Jika kita menyusun senarai tragedi kemanusiaan yang
paling kejam pernah berlaku dalam dunia moden ini, maka pembunuhan
besar-besaran terhadap orang-orang yang dituduh komunis di Indonesia sudah
pasti berada dalam urutan lima terbesar. Dalam tempoh tiga tahun sahaja
(1965-1968), pembunuhan terancang terhadap ahli dan penyokong Parti Komunis
Indonesia (PKI) telah menamatkan riwayat lebih satu juta nyawa. Tahun 2015 ini,
telah lima puluh tahun peristiwa berdarah itu berlalu, tetapi kontroversi
sejarah mengenainya masih tiada penghujungnya.
PERKEMBANGAN PKI
PKI yang ditubuhkan pada tahun 1921 adalah pertubuhan
politik pertama yang menggunakan nama ‘Indonesia’ sebagai nama organisasi di
kawasan yang pada masa itu masih disebut sebagai Hindia Belanda. Dipimpin oleh
anak-anak muda seperti Semaun dan Tan Malaka, PKI berjaya mendapat sokongan
rakyat kebanyakan, termasuk bekas ahli Syarikat Islam. Pada tahun 1926, PKI
melancarkan satu pemberontakan terhadap Belanda di pelbagai daerah. Tindakan
ini ditumpaskan oleh pemerintah, dan ramai pemimpinnya ditahan atau melarikan
diri ke luar negara. Perdebatan dalaman mengenai strategi pemberontakan itu
juga menyebabkan parti itu berpecah. Pada masa inilah sokongan terhadap Parti
Nasionalis Indonesia (PNI) di bawah pimpinan Soekarno meningkat.
Walaupun Indonesia sudah mengisytiharkan kemerdekaan pada
tahun 1945, Belanda baru sepenuhnya melepaskan seluruh daerah kekuasaannya
kepada pemerintah Indonesia pada tahun 1948. Sebelum ini, para pemimpin PKI
selepas pemberontakan 1926 tetap bergerak di bawah tanah sama ada di Hindia
Belanda atau di luar negara dengan misi membina semula parti . Atas arahan
Stalin, PKI yang baru mula kembali aktif di bawah pimpinan Muso melakukan
sebuah tindakan insurgensi di bandar Madiun, Jawa Timur. Tindakan pramatang ini
berjaya ditumpaskan oleh tentera dan sekali lagi PKI mesti memulakan untuk
membina parti dari awal lagi.
Pada tahun 1951, DN Aidit mengambil alih kepimpinan PKI
dan dalam masa yang singkat berjaya membina parti menjadi salah satu yang terkuat
di Indonesia. Dalam pilihan raya pertama yang pernah diadakan di Republik itu
pada tahun 1955, PKI menduduki tangga keempat selepas PNI dan dua parti Islam,
iaitu Parti Nahdatul Ulama, dan Parti Masyumi. Kerajaan pakatan PNI, PKI dan
parti-parti Islam ditubuhkan oleh Soekarno. Demokrasi liberal yang dilaksanakan
pada waktu itu menyebabkan kerajaan tidak stabil dengan peneraju pemerintahan
dan perlembagaan negara kerap berubah. Situasi ini dipergunakan oleh Soekarno
untuk mengeluarkan sebuah mandat presiden pada tahun 1959 yang mengangkat
dirinya sendiri sebagai presiden seumur hidup. Gaya pentadbiran Soekarno dengan
slogan-slogan seperti ‘demokrasi terpimpin’, ‘marhain’ cenderung kepada
pentadbiran autoritarian dan nasionalisme, dan PKI meneruskan kesepakatan
mereka tanpa kritikal kepada pendekatan politik dan program-program ekonomi dan
sosial kerajaan Soekarno yang tidak mampu menyelesaikan masalah petani dan
pekerja. Tetapi kerapatan PKI dan Soekarno serta perkembangan pesat sokongan
rakyat kepada PKI yang dianggap parti yang tidak korup berbanding parti-parti
lain, menyebabkan kerajaan Soekarno menjadi sasaran untuk dijatuhkan oleh blok
Barat. Pada masa itu adalah puncak perang dingin dan Soekarno melancarkarkan
dasar anti Amerika. Apalagi pada waktu itu PKI sudah menjelma menjadi sebuah
parti komunis ketiga terbesar di dunia dan mempunyai hubungan rapat dengan
Kesatuan Soviet dan Republik Rakyat China.
Salah satu faktor peningkatan sokongan rakyat kepada PKI
adalah program reformasi tanah yang memang disokong oleh majoriti penduduk
Indonesia yang merupakan petani. Barisan Tani Indonesia (BTI), iaitu pertubuhan
petani di bawah PKI memimpin penentangan terhadap perampasan tanah oleh
tuan-tuan tanah. Sikap konfrantasi mereka menimbulkan konflik langsung dengan
tuan-tuan tanah yang majoritinya adalah penyokong parti-parti Islam dan mereka
juga dipertahankan oleh tentera. Ini menambah tahap konflik di antara golongan
ulama dan tuan-tuan tanah, dan tentera di satu pihak, dan PKI di pihak yang
lain. Soekarno dengan golongan nasionalisnya berada di tengah-tengah, walaupun
tentera dan parti-parti Islam menganggap beliau terlalu memihak kepada PKI.
Persaingan politik di antara PKI dan tentera bersama
golongan parti-parti Islam dipergunakan oleh Barat untuk menghancurkan PKI. Isu
bahawa terdapat "dewan Jeneral" yang hendak mengambil alih kuasa
secara paksa dari Soekarno dihembuskan. PKI kemudian terpancing dengan isu ini
dan mengambil sikap menentang kewujudan "dewan jeneral". Pengakhiran
nasib PKI bermula pada 30 September 1965 yang dikenali sebagai peristiwa G30S.
Satu plot rampasan kuasa telah dilancarkan oleh sekumpulan puak tentera yang
menculik enam orang jeneral, membunuh mereka, dan mencampakkan mayat di sebuah
perigi tua di daerah Lubang Buaya, Jakarta. Pihak tentera kemudian langsung
mengatakan bahawa pembunuhan jeneral itu dilakukan oleh PKI.
Sampai saat ini, ada beberapa versi sejarah tentang siapa
dalang sebenar di sebalik pembunuhan jeneral itu. Namun analisis yang paling
kuat menunjukkan bahawa agensi perisik antarabangsa Amerika Syarikat CIA
memainkan peranan di dalam insiden itu. Ini dilakukan untuk menjadikan PKI
sebagai kambing hitam dan alasan untuk menumpaskan mereka sampai ke akarnya.
Suharto yang merupakan boneka Amerika Syarikat, dan antara dalang dalam
perancangan untuk menghancurkan PKI, mengambil alih kepimpinan negara.
PEMBUNUHAN BESAR-BESARAN
Maka bermulalah sebuah sejarah hitam bagi rakyat
Indonesia. Sesiapa sahaja yang dianggap mempunyai kaitan dengan PKI kemudian
menjadi mangsa pembunuhan besar-besaran. Aksi pembunuhan besar-besaran tersebut
dilakukan oleh kumpulan-kumpulan sivil yang anti komunis dengan sokongan
tentera. Salah satu laporan menyebut bahawa pembunuhan terhadap orang-orang
yang dituduh komunis dan ahli keluarga mereka bermula apabila tentera
menghantar satu batalion menuju ke Jawa Tengah pada 17 Oktober 1965. Pembunuhan
terhadap orang-orang yang dituduh sebagai PKI terus berlanjutan sehingga tahun
1968. Dalam tempoh tiga tahun tersebut, dijangkakan lebih satu juta nyawa terkorban.
Mereka yang terselamat dari pembunuhan, diseksa, dirogol, kemudian dihantar ke
penjara tanpa melalui proses mahkamah. Empat belas ribu diasingkan ke Pulau
Buru dan menjadi buruh paksa.
Banyak mangsa sebenarnya tidak tahu apa yang sedang
berlaku, satu persatu diambil paksa dari rumah mereka, dibawa ke suatu tempat,
dan dibunuh bersama mangsa lain. Daripada kaedah bagaimana pembunuhan itu
dilakukan, jelas ini merupakan tindakan yang terancang. Sarwo Edhie, komander
tentera yang bertanggungjawab terhadap aksi pembunuhan ini mengatakan: "Di
Jawa kami harus menghasut penduduk untuk membantai orang-orang komunis. Di Bali
kami harus menahan mereka, untuk memastikan bahawa mereka tidak bertindak
terlalu jauh. "
Pada 11 Mac 1966, Suharto secara rasmi mengambil alih
kerusi presiden dari Soekarno melalui sebuah surat perintah. Maka bermulalah
dasar negara yang pro kepada Amerika Syarikat di mana Orde Baru membuka
seluas-luasnya peluang kepada kapitalis-kapitalis antarabangsa melabur dan
menguasai sumber alam yang penting. Penjajahan modal antarabangsa itu masih
dirasakan impaknya sampai saat ini. Suharto yang memerintah secara autoritarian
dan ketenteraan tidak pernah bertimbang rasa terhadap sebarang penentangan.
Jika ada saja yang menentang rejim Orde Baru, maka akan dituduh sebagai PKI.
Aktivis pekerja, petani dan pembela masyarakat miskin lain boleh dengan mudah
dituduh melaksanakan cara-cara PKI. Bayangan ketakutan terhadap bahaya PKI
masih dipergunakan oleh rejim pemerintah hingga ke saat ini, walaupun kediktatoran
rejim Soeharto telah dijatuhkan pada tahun 1998 melalui gerakan reformasi.
Sejarawan Takashi Siraishi mengakui bahawa PKI berperanan
dalam perjuangan kemerdekaan Indonesia. Merekalah yang paling awal melakukan
pemberontakan terhadap Belanda pada tahun 1926. Anggapan bahawa PKI sebagai
pihak yang merancang G30S juga sudah banyak ditolak oleh sejarawan lain.
Menurut analisis alternatif sejarah yang banyak bermunculan selepas reformasi,
maka penglibatan CIA, Soeharto, dan tentera dalam menghapuskan PKI melalui G30S
tidak dapat dinafikan. Namun propaganda rejim Orde Baru terhadap PKI kononnya
kekejaman dan pengkhianatan dilakukan PKI membuat parti itu dibenci sampai saat
ini.
KELEMAHAN POLITIK PKI
Pada Ogos 1965, tiga setengah juta rakyat Indonesia telah
menjadi ahli PKI , dan di samping itu, organisasi yang berlandaskan kepada
kesatuan sekerja, petani, anak muda, wanita dan pergerakan budaya bergabung
dengannya dengan sokongan lebih 20 juta orang. Dengan kekuatan tersebut, PKI
mempunyai satu posisi yang mantap dan peluang untuk mengambil alih kuasa,
tetapi kelemahan dan kesilapan perspektif politik, taktik dan program telah
memberikan laluan kepada musuh untuk menghancurkannya.
Dari awal lagi, politik PKI telah terjerat di dalam
agenda-agenda oportunis rejim stalinisme di Moscow dan rejim maoisme di Peking
yang menggalakkan perikatan dengan kapitalis nasional semata-mata untuk
menggagalkan pembentukan kerajaan demokratik pekerja yang akan menjadi ancaman
kepada kediktatoran birokrasi yang diamalkan oleh rejim-rejim ini, dan juga di
negara-negara di bawah naungan mereka. Dalam satu kenyataan, Aidit mengusulkan
tugas utama PKI adalah untuk membentuk “barisan bersatu semua kuasa-kuasa
anti-imperialis dan anti-feudal di negara ini. Iaitu kelas pekerja, petani, petit-borjuasi
(kapitalis kecil) dan borjuasi (kapitalis) kebangsaan.
Dengan tugas ini matlamat perikatan adalah untuk membawa
pembaharuan bukan sosialis tetapi demokrasi". Pendekatan PKI menjalinkan
pakatan dengan Soekarno dan PNI dengan matlamat tersebut ternyata membawa padah
apabila tentera dan parti-parti Islam yang rapat dengan tuan-tuan tanah dan
kapitalis nasional mempergunakan imperialis US dan CIA untuk melancarkan
pembunuhan kejam terhadap ahli dan penyokong PKI.
Jelas di sini tuan-tuan tanah dan kapitalis nasional yang
mengeksploitasi ha-hak petani, pekerja dan rakyat miskin tidak akan
menyempurnakan tugas-tugas ‘revolusi demokratik borjuasi’, seperti reformasi
tanah dan memberikan tanah kepada para petani yang boleh mewujudkan pasaran
dalaman yang berdaya maju; penyatuan negara dan pembangunan negara di sepanjang
garis moden dari segi ekonomi dan politik melalui institusi demokrasi
berparlimen. Tugas-tugas ini telah disempurnakan oleh kelas kapitalis nasional
di negara-negara kapitalis maju (Eropah, Amerika dan lain-lain) secara kasar di
akhir abad kesembilan belas. Tetapi kapitalis nasional yang juga mempunyai
hubungan akrab dengan tuan-tuan tanah di Indonesia agak lemah pada masa itu,
dan lebih selesa untuk bergerak atas kehendak kapitalis antarabangsa daripada
membawa ‘demokrasi’ di Indonesia seperti yang dinyatakan oleh Aidit. US dan
negara-negara Imperialis yang lain yang terus mengeksploitasi sumber-sumber
kekayaan di Indonesia sedar bahawa hanya dengan menumpaskan perkembangan PKI,
kebangkitan petani dan pekerja dapat dicantas, dan seterusnya mengangkat
orang-orang suruhannya seperti Soeharto untuk menegakkan agenda
neo-liberalisme.
Seperti kata Lenin pada awal 1920an, "Saya
terutamanya perlu menekankan soal gerakan demokrasi borjuasi di negara-negara
mundur ... Terdapat perbezaan tertentu antara kapitalis di negara-negara yang
mengeksploitasi dan negara-negara jajahan, sehingga seringkali atau mungkin
dalam kebanyakan kes, sementara kapitalis di negara-negara yang ditindas
menyokong gerakan kebangsaan, mereka berhaluan sepenuhnya dengan kapitalis
imperialis iaitu menyertai pakatan dengannya terhadap semua gerakan-gerakan
revolusioner dan kelas revolusioner ". Memandangkan kapitalis nasional
tidak akan memenuhi hak-hak dan keperluan pekerja, petani, anak muda dan rakyat
miskin termasuk hak-hak ‘demokrasi’, apakah seharusnya dilakukan oleh PKI ?
Trotsky, yang telah menganalisis sifat revolusi di dunia
penjajah dalam ‘Teori revolusi berterusan’, menegaskan bahawa kesedaran
kapitalis kebangsaan dan kepentingan feudal telah ditenun bersama-sama di dunia
kolonial dan separuh kolonial. Oleh itu kapitalis kebangsaan tidak akan
menyebelahi pekerja dan petani miskin terhadap kepentingan feudal, atau
kepentingan imperialisme. Oleh itu, pekerja dan petani perlu menjalankan
tugas-tugas revolusi demokratik borjuasi, dengan kata lain perlu juga menentang
borjuasi kebangsaan. Sejarah menunjukkan sifat petani yang berpangkalan di luar
bandar akan mengharapkan kelas di bandar untuk melakukan revolusi, iaitu sama ada
kelas kapitalis atau kelas pekerja. Tetapi dalam kes Indonesia pada masa itu,
revolusi tidak akan dibawa oleh pihak kapitalis kerana revolusi melawan
kepentingan mereka, dan dengan itu ia perlu dipimpin oleh kelas pekerja dengan
sokongan petani dan golongan tertindas yang lain. Tetapi setelah memulakan
‘revolusi demokratik kapitalis’ menentang kapitalis dan imprealis, pekerja dan
petani jelas tidak akan berhenti di situ, dan dengan itu tugas-tugas revolusi
sosialis harus diteruskan. Sebaliknya, kerana kemustahilan membina sosialisme
di satu negara, terutamanya di negara yang mundur dari segi ekonomi, revolusi
akan akhirnya perlu untuk disebarkan secara antarabangsa. Pengalaman Revolusi
Russia yang pada tahun 1917 yang berlandaskan ‘Teori revolusi berterusan’,
menunjukkan bahawa Parti Bolshevik di bawah kepimpinan Lenin dan Trostky telah
membuktikan bahawa dengan kepimpinan kelas pekerja yang disokong oleh warga
miskin petani mampu untuk mengambil kuasa, walaupun pekerja adalah golongan
minoriti.
PEMBINAAN SOSIALISME MASIH RELEVEN
Semenjak kejatuhan Suharto, pemimpin demi pemimpin
bertukar, parti demi parti memerintah sehinggalah kepada kerajaan Jokowi pada
masa ini, tetapi kemiskinan dan penindasan sosial dan ekonomi terhadap warga
pekerja dan petani miskin terus berleluasa. Semenjak menghancurkan PKI pada
1965 pula, kapitalis nasional dan antarabangsa telah memperluaskan agenda
neo-liberal untuk sepenuhnya mengawal ekonomi negara untuk memaksimumkan
keuntungan mereka.
Ini menunjukkan pembinaan sosialisme sebagai alternatif
kepada kapitalisme masih penting untuk memerdekakan pekerja dan petani daripada
kemiskinan dan penindasan. Program sosialis diperlukan untuk menangani
ketidaksamaan sosial dan ekonomi yang semakin meluas dan menegakkan hak-hak kelas
pekerja dan golongan miskin luar bandar untuk menamatkan diskriminasi dan
kemiskinan yang dicipta oleh kapitalisme. Sosialis dan Marxist di Indonesia
perlu belajar daripada pengalaman PKI dan kesilapan mereka untuk bergerak ke
hadapan dalam membantu pembinaan sosialis alternatif untuk kelas pekerja,
petani, anak muda dan golongan tertindas yang lain.
No comments:
Post a Comment