di suku kedua dan ketiga.
Agenda perubahan Najib bersama "pasukan untuk perubahan" yang dipilih oleh beliau boleh tercemar akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu. Ekonomi Malaysia yang berlandaskan kepada ekspot amat terdedah kepada perubahan ekonomi dunia dan kerajaan hampir tiada kuasa kawalan dalam hal ini. Tetapi, jika ekonomi semakin teruk, untuk menyelamatkan kapitalis-kapitalis tempatan yang mempunyai hubungan intim dengan UMNO/BN, Najib mungkin akan terdesak untuk memperkenalkan tindakan-tindakan pelindung sepertimana dilaksanakan oleh Mahathir ketika krisis kewangan 1997.
Dalam keadaan ekonomi yang semakin merosot yang akan memberi kesan besar kepada warga pekerja dan rakyat biasa, dengan sokongan yang semakin menyusut di kalangan kelas pekerja dan kelas pertengahan dan peningkatan konflik di dalam UMNO, Pakatan Rakyat dengan sokongan kapitalis-kapitalis tempatan dan antarabangsa, boleh mengambil peluang untuk menubuhkan kerajaan.
Walaubagaimanapun, BN yang telah memerintah secara mutlak selama 50 tahun dan membina gerombolan kapitalis kroni untuk terus berkuasa, tidak akan mengalah dengan mudah. Pada masa yang sama, ramai menjangkakan, Najib akan mempergunakan krisis ekonomi dan konflik dalaman UMNO sebagai alasan untuk kembali kepada penindasan ala-Mahathir. Ini bermakna BN akan mempergunakan setiap kemungkinan untuk mempertahankan kuasanya, termasuk mencemarkan dan menindas pemimpin-pemimpin Pakatan dan rakyat yang menentang. Dalam keadaan terdesak dan tertekan, ini mungkin boleh mencetuskan gerakan reformasi, yang mana mungkin lebih besar daripada tahun 1998.
KAPITALISMA DALAM KRISIS
Sistem kapitalis telah dilindungi dan dibangunkan oleh UMNO/BN semenjak merdeka dan mencapai satu tahap yang tinggi ketika era Mahathir. Ramai anak muda, pekerja, petani, pelajar dan yang lain terutamanya di Semenanjung, yang tertindas di bawah sistem kapitalis, telah mencapai kesimpulan bahawa UMNO/BN sudah terjerumus dalam kancah kapitalisma untuk kemewahan dan keuntungan peribadi dan kroni.
Ini menunjukkan sistem kapitalis yang dipelopori oleh kerajaan UMNO/BN bermatlamatkan semata-mata untuk membantu kapitalis-kapitalis nasional dan antarabangsa untuk memaksimakan keuntungan. Pada masa yang sama, mereka bertindak sebagai tali barut untuk memenuhi nafsu kuasa dan kemewahan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO/BN. Berdasarkan kepada sifat-sifat sedemikian, UMNO/BN tidak akan melindungi dan memenuhi hak-hak dan keperluan-keperluan asas warga pekerja, anak muda dan rakyat yang tertindas. Pak Lah yang dianggap sebagai seorang halim dan 'bersih' gagal untuk melaksanakan perubahan yang dijanjikan ketika peralihan kuasa, kerana Pak Lah tidak berdaya untuk berkonfrantasi dan mencabar sistem kapitalisma.
Walaupun Pakatan melaungkan perubahan dan hak demokrasi, tetapi mereka tidak berniat untuk mencabar sistem kapitalisma. Hakikatnya, Anwar, ketika bersama UMNO, adalah penganut neo-liberalisma dan sentiasa menyokong sistem pasaran bebas.
Mereka hanya mencadangkan agar sistem pasaran bebas kapitalisma ditukar wajah dengan mengurangkan rasuah dan meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran negara. Ini, pada hakikatnya, adalah tuntutan kapitalis-kapitalis antarabangsa untuk mengondol peluang-peluang perniagaan dan pelaburan dan sumber-sumber alam daripada dominasi kapitalis tempatan. Manakala kapitalis tempatan pula mempergunakan kapitalisma kroni yang dipelopori oleh UMNO/BN untuk melindungi nafsu keuntungan mereka daripada digondol oleh syarikat-syarikat multinasional. Pendek kata, kedua-dua kapitalis antarabangsa dan tempatan bermatlamatkan keuntungan maksima dan bukannya untuk memenuhi hak dan keperluan asas warga pekerja dan rakyat biasa.
Kerajaan Pakatan di negeri-negeri Selangor dan Pulau Pinang tidak dapat berbuat apa-apa apabila syarikat-syarikat multinational membuang para pekerja. Mereka tidak membantah polisi-polisi buruh murah, dan ,undang-undang buruh dan kesatuan yang menindas warga pekerja. Malahan, mereka tiada program yang jelas untuk menjaga dan melindungi hak kelas pekerja dan rakyat biasa jika Pakatan membentuk kerajaan persekutuan.
Di bawah sistem kapitalisma, hak-hak demokratik atau perubahan tertentu boleh dimenangi atas desakan gerakan massa. Jika Pakatan membentuk kerajaan, ada kemungkinan perubahan-perubahan dan hak demokratik tertentu dilaksanakan atas desakan warga pekerja dan rakyat biasa yang menuntut perubahan.
Tetapi, ekonomi Malaysia yang berlandaskan kepada ekspot bergantung kepada kapitalisma global, yang bermakna Malaysia terpaksa tunduk kepada keperluan-keperluan kapitalisma global. Dalam keadaan sedemikian, kapitalis-kapitalis antarabangsa selalunya lebih berkuasa daripada kerajaan itu sendiri. Sebab itu, dalam kebanyakan keadaan kerajaan terpaksa tunduk kepada permintaan-permintaan dan keperluan-keperluan multinasional untuk memaksimakan keuntungan. Sebab itu, kita ada polisi-polisi buruh murah, tiada gaji minima, tiada hak berkesatuan dan lain-lain yang menekan taraf kehidupan kelas pekerja dan rakyat miskin.
Akibatnya, tidak kira macam mana ikhlas kerajaan tersebut atau macam mana bersih pemimpin-pemimpin, jika mereka pro-kapitalisma, maka mereka terpaksa tunduk kepada permintaan-permintaan sistem tersebut. Ini semata-mata untuk memujuk kapitalis-kapitalis untuk menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan dan pelaburan. Dalam kes sebegini, hak-hak demokratik tertentu yang diperolehi pada suatu peringkat masa boleh diambil balik jika iannya tidak selaras dengan sistem keuntungan kapitalisma. Oleh itu, perjuangan untuk hak-hak demokrasi mesti dilaksanakan bersama dengan perjuangan terhadap kekejaman sistem kapitalisma.
SOSIALISMA UNTUK MASA DEPAN KITA
Kapitalisma di dunia sedang menghadapi krisis paling teruk dalam sejarahnya. Tetapi setiap kali krisis kapitalisma, kelas pekerja dan rakyat miskinlah yang terpaksa menanggung beban krisis akibat kerakusan keuntungan kapitalis-kapitalis. Dengan agenda pro-kapitalis, BN dan Pakatan tidak mewakili aspirasi dan kehendak kelas pekerja dan mereka tidak mempunyai penyelesaian kepada krisis ekonomi dan kehendak warga pekerja selain menyelamatkan pasaran bebas kapitalisma dengan agenda perubahan mereka.
Sistem kapitalis tidak menawarkan masa depan untuk kelas pekerja, anak muda, rakyat miskin dan yang lain yang tertindas di bawah sistem ini. Sistem ini juga memusnahkan alam persekitaran kita. Sebagai alternatif kita perlu membina satu masyarakat sosialis yang mengutamakan keperluan-keperluan asas masyarakat di negara kita dan juga di dunia melalui satu perancangan yang demokratik.
Oleh itu, selain berjuang untuk hak-hak demokratik, kelas pekerja dan rakyat miskin, dengan sokongan petani, golongan kelas pertengahan dan pelajar, mempunyai tugas penting untuk membina satu parti massa yang dengan jelas menentang sifat-sifat pemusnah sistem kapitalis dan pada masa yang sama meletakkan program sosialis sebagai alternatif. Ini adalah masa untuk membina alternatif ini, alternatif kelas pekerja untuk masa depan kita dan sejagat.
No comments:
Post a Comment