Thursday, 1 October 2015

GREECE: RAKYAT TIDAK MENGUNDI MENGUASAI PILIHAN RAYA UMUM


SOSIALIS ALTERNATIF MASSA PERLU DIBINA

Pada 20 September, Syriza telah kembali berkuasa dalam pilihan raya umum dan bersedia untuk berkongsi kuasa lagi dengan sayap kanan Greece Independence. Pemimpin Syriza, Alexis Tsipras, mendakwa beliau mempunyai mandat untuk meneruskan dasar berjimat cermat sebagai balasan kepada perjanjian ‘bailout’ (langkah-langkah menyelematkan pasaran dan sistem ekonomi kapitalis) ketiga dengan Troika (Suruhanjaya Eropah, Bank Pusat Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa). Adakah ini benar?
Andreas Payiatsos, daripada Xekinima (CWI Greece) membincangkan keputusan pilihan raya tersebut, dan tindakan golongan kiri anti-penjimatan (anti-austerity) di Greece.


1) Apakah ciri-ciri utama keputusan pilihan raya?

Aspek yang paling penting dalam pilihan raya ini adalah golongan rakyat yang tidak mengundi agak tinggi. Kira-kira 45% tidak mengundi. Sebelum 'memorandum' (pakej penjimatan yang dipersetujui oleh kerajaan Greek dengan Troika sebagai balasan untuk tawaran bailout) golongan rakyat yang tidak mengundi adalah di antara 25% dan 30%.
Bilangan undi semakin merosot untuk semua pihak berbanding pilihan raya lepas pada bulan Januari, walaupun peratusan mereka meningkat masa ini. Syriza mendapat 35.46% (36.34% pada bulan Januari) tetapi sebenarnya hilang 320,000 undi. Parti tradisional kelas pemerintah, sayap kanan New Demokrasi, mendapat sekitar peratusan yang sama seperti pada Januari lepas (28.10%) tetapi juga kehilangan kira-kira 200,000 undi.
Parti Neo-Nazi (fasis), The Golden Dawn (GD) tempat ketiga dengan 6.99% sedikit meningkat dengan peratusan sebelumnya dan mereka masih amat bahaya kepada kelas pekerja. Undi mereka jatuh sebanyak 10,000, kecuali di beberapa pulau-pulau berhampiran dengan Turki, di mana GD mengeksploitasi krisis pelarian untuk mendapat undi.
Parti sosial demokrasi, Pasok, ketinggalan di belakang Golden Dawn. Ia terus dihukum dalam pilihan raya demi pilihan raya selepas bertahun-tahun dalam kerajaan yang dipenuhi dengan rasuah dan langkah-langkah penjimatan.
Jelas sekali, kebanyakan rakyat menjauhkan diri daripada parti-parti utama pro-penjimatan. Rata-rata kempen pilihan raya adalah sangat tidak memberangsangkan - tidak pernah ada keadaaan minat yang amat rendah di kalangan rakyat berbanding dengan pilihan raya - pilihan raya sebelum ini.

2) Bagaimana Syriza boleh menang selepas mengakibatkan rasa putus asa begitu tinggi di kalangan rakyat dengan U-turn mereka pada langkah-langkah anti-penjimatan?

Syriza tidak menang berdasarkan satu gelombang semangat tulen dari pekerja, pesara dan anak muda - seperti yang berlaku pada bulan Januari lalu apabila ia mengemukakan program anti-penjimatan. Pekerja dan masyarakat kelas menengah mengundi atas dasar ‘lebih baik daripada parti-parti lain’.
Walaupun memenangi referendum pada 5 Julai atas dasar menentang penjimatan, Alex Tsipras seminggu kemudian melutut kepada Troika, dan menerima syarat ‘bailout’ baru yang lebih membebankan rakyat.
Tsipras mempergunakan retorik-retorik kiri ketika kempen pilihan raya, dan beberapa ahli bawahan parti masih mempunyai ilusi terhadapnya. Beliau dibantu oleh fakta bahawa memorandum yang ditandatanganinya belum lagi dilaksanakan, dan oleh itu pekerja belum lagi merasakan kesan daripada langkah-langkah penjimatan yang baru. Tspiras berhujah bahawa beliau telah diugut oleh Troika untuk menerima memorandum atau akan menghadapi pengusiran dari zon Euro dengan kesan-kesan yang amat teruk.
Dalam batasan langkah-langkah penjimatan yang dikenakan, Syriza akan cuba mencari cara untuk membantu yang paling lemah dan menyerang orang-orang kaya, tambah Tsipras. Tetapi kebanyakan pekerja yang mengundi Syriza tidak mempunyai ilusi terhadap Syriza. Mereka hanya berharap kerajaan di bawah Syriza tidak sekejam sebagaimana kerajaan pimpinan New Demokrasi sebelum ini.

3) Bagaimana pula prestasi parti-parti anti-penjimatan Kiri dalam pilihan raya ini?

Oleh kerana pendirian sektarian dan ultra-kiri, maka KKE (parti komunis Greek) gagal memanfaatkan tindakan U-turn Syriza. Ia mengekalkan undi dari segi peratusan (5.5%) tetapi sebenarnya merosot 11% undi yang telah diterima dalam pilihan raya bulan Januari.
Keputusan tersebut adalah juga satu tamparan untuk parti-parti anti-kapitalis Kiri yang lain. Antarsya mendapat hanya 0.85%. Satu perempat daripada keahliannya telah menyertai parti Perpaduan Popular (Popular Unity), formasi baru yang timbul daripada perpecahan kiri dalam Syriza.
Terdapat harapan meluas terhadap Perpaduan Popular di kalangan kiri tetapi ia gagal mencapai ambang 3% yang diperlukan untuk memasuki parlimen. Perpaduan Popular mungkin akan menghadapi masalah dalaman yang serius dalam tempoh masa yang terdekat ini. 25-30 bekas Ahli Parlimen Syriza yang menyertai Perpaduan Popular telah kehilangan kerusi mereka dan dengan itu sumber kewangan parlimen yang besar.
Memang benar bahawa Perpaduan Popular terpaksa berjuang pilihan raya pertama dalam keadaan yang sukar, apabila terdapat kekecewaan meluas kerana pengkhianatan oleh Syriza. Tetapi pada masa yang sama pemimpin-pemimpin Perpaduan Popular tidak membantu diri mereka. Pada permulaan kempen mereka melayan golongan kiri yang lain dengan agak sombong dan bertindak dengan cara birokrasi dan tidak demokratik. Mereka juga memandang remeh sejauh mana mereka akan mampu memenangi undi.
Apabila ia menjadi jelas bahawa Perpaduan Popular akan menghadapi masalah untuk memasuki ke dalam Parlimen, mereka membuat panggilan untuk golongan kiri yang lain untuk menyokong mereka dalam semangat ' barisan bersatu' tetapi, pada masa itu, masa sudah lampau dan ‘kerosakan’ telah dilakukan.
Perpaduan Popular juga gagal untuk memberi inspirasi kepada pekerja dan anak muda dengan langkah anti-penjimatan yang jelas dan program sosialis. Mereka betul dengan berkata 'tidak kepada memorandum' tetapi tidak menunjukkan jalan ke hadapan, dengan itu tidak menenangkan kebimbangan ramai pekerja tentang apa yang akan berlaku jika Greece dipaksa keluar dari zon euro.
Kami di Xekinima mengatakan bahawa kita mesti menolak untuk membayar hutang dan mesti memiliknegarakan sistem perbankan. Ini bermakna pertembungan dengan EU dan keluar dari zon euro.
Pulangan kepada mata wang negara boleh menyediakan asas bagi pembangunan ekonomi dan masyarakat tetapi hanya jika disertai dengan nasionalisasi sector-sektor utama ekonomi di bawah kawalan dan pengurusan demokratik pekerja. Dengan cara ini ekonomi boleh dirancang secara demokratik untuk menjaga kepentingan dan keperluan majoriti dalam masyarakat, bukannya menghasilkan keuntungan yang besar untuk segelintir pemilik kapal, bank dan pengusaha.

4) Apa langkah seterusnya untuk Kiri ?

Kerajaan baru yang dipimpin oleh Syriza tidak lama lagi akan menghadapi masalah besar. Memorandum itu perlu dilaksanakan, yang akan membawa kepada lebih banyak penderitaan kepada masyarakat Greek, dan ini akan mengakibatkan kemarahan rakyat yang semakin meningkat. Dan hutang negara kekal tidak mampu dibayar. Greece akan kekal terperangkap dalam ‘Kemelesetan Besar’.
Dalam konteks ini ia akan menjurus kepada lebih banyak berpecahan dalam Syriza, untuk bergerak ke arah kiri. Sebagai contoh, pembentukan baru kiri yang berpunca daripada Syriza, yang dipanggil ARC, membincangkan pengajaran dari apa yang silap ketika Syriza berkuasa.
Xekinima mengambil bahagian dalam perbincangan ini dan kami juga terus memainkan peranan yang penting dalam gerakan ‘17 Julai’, yang bertujuan untuk membina rangkaian kerjasama kiri tempatan berlandaskan satu program anti-kapitalis.
Inisiatif-inisiatif sebegini dan, perjuangan kelas yang penting akan diperbaharui, yang akan membawa banyak lapisan baru pekerja dan anak-anak muda ke dalam perjuangan, boleh meletakkan asas bagi pembangunan parti massa revolusioner Kiri yang baru, yang disusun secara demokratik. Ini adalah satu-satunya kuasa yang mampu menyelesaikan krisis yang sedang dihadapi oleh kelas pekerja Greek, dengan menyusun semula masyarakat mengikut garisan sosialis.


No comments: