Thursday, 1 October 2015

DEMOKRASI PEKERJA DITINDAS...APA ALTERNATIF ?

Sistem kapitalisme yang diamalkan oleh negara seperti Malaysia berlandaskan kepada ekonomi pasaran bebas dan pemerintahan yang berlandaskan kepada keperluan dan keuntungan untuk golongan minoriti pemodal (kapitalis). Dalam sistem kapitalisme, segala entiti-entiti kerajaan adalah untuk mengawal rakyat biasa dengan nama ‘demokrasi’ untuk mematuhi undang-undang atau lumrah tertentu untuk menjustifikasikan aktiviti- aktiviti ekonomi kapitalis untuk memaksimumkan keuntungan. Ini yang dirujuk dengan demokrasi ala kapitalis di mana keperluan-keperluan rakyat dan hak-hak asasi akan dicabul dan dianaktirikan dengan sewenang-wenangnya untuk matlamat keuntungan segelintir kapitalis. Penumpuan kekayaan atau keuntungan kepada segelintir kapitalis disokong oleh kerajaan dan tiada penglibatan rakyat biasa untuk menentukan bagaimana kekayaan atau keuntungan tersebut perlu diagihkan untuk memenuhi keperluan-keperluan asas mereka.

Dalam pasaran bebas kapitalisme, perancangan dilakukan untuk memaksimumkan keuntungan. Misalnya, pelan 5 tahun kerajaan Malaysia sebenarnya untuk menyelaraskan aktiviti kapitalisme. Sudah banyak pelan 5 tahun telah dilaksanakan semenjak merdeka, tetapi jurang di antara kaya dan miskin semakin melebar. Ramai rakyat masih tidak memiliki rumah kos rendah. Gaji pekerja masih pada tahap yang amat rendah kalau dibandingkan dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Maksudnya syarikat-syarikat kapitalis melakukan perancangan bagaimana keuntungan dapat dimaksimumkan dengan bantuan undang-undang dan peraturan kerajaan pro-kapitalis. Kerajaan pro- kapitalis juga kadang-kadang terpaksa menenangkan tuntutan atau desakan rakyat biasa dengan merancang sedikit habuan seperti BRIM, bantuan kebajikan, klinik 1Malaysia, subsidi, bonus raya dan sebagainya bergantung kepada dana kewangan untuk ‘kestabilan politik’ kapitalisme.
Ekonomi terancang dalam sosialisme adalah sistem ekonomi yang akan diurus dan dikawal oleh kerajaan kelas pekerja dan rakyat biasa tanpa sebarang kongkongan kapitalis atau sistem pasaran bebas untuk merancang ekonomi berlandaskan kepada keperluan- keperluan rakyat biasa secara demokratik. Institusi-institusi kewangan dan bank serta industri-industri diletakkan di bawah milikan awam kerajaan tanpa sebarang ‘tangan tersembunyi’ kapitalisme, dan diurus dan dikawal oleh kelas pekerja secara demokratik melalui kesatuan sekerja untuk merancang halatuju berlandaskan keperluan rakyat keseluruhan. Di sini akan ada interaksi di antara kerajaan dan rakyat biasa dalam membuat sesuatu perancangan sosial atau ekonomi.
Ini bermakna, aktiviti-aktiviti ekonomi dan kekayaan atau keuntungan yang dijanakan oleh kelas pekerja dan rakyat biasa akan dipergunakan untuk memaksimakan keperluan rakyat dengan penglibatan rakyat secara demokratik untuk menentukan halatuju perancangan kerajaan kelas pekerja dan rakyat biasa. Jelas di sini peranan kerajaan atau negara akan berlandaskan kepada sistem ekonomi yang dipraktikkan. Kerajaan pro-kapitalis untuk memperkukuhkan sistem ekonomi pasaran bebas dan keuntungan maksimum kapitalis, manakala kerajaan sosialis kelas pekerja memastikan keperluan maksimum dan penglibatan demokratik rakyat biasa dalam perancangan ekonomi dan sosial.
Sosialisme berlandaskan kepada ekonomi terancang dan pemerintahan dan penglibatan kelas pekerja dan rakyat biasa untuk menentukan halatuju keperluan rakyat. Jadi untuk memperkembangkan ekonomi terancang, kerajaan atau negara perlu berperanan dalam memperkembangkan demokrasi rakyat biasa. Demokrasi yang dimaksudkan di sini adalah penglibatan warga pekerja, petani, nelayan, anak muda dan sebagainya di sesuatu kilang/syarikat, kawasan, daerah, negeri, negara dan juga antarabangsa dalam membuat keputusan dan perancangan untuk meningkatkan keperluan rakyat. Tetapi untuk mengorganisasi masyarakat berlandaskan demokrasi sepenuh sebegini, keperluan- keperluan asas seperti gaji, masa kerja, perumahan dan lain-lain keperluan asas haruslah adil untuk membolehkan mereka mempunyai masa yang secukupnya untuk terlibat secara langsung dalam perancangan. Pada masa yang sama, kerajaan tersebut juga perlu mempertingkatkan pengetahuan dan informasi rakyat biasa ke taraf yang sepatutnya. Ini tidak mustahil dicapai dengan teknologi tinggi dan sumber- sumber yang kita ada pada masa kini. Demokratik sosialisme adalah untuk majoriti rakyat terlibat dalam perancangan kerajaan.


No comments: