Tuesday, 29 March 2011

ADAKAH ‘FITRAH MANUSIA’ PENGHALANG KEPADA SOSIALISMA?



Dunia semakin kucar-kacir. Peperangan, kemiskinan dan penindasan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kepada berbillion manusia di seluruh pelusuk dunia. Malahan, 80% daripada jumlah populasi -5.4 billion- berpendapatan harian di bawah 10 dolar. Sekarang, dunia benar-benar dilanda krisis dan in dipersetujui sendiri oleh ketua Bank Dunia sendiri yang mengatakan " krisis ini akan menyebabkan bencana kemanusiaan dan pembangunan, dan angka kebuluran kronik dijangka menjangkau lebih 1 billion tahun ini". Peperangan di Timur Tengah, pencemaran alam sekitar dan masalah ekonomi yang semakin meruncing adalah contoh terkini krisis-krisis yang sedang melanda kemanusiaan sekarang.
Asas kepada penderitaan ini adalah sistem ekonomi, sosial dan politik kapitalisma. Sistem kapitalisma telah memberi ruang kepada syarikat-syarikat multi-nasional untuk mengukuhkan sistem persaingan yang tidak sihat yang mana syarikat-syarikat tersebut hanya menumpukan kepada keuntungan jangka pendek, persaingan kuasa, dan perebutan sumber; tanpa menghiraukan hak dan kebajikan pekerja dan rakyat biasa.
Golongan korporat dan negara imperialis mungkin telah mengambil alih dunia. Namun jutaan telah bangkit ; rakyat yang ditindas dari Lubnan ke Iraq, dari Venezuela ke Mexico bangkit melawan. Sejak bermulanya gerakan menentang krisis ekonomi antarabangsa di kalangan pekerja dan anak-anak muda di dalam negara kapitalis yang lebih maju, penentangan terhadap penindasan ke atas taraf hidup mereka telah menampakkan kemarahan secara menyeluruh.
Kebanyakan mereka yang terlibat dalam pergelutan ini sedang mencari alternatif sebagai ganti kepada kesengsaraan akibat kapitalisma, dan terutamanya di Amerika Latin, kebanyakkan mereka sudah bermula tertumpu ke arah sosialisma. Walaubagaimanapun, pihak-pihak tertentu akan berhujah bahawasanya sosialisma ini tidak relevan di mana ianya menentang 'fitrah (sifat semulajadi) manusia'. Artikel ini sedikit sebanyak mencuba untuk menjawab beberapa persoalan mengenai sosialisma.

