Sunday 20 July 2008

MALAYSIA: KRISIS MAKANAN DAN KRISIS MINYAK

SIAPAKAH YANG HARUS DIPERSALAHKAN? DAN APA ALTERNATIFNYA?

KRISIS GLOBAL

Perdana Menteri Abdullah Badawi kata, krisis makanan dan krisis minyak masalah global…kerajaan Malaysia tidak dapat buat apa-apa...walaupun Malaysia mempunyai sumber petroleumnya sendiri...harga minyak melambung tinggi!!!...Ketua-ketua negara jiran kita seperti Thailand dan Indonesia pun kata, kuasa mengawal krisis ini bukan di tangan mereka ….walaupun Thailand merupakan pengeluar dan pengeksport beras terbesar di dunia…tetapi harga beras dinaikkan di pasaran antarabangsa oleh kapitalis/pemodal kaya-raya dan bukannya petani-petani miskin di Thailand!!! …Malahan Presiden Amerika, George Bush pun kata negaranya tidak dapat mengawal krisis ini…walaupun Amerika merupakan kuasa ekonomi dan politik yang paling berkuasa di dunia!!!

Nampaknya, memang betul seperti kata ketua-ketua negara-negara tersebut, sememangnya ini krisis global yang menyelebungi setiap pelusuk di dunia ini. Tetapi peliknya, mereka ini jugalah sentiasa menyokong dan mempelopori sistem yang penuh dengan krisis ini.

Kalau kita menjengkuk ke belakang…masa krisis ekonomi 1997 dan krisis-krisis sebelumnya pun ketua-ketua negara ini menggunakan penjelasan yang sama. Tetapi persolannya berapa lama mereka nak ulang penjelasan yang sama dan apa penyelesaianya untuk kita? Warga pekerja dan rakyat biasa dah jemu dengan retorik-retorik yang tidak bertanggungjawap ini.

KESENGSARAAN KEPADA WARGA PEKERJA DAN RAKYAT BIASA

Tetapi satu perkara yang sangat ketara ialah mangsa-mangsa krisis-krisis ini yang tidak dapat dikawal oleh kerajaan-kerajaan ini, masih golongan yang sama. Di Amerika ribuan golongan pekerja telah kehilangan rumah kediaman dan pekerjaan disebabkan krisis ekonomi bersama krisis minyak dan makanan yang melanda negara tersebut. Di Malaysia harga barangan dan keperluan asas melambung tinggi membebankan warga pekerja dan rakyat biasa…Sememangnya golongan warga pekerja dan keluarga mereka dan bukannya pemodal-pemodal dan ahli-ahli politik yang kaya raya yang menjadi mangsa kesengsaraan ini …malahan golongan kelas pertengahan (middle class) juga terjunam ke dalam kancah krisis ini.

Tetapi persoalannya, mengapa kerajaan-kerajaan yang dipilih oleh majoriti rakyat ini terlalu lemah untuk mengawal krisis ini untuk kepentingan umat manusia sejagat… Kita pilih kerajaan dengan harapan supaya kerajaan tersebut : OLEH RAKYAT UNTUK RAKYAT KEPADA RAKYAT, tetapi harapan kita berkecai apabila sifat kerajaan-kerajaan ini adalah : OLEH RAKYAT tetapi UNTUK DAN KEPADA GOLONGAN KAYA RAYA DAN AHLI POLITIK. Kerajaan menyarankan supaya golongan majoriti iaitu warga pekerja dan rakyat biasa untuk tukar stail kehidupan untuk mengharungi krisis ini.

Tetapi anehnya, mengapa kerajaan tidak menyarankan perkara yang sama kepada segelintir billionaire dan millionaire seperti Robert Kuok, Ananda Krishnan, Syed Mokhtar Albukhary dan lain-lain yang mempunyai berbillion-billion ringgit. Kalau kita lihat rasionalnya, dengan memberikan sebahagian kekayaan mereka untuk menyelesaikan krisis ini tidak sama sekali akan memiskinkan mereka.

KERAKUSAN SISTEM KAPITALIS

Nampaknya ada suatu 'tangan' yang lebih berkuasa dan power daripada kerajaan-kerajaan ini. 'Tangan' yang dimaksudkan ini adalah bukan 'Tangan Tuhan' seperti kata Maradona…tetapi 'Tangan Kapitalis' yang sentiasa mengkongkong kerajaan-kerajaan ini supaya menuruti kerakusan untuk keuntungan.

Sumber kekayaan dan keuntungan di dunia ini dikawal oleh hanya 500 syarikat-syarikat kapitalis gergasi seperti Exxon-Mobil, Samsung, Microsof dan lain-lain. Mereka ini akan bersaing di antara satu sama lain bukannnya untuk mengatasi masalah-masalah dunia seperti kemiskinan, kebuluran dan sebagainya, tetapi untuk memperkasakan kuasa mereka dalam ekonomi/politik dunia dan untuk menjanakan lebih keuntungan.

Syarikat Petronas yang dimiliknegarakan oleh kerajaan Malaysia adalah salah satunya. Syarikat-syarikat inilah yang menentukan keadaaan ekonomi dan politik di sesuatu negara dan dunia. Dengan perkataan lain, kerajaan-kerajaan di dunia ini adalah di bawah telunjuk golongan kapitalis Multinasional dan nasional ini. Kerajaan-kerajaan pro-kapitalis ini hanyalah untuk memenuhi kehendak golongan kapitalis ini dengan menganaktirikan golongan majoriti pekerja dan rakyat biasa.

SISTEM KAPITALIS HANYA UNTUK KEUNTUNGAN BUKAN KESEJATERAAN UMAT MANUSIA

Matlamat golongan kapitalis atau pemodal ini adalah hanya untuk menjanakan keuntungan dengan memerah tenaga buruh warga pekerja. Dengan perkataan lain, warga pekerja menjanakan keuntungan tetapi golongan kapitalis yang mengawal bagaimana keuntungan itu digunakan. Warga pekerja bertungkus lumus berkerja untuk sesuatu syarikat untuk mengecapi suatu kehidupan yang sederhana untuk memenuhi keperluan asas anak-anak dan keluarga. Tetapi, kerakusan golongan kapitalis untuk mengaut keuntungan berlipat ganda tidak mempedulikan keperluan asas golongan warga pekerja dan rakyat biasa.

Malahan mereka sanggup memperjudikan komoditi keperluan asas umat manusia seperti beras, petrol, tepung dan sebagainya di dalam pasaran saham dengan membuat spekulasi dengan matlamat untuk mengaut keuntungan berlipatganda. Ini adalah mantra sistem kapitalis yang mencengkami kehidupan kita.

PETRONAS-TAK CUKUP HANYA DENGAN MILIKNEGARA !!!

Begitulah juga realitinya dengan syarikat Petronas. Walaupun Petronas adalah sebuah syarikat milik negara tetapi kerajaan Malaysia membina syarikat ini dengan matlamat membuat keuntungan berlipatganda dengan bersaing di pasaran antarabangsa untuk menmanfaatkan kroni-kroni dan kapitalis tempatan. Dan jelas iannya bukannya untuk memenuhi keperluan golongan majoriti warga pekerja dan rakyat biasa di negara ini. Sebab itulah Petronas ikut harga minyak di pasararan dunia dan lebih mementingkan untuk menggunakan keuntungannya untuk aktiviti-aktiviti untuk melipatgandakan lebih keuntungan lagi.

Ini jelas menunjukkan pentingnya syarikat-syarikat seperti Petronas dimiliknegarakan tetapi pada masa yang sama mestilah di bawah kawalan dan pengurusan secara demokratik oleh warga pekerja untuk memenuhi keperluan rakyat biasa.

APA ALTERNATIFNYA ?

Ini jelas menunjukkan sistem kapitalis yang bersifat anarki (tiada kawalan yang teratur hingga menyebabkan ia dipenuhi dengan berbagai krisis) yang sentiasa mencengkam majoriti golongan pekerja dan rakyat biasa sedang menghadapi krisis yang tenat. Tetapi setiap kali sistem ini dalam krisis, golongan majoriti iaitu warga pekerja dan rakyat biasalah yang menanggung beban krisis tersebut dan menjadi mangsannya.

Kerajaan-kerajaan Pakatan di negeri Selangor, Penang, Perak dan lain-lain telah membawa sedikit perubahan yang telah dialu-alukan oleh rakyat biasa. Tetapi untuk isu-isu penting seperti gaji berdasarkan inflasi, harga makanan, kemudahan-kemudahan asas (kesihatan, pendidikan), harga minyak, mereka tiada penyelesaian yang jelas melainkan menyalahkan polisi-polisi kerajajaan BN. Manakala golongan kapitalis di negeri-negeri terus menerus mengondol keuntungan berlipatganda. Negeri-negeri ini juga akan mengalami masalah yang sama yang sedang dihadapi oleh kerajaan BN jika polisi-polisi seperti memiliknegarakan sumber-sumber alam dan keperluan-keprluan asas di bawah kawalan warga pekerja secara demokratik tidak diambil segera. Misalnya, walaupun kerajaan Selangor memberikan air percuma, tetapi SYABAS (Syarikat Bekalan Air Selangor) yang bermotifkan keuntungan akan meningkatkan tariff berdasarkan kepada kenaikan kos minyak dan sebagainya. Ini adalah sama seperti apa yang dihadapi oleh kerajaan BN dengan PETRONAS. Manakala kerajaan Pakatan Kedah pula beria-ia untuk menggunakan sumber alamsemulajadi untuk membuat keuntungan walaupun mendapat tentangan daripada kebanyakan rakyat dan badan-badan alam persekitaran. Kerajaan-kerajaan negeri ini juga masih dikongkong oleh kapitalis dan kroni-kroninya.

Persoalannya penting sekarang adatak sebarang alternatif untuk merubah keadaaan ini di negara dan dunia ini. Seperti yang dibincangkan di atas, sistem kapitalis adalah suatu sistem yang menitikberatkan golongan kapitalis atau pemodal. Golongan ini adalah golongan minoriti yang mementingkan kuasa dan keuntungan . Manakala warga pekerja dan rakyat biasa yang merupakan golongan majoriti mahukan keperluan-keperluan asas mereka dipenuhi.

WARGA PEKERJA SEBAGAI KUASA PERUBAHAN

Sistem Kapitalis tidak berupaya untuk membekalkan keperluan-keperluan asas seperti minyak, makanan dan lain-lain untuk memenuhi keperluan masyarakat secara keseluruhannnya. Mereka tidak akan mengambil initiatif secara serious untuk memelihara sumber-sumber alam, melindungi persekitaran dan mengambil langkah-langkah untuk mengatasi perubahan cuaca dunia (global warming) dan seterusnya menyediakan sumber alternatif kepada umat manusia.

Justeru itu, warga pekerja dan rakyat biasa yang merupakan golongan majoriti mempunyai peranan penting sebagai agen perubahaan kepada krisis-krisis yang sedang berlaku di negara dan dunia ini. Mereka yang menjanakan kekayaan negara ini melalui tenaga buruh mereka. Maka golongan majoriti ini jugalah seharusnya mengawal dan menguruskan bagaimana sumber-sumber keperluan manusia ini dibanggunkan dan diagihkan secara demokrasi.

WARGA PEKERJA MEMERLUKAN SEBUAH PARTI PEKERJA YANG BEBAS

Justeru itu adalah amat penting untuk warga pekerja untuk membina satu pertubuhan atau parti pekerja yang bebas untuk memperjuangkan harapan dan hasrat majoriti warga pekerja dan rakyat biasa.

PENDEKATAN SOSIALIS

Harga minyak dan makanan yang melambung tinggi merupakan satu bencana kepada warga pekerja di setiap pelusuk dunia. Keadaaan kacau-bilau tanpa tentu arah sistem kapitalis memerlukan kita menukar sistem ini. Di antara pendekatan sosialis berdasarkan kepada :

Miliknegarakan syarikat-syarikat minyak, gas dan makanan dengan pampasan yang minimum berdasarkan bukti yang rasional. Uruskan industri tenaga dan makanan ini sebagai badan awam berdasarkan kepada kawalan dan pengurusan secara demokratik oleh warga pekerja

Rancangkan pembangunan dan pengagihan sumber tenaga dan makanan ini untuk memenuhi keperluan nyata ekonomi dan untuk keperluan warga pekerja/rakyat biasa

Miliknegarakan semula keperluan-keperluan asas untuk golongan majoriti iaitu warga pekerja dan rakyat biasa seperti tenaga elektrik, gas , air dan lain-lain yang sedang didominasikan oleh syarikat-syarikat besar untuk motif keuntungan semata-mata

Meminta gerakan-gerakan pekerja di negara jiran dan antarabangsa yang lain untuk memperjuangkan untuk program yang sama dengan tujuan untuk membangunkan perancangan teratur sumber tenaga dan makanan antarabangsa

Peruntukkan sumber-sumber yang diperlukan untuk penyelidikan untuk sumber-sumber tenaga dan makanan alternatif yang selamat dan efisen.

BERSATULAH WARGA PEKERJA DAN ANAK MUDA TANPA MENGIRA KAUM DAN AGAMA…UNTUK KITA MEMBINA SATU MASYARAKAT YANG ADIL DAN SAKSAMA.

KAMARULZAMAN, CWI MALAYSIA
20 JUN 2008

No comments: