Thursday, 1 October 2015

NILAI RINGGIT SEMAKIN JATUH...


EKONOMI SEMAKIN TENAT

Nilai ringgit semakin hari semakin menyusut, dan telah melepasi RM4 untuk satu dolar Amerika. Ini merupakan nilai terendah untuk Ringgit dalam 17 tahun, dan ianya terus berada di bawah tekanan yang besar kerana sentimen lemah yang berterusan, menjadikannya mata wang yang paling teruk di Asia. Salah satu sebab adalah penurunan harga minyak mentah di mana Malaysia adalah sebuah negara pengeksport minyak, dan kira-kira 31% daripada pendapatan kerajaan datang daripada sumber-sumber yang berkaitan dengan minyak. Harga komoditi yang lain seperti minyak sawit dan getah juga menurun, dan lebihan perdagangan dan rizab kerajaan semakin berkurangan.

Syarikat-syarikat dan perniagaan mengurangkan kos operasi dengan memberhentian pekerja. 10,000 pekerja telah diberhentikan dalam 6 bulan lepas. Dengan ketidaktentuan yang berterusan dalam ekonomi global dan penurunan dalam ekonomi China, Ekonomi Malaysia semakin tenat.

Kelemahan ringgit dan ketidaktentuan ekonomi yang berlanjutan akan membebankan kelas pekerja, anak muda dan rakyat biasa yang sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dengan polisi GST (Barangan dan Cukai Perkhidmatan) yang dilaksanakan sejak April tahun ini. Kemarahan terhadap kerajaan semakin meningkat hari demi hari dengan situasi ekonomi dan sosial yang semakin teruk. Tanpa kepimpinan kelas pekerja, kemarahan ini akan terus dimanfaatkan oleh parti-parti pembangkang untuk mendapatkan kuasa. Dengan warga pekerja yang tidak diorganisasi dan kepimpinan kesatuan sekerja yang lemah, pekerja mungkin kelihatan tidak berdaya, tetapi dengan keadaan sosial dan ekonomi yang semakin merosot, pekerja tidak mempunyai pilihan selain daripada berjuang.

No comments: