Saturday 7 March 2015

HARI WANITA SEDUNIA : MEMBEBASKAN WANITA DENGAN PERJUANGAN SOSIALISME !


Sehingga hari ini, wanita masih lagi disubordinasi dua kali. Pertama, mereka berada dalam cengkaman kekuasaan kapitalis. Kedua, mereka ditindas kerana status gender mereka. Dalam konteks ini, wanita tidak harus memusuhi golongan lelaki, tetapi menganalisis dengan kritis sebab-sebab berlakunya penindasan. Ia sebetulnya dapat dilihat pada hubungan antara kapitalisme dengan patriarki. Ini kerana sistem patriarki menekankan kedudukan lelaki sebagai sangat superior dan lebih martabat berbanding wanita. Pendek kata, sistem ini membuatkan wanita tunduk kepada kekuasaan lelaki. Keadaan ini mengakibatkan wanita cenderung untuk didominasi dan dieksploitasi. Apatah lagi apabila patriarki juga ditekankan oleh kapitalisme yang memerlukannya untuk memperbesarkan akumulasi kapital semata-mata. Wanita malah dijadikan sebagai komoditi. Bahkan, penindasan terhadap golongan wanita juga terjadi akibat kepemilikan peribadi dan wujudnya masyarakat kelas.

Di Malaysia, diskriminasi dan sikap merendah-rendahkan wanita terus terjadi. Wanita dianggap sebagai rakyat kelas kedua dengan alasan mereka beremosi dan lemah secara fizikal. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyatakan bahawa negara berpendapatan tinggi tidak patut bergantung kepada wanita sebagai penyumbang utama dan golongan lelaki yang perlu mengetuai usaha untuk membina negara. Ridhuan Tee pula menyalahkan golongan wanita sebagai punca berlakunya masalah rogol. Manakala di Terengganu, golongan wanita Islam yang tidak menutup aurat akan didenda sekitar RM80-RM120. Mereka juga dilarang untuk membonceng motosikal yang ditunggang oleh lelaki. Pada masa yang sama, purata gaji bagi golongan wanita di negara ini masih rendah berbanding lelaki iaitu kira-kira hanya RM2071 berbanding RM2260 meskipun untuk melakukan pekerjaan yang sama.

Persoalan tentang patriarki, penindasan, kapitalisme dan sebagainya ini juga harus diserentakkan dengan persoalan bagaimana untuk mencapai pembebasan wanita. Kata Lenin, golongan pekerja tidak mampu untuk membebaskan dirinya daripada kapitalisme tanpa terlebih dulu membebaskan golongan wanita daripada penindasannya. Kapitalisme telah gagal menjamin kehidupan yang adil untuk semua dan tidak menghormati hak wanita. 

Dalam sosialisme, struktur masyarakat adalah dimana alat produksi dimiliki dan diakses dengan demokratis oleh kedua-dua golongan lelaki dan wanita. Tidak ada taraf yang lebih superior dan semuanya adalah sama sahaja. Justeru, golongan lelaki dan wanita mesti bersatu berjuang untuk sistem ekonomi yang dirancang dengan demokratik dan untuk hak yang sama bagi semua orang. 

Golongan wanita juga perlu melibatkan diri dalam produksi sosial agar dapat mencapai kondisi material untuk kebebasan ekonomi dan pemberdayaan diri mereka. Kerja-kerja domestik seperti mengasuh anak harus diberikan penilaian yang sama rata sebagaimana dengan produksi sosial yang menyumbang kepada masyarakat. Hanya kesetaraan dalam sosialisme yang dapat mengakhiri segala bentuk ketidakadilan kepada golongan wanita. Pembebasan wanita hanya menjadi nyata dengan perjuangan sosialisme, berjuang untuk sosialisme dan pembebasan bagi wanita adalah berjalan seiring!

Sharifah, Sosialis Alternatif

Wednesday 4 March 2015

ANAK MUDA PERLU MEMBAWA POLITIK ALTERNATIF


Baru-baru ini, kumpulan anak muda yang dikenali sebagai UM8 yang dituduh bersalah dan didenda oleh Universiti Malaya kerana menganjurkan ceramah dengan menjemput Anwar Ibrahim di perkarangan kampus, telah membuat usaha untuk mewujudkan sebuah gerakan anak muda seluruh Malaysia. Kumpulan yang dinamakan Anak Muda Harapan Malaysia (AMHM ) ini diketuai oleh aktivis mahasiswa Fahmi Zainol berhujah untuk membawa keluar Malaysia dari politik perkauman yang semakin dipermainkan oleh ahli-ahli politik masakini.

Fahmi berkata AMHM mahu masa depan di mana wakil daripada semua kaum akan bersama-sama membuat keputusan mengenai dasar-dasar kerajaan, sambil menambah bahawa dasar tindakan afirmatif bumiputera adalah ketinggalan zaman dan perlu dilihat semula untuk menentukan jika ianya masih diperlukan.

Tindakan anak muda UM ini adalah sebagai langkah berani menentang ketidakadilan dan mewujudkan alternatif untuk membawa sebuah perubahan bagi Malaysia. Akan tetapi, pada masa yang sama, anak muda dan mahasiswa juga perlu sedar dengan cabaran-cabaran yang wujud di hadapan mata mereka dan mengambil strategi dan perspektif yang berkesan bagi menjayakan dan mengembangkan usaha ini.

Anak muda dan kumpulan mahasiswa merupakan lapisan yang paling aktif dalam sesebuah masyarakat. Dibekalkan dengan idea-idea yang baru dan akses kepada medium pendidikan, golongan anak muda mampu melihat lebih jauh jika dibandingkan dengan kelas pekerja atau rakyat tertindas. Gerakan anak muda juga sering menjadi inspirasi kepada gerakan yang lebih besar yang melibatkan massa. Seperti yang dilihat di Revolusi Perancis 1968, Reformasi Indonesia 1998, Revolusi Mesir dan Tunisia baru-baru ini, kebanyakan gerakan massa ini telah dimulakan oleh golongan anak muda yang berani dan tulus.

Walaubagaimanapun, bagi membawa sebuah perubahan yang tulen, gerakan anak muda ini harus mendapat sokongan daripada rakyat biasa terutamanya kelas pekerja. Setiap percubaan untuk membawa sesuatu perubahan terbukti memerlukan sokongan daripada majoriti rakyat dan jika gerakan anak muda ini tidak mendapat perhatian orang ramai, maka prospek kejayaan bagi gerakan ini tidak begitu menggalakkan. Lihatlah contoh di Mesir dimana penentangan terhadap rejim Hosni Mubarak yang dimulakan oleh golongan anak muda hanya berjaya apabila kelas pekerja dapat mengorganisasi aksi-aksi mogok di tempat kerja yang telah menggugat ekonomi pemerintah dan seterusnya mampu digulingkan.

CUBA: ADAKAH KERAJAAN RAUL CASTRO MENUJU KE ARAH KAPITALISME ?


Presiden Obama dan Raul Castro menyambut tahun baru 2015 dengan menandatangani satu perjanjian yang dianggap bersejarah antara kedua-dua negara tersebut. Perjanjian ini bertujuan untuk memulihkan hubungan diplomatik antara Amerika dan Cuba, memudahkan pelancongan dan juga untuk mengambil langkah-langkah awal ke arah pelonggaran sekatan perdagangan (embargo) yang telah dikenakan sejak revolusi Cuba 1960. Beberapa tahanan warganegara kedua-dua negara Cuba dan Amerika sudahpun dibebaskan sebagai tanda ke arah hubungan yang lebih erat di masa hadapan.

Langkah ini merupakan peralihan penting dalam polisi imperialisme Amerika Syarikat ke atas Cuba. Ia juga menandakan satu lagi langkah rejim Cuba ke arah pemulihan agenda kapitalis. Pengumuman ini adalah hasil rundingan rahsia antara kedua-dua kerajaan yang telah berlaku di Kanada untuk beberapa tahun. Rundingan yang melibatkan kerajaan sayap kanan Kanada dan Pope adalah amat penting dalam mengatur perjanjian-perjanjian tersebut.

Obama berhujah "Kita tidak boleh terus melakukan perkara yang sama (selama lebih 50 tahun) dan mengharapkan hasil yang berbeza". Kelas-kelas pemerintah Eropah, Kanada dan Amerika Latin telah lama mengambil pendekatan yang serupa seperti Obama terhadap Cuba.

Raul Castro mengangkat Obama dan menyarankan supaya dia diberikan anugerah Nobel Keamanan walaupun pemerintahan Obama selama 6 tahun telah melancarkan serangan ke atas pelbagai Negara !

Sejak revolusi Cuba 1959-1960, imperialisme Amerika Syarikat telah menggubal sekatan yang ketat dan melaksanakan pelbagai percubaan - termasuk campur tangan bersenjata pada tahun 1961 - untuk menggulingkan rejim Cuba dan memulihkan kapitalisme. Walaupun sekatan ekonomi yang dianggarkan telah menelan belanja sebanyak 1 trilion USD bagi Cuba sejak penguatkuasaannya, dasar ini tidak berjaya. Ini disebabkan oleh sokongan rakyat Cuba yang kukuh terhadap revolusi yang berlaku. Sekatan ekonomi tersebut juga adalah satu dasar untuk memenangi sokongan pelarian Cuba akibat revolusi yang menetap di Miami, Amerika.

Sekarang, imperialisme Amerika akan cuba menggunakan dasar baru yang telah bermula dengan usaha menarik balik sekatan ekonomi ke atas Cuba sedikit demi sedikit. Seperti yang dihujah oleh Trotsky, ancaman pemulihan kapitalisme ke atas kerajaan pekerja yang terpencil bukan sahaja datang dari bentuk serangan bersenjata daripada kuasa imperialisme, tetapi juga boleh datang dalam bentuk ‘barangan murah’. Objektif Amerika Syarikat adalah masih sama, tetapi jalan yang dipilih pada masa ini adalah berlainan. Mereka bercadang untuk membanjiri ekonomi Cuba dengan barangan dan pelaburan dengan matlamat untuk mengembalikan kapitalisme dengan sepenuhnya.

Tuesday 3 March 2015

ANWAR MANGSA PERCATURAN POLITIK KAPITALISME

Pada 10 Februari lalu, Anwar Ibrahim, dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun oleh Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuannya terhadap sabitan bagi kes liwat 2.0. Pada akhir penghakiman, Anwar membantah dari kandang tertuduh, memberitahu hakim bahawa mereka telah menjadi "rakan kongsi dalam jenayah pembunuhan kebebasan kehakiman". Kira-kira 2,000 orang berkumpul di hadapan mahkamah untuk membantah ketidakadilan terhadap Anwar.

Kehakiman tersebut secara meluas dianggap sebagai komplot politik oleh kerajaan BN di bawah pimpinan Najib Razak untuk melemahkan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat sokongan dalam dua pilihanraya umum yang lalu. Sosialis Alternatif mengutuk tindakan yang tidak bertanggungjawab kerajaan pemerintah yang mempergunakan mahkamah, media dan jentera-jentera kerajaan yang lain untuk menidakkan kebebasan dan hak demokrasi pembangkang dan juga rakyat biasa.

KEMARAHAN YANG SEMAKIN MENINGKAT

Pungutan suara Merdeka Center bulan Oktober lalu mendedahkan bahawa 48% rakyat sama ada mempunyai sedikit keyakinan atau tidak yakin langsung dengan kebebasan badan kehakiman negara. Dengan pencabulan hak demokrasi yang lain ditambah dengan ketidaktentuan dalam ekonomi dan keperluan sosial yang semakin merosot, rasa tidak percaya rakyat terhadap kerajaan BN dijangka semakin meningkat. Dengan perkembangan sebegini, Pakatan akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan menjelang 2018. Tetapi keputusan memenjarakan Anwar boleh meletakkan ketiga-tiga parti gabungan Pakatan dalam keadaan kucar-kacir tanpa Anwar yang telah bertindak sebagai penyatu selama ini. Konflik antara DAP dan PAS telah menjadikan Pakatan rapuh. Tetapi dengan kemarahan rakyat yang semakin meningkat terhadap BN, Pakatan akan tertekan untuk bersatu di bawah satu kepimpinan yang baru untuk mengukuhkan kedudukannya bagi mengambil kuasa pemerintahan.

Kerajaan-kerajaan luar negara seperti Amerika Syarikat dan Australia telah mengeluarkan kenyataan mengkritik keputusan mahkamah sebagai satu penghakiman yang ‘bermotifkan politik', tetapi apabila Obama dan Tony Abbott baru-baru ini melawat Najib (Obama juga bermain golf dengan Najib di Hawaii Disember lalu), mereka langsung tidak memberi tekanan kepadanya untuk perbicaraan mahkamah yang adil untuk Anwar. Ini sekali lagi menunjukkan kepura-puraan dan tidak konsisten kerajaan-kerajaan kapitalis terhadap hak-hak dan ketidakadilan demokratik. Tetapi beberapa pemimpin antarabangsa semata-mata membantah keputusan Anwar kerana mereka adalah dari sekolah pemikiran kapitalisme pasaran bebas yang sama. Anwar telah menyokong kuat agenda Bank Dunia dan IMF terutamanya ketika krisis kewangan 1998.