Bukankah wang motivasi terbaik untuk manusia? Tidakkah inovasi dan kerja yang bersungguh-sungguh akan dihalang oleh sosialisma?
Dalam dunia realiti, kapitalisma sebenarnya yang menghadkan motivasi dan kreativiti majoriti golongan 'kelas pekerja'. Tiada apa yang lebih menghilangkan semangat daripada dipaksa melakukan perkara yang sama untuk jangka masa 8-12 jam sehari semata-mata untuk menjelaskan bil dan perbelanjaan kita.
Sosialis Amerika, Eugene Debs pernah berkata:  "Manusia tidak terkongkong kerana kerja, melainkan penghambaan yang wujud di dalam kerja. Kebanyakan individu yang bekerja di bawah suatu majikan adalah semata-mata kerana paksaan; pekerjaan yang diselesaikan sedemikian mempunyai unsur penghambaan."
Setelah 40 jam atau mungkin lebih daripada itu berkerja dengan minda yang lesu ditambah dengan tekanan hidup yang lain, pekerja tidak mempunyai masa untuk membangunkan daya kemahiran yang kreatif dan memperkukuhkan bakat mereka. Lebih dahsyat lagi; di bawah sistem kapitalisma, pekerja tidak digalakkan untuk merekacipta ciptaan-ciptaan yang dapat memudahkan dan mempraktikkan kaedah kerja yang lebih efisien dan selamat. Dalam persaingan ekonomi yang semakin sengit, produktiviti buruh yang agak tinggi telah menyebabkan pemberhentian kerja dan eksploitasi tenaga kerja yang lebih ekstrem. Ironinya, walapun sistem sedemikian menjanakan keuntungan yang besar tetapi taraf hidup pekerja pula semakin merosot.
Manakala apabila para pekerja secara kolektif memiliki dan mengurus sendiri tempat kerja mereka dalam suasana ekonomi sosialis yang demokratik berbanding dengan hanya menerima arahan daripada seorang bos, pekerja akan lebih bermotivasi. Setiap inovasi terbaru bermakna waktu kerja yang kurang atau taraf hidup yang lebih tinggi.
Dan jika semua pekerjaan memberi pendapatan, faedah pekerjaan dan keselamatan yang sewajarnya, masyarakat akan meneruskan karier yang mereka seronok dengannya daripada memilih pekerjaan yang hanya menjamin ekonomi yang stabil, dan situasi sebegini akan menggalakkan peningkatan produktiviti pekerja.
Bukankah masyarakat terlalu tamak dan mementingkan diri sendiri, dan bolehkah sifat sedemikian menjadikan sosialisma satu sistem yang praktikal?
Ada perbezaan di antara kepentingan diri dan minat diri. Pada realitinya, manusia akan mengambil berat tentang minat diri masing-masing, dan perjuangan sosialisma adalah sejajar dengan naluri manusia yang sedemikian. Para sosialis berjuang untuk gaji minimum yang setimpal dengan kehidupan seharian, hak kesihatan, hak pendidikan awam, perumahan selesa yang mampu dimiliki oleh semua dan program-program yang lain yang akan meningkatkan taraf hidup majoriti secara drastik.
Sejarah pergerakan kesatuan sekerja telah mengajar bagaimana golongan pekerja sendiri mempunyai kuasa untuk memperbaiki kehidupan mereka apabila mereka bertindak secara kolektif daripada berusaha sedaya-upaya untuk berjaya sebagai seorang individu di dalam sistem yang membelenggu kita.
Ironinya, intelektual-intelektual pro-kapitalis yang mencanangkan bahawa, masyarakat adalah terlalu 'tamak' untuk menrealisasikan sosialisma, pada masa yang sama berpaling tadah untuk mendesak pekerja untuk 'mendisiplinkan diri demi kepentingan bersama' apabila majikan mahu merendahkan gaji pekerja, memberhentikan kerja atau, menghentikan program-program sosial.
Minat bukan satu-satunya perkara yang mendorong kita. Lihat pada mereka yang melakukan kerja suka rela. Menurut Biro Statistik Buruh, dianggarkan 65 juta rakyat Amerika melakukan kerja suka rela pada tahun 2005. Sejurus selepas Taufan Katrina, golongan individu dariapda seluruh negara Amerika telah menderma sebanyak $4.25 billion untuk membantu mangsa bencana manakala golongan korporat hanya menderma sebanyak $400 juta (Charity Navigator, 8/8/06). Angka ini telah menunjukkan pengorbanan yang besar dan solidariti golongan pekerja mampu melakukan apa sahaja.
Adakah sosialisma ini akan menghasilkan pemerintahan diktator seperti Rusia?
Pemerintahan kuku besi birokratik yang kejam di Rusia, China, Eropah Timur dan tempat lain adalah hasil penyelewengan kepada sistem demokratik sosialisma yang tulen. Pada masa yang sama, adalah amat penting bagi sosialis masa kini untuk mengkaji pengalaman Revolusi Rusia untuk memahami mengapa revolusi sosialis 1917 tersebut menjurus kepada birokrasi dengan melihat fator-faktor dan keadaan-keadaan tertentu pada masa tersebut. Birokrasi sama sekali bukannya satu fitrah manusia.
Revolusi Rusia 1917 adalah kali pertama golongan pekerja menggulingkan kapitalis dan memulakan komuniti sosialis yang baru. Kesatuan Soviet pada awalnya merupakan kerajaan yang paling demokrasi dalam sejarah dunia. Pekerja biasa dan petani menjalankan kehidupan dengan penuh demokrasi melalui 'majlis pekerja' (digelar soviet). Ia merupakan negara pertama dalam dunia yang memberi hak samarata kepada wanita, termasuk hak untuk mengundi dan pengguguran.
Pemimpin Bolsheviks (Parti yang mengemudi revolusi Rusia), Lenin dan Trotsky, kerap menjelaskan bahawa adalah mustahil untuk membina sosialisma di satu negara dengan sendirinya, terutama di dalam negara yang mundur dan separa feudal seperti di Rusia. Mereka menegaskan Revolusi Rusia hanya akan berterusan jika ianya tersebar ke negara-negara kapitalis yang lebih maju dari segi ekonomi di Eropah Barat.
Kuasa imperialis utama sendiri telah mengenal pasti yang Revolusi Rusia bukan hanya menggugat Rusia malah kapitalisma seluruh dunia. Mereka kemudian melangkah ke hadapan bersengkongkol dengan kapitalis dan tuan tanah di Rusia, untuk melancarkan pertumpahan darah untuk menjatuhkan kerajaan Soviet. 21 negara, termasuk Amerika Syarikat, Perancis dan Britain, menceroboh Rusia untuk menjatuhkan revolusi sosialis tersebut.
Kemenangan Bolsheviks dalam perang saudara adalah satu gelombang baru revolusi di serata Eropah dan dunia, didorong oleh Revolusi Rusia dan saranan Bolsheviks kepada golongan pekerja untuk bangkit menentang Perang Dunia Pertama. Kebangkitan Revolusi di Jerman dan sekitar Eropah telah mengakhiri peperangan dan memaksa golongan pemerintah seluruh dunia untuk memanggil balik tentera mereka dari Rusia untuk mengelakkan masalah yang lebih besar di negara mereka.
Malangnya, semua revolusi itu tidak berjaya melumpuhkan kapitalisma. Ini kerana tidak ada parti revolusi yang jelas seperti di Rusia yang mampu mengetuai revolusi sosialis ke titik penyudahan. Sebaliknya, parti kelas pekerja di Eropah yang didominasi oleh pemimpin-pemimpin reformis telah memainkan peranan penting dalam usaha menyelamatkan kapitalisma.
Jadi, semasa Kesatuan Soviet menentang cubaan menjatuhkan revolusi, ianya tetap terpencil dari segi ekonomi. Perang saudara di Rusia telah mengakibatkan negara tersebut menjadi tidak terurus dengan rakyat yang kepenatan, tiada pekerjaan dan kebuluran. Ini telah membuka ruang kepada kebangkitan elemen konservatif dan birokratik. Sistem birokrasi yang berpusat pada Stalin, memperoleh kuasa sendiri sekitar 1920an dan 1930an dan seterusnya melenyapkan hak demokrasi yang sebelum ini berada dalam genggaman golongan pekerja Rusia.
Malangnya, revolusi-revolusi yang seterusnya di negara neo-kolonial dan Eropah yang semakin berkembang telah merujuk kepada Rusia di bawah Stalin sebagai model. Kesannya, kerajaan Soviet ketika itu berjaya membawa masuk model Stalinisma ke China, Eropah Timur dan beberapa tempat lain.
Adakah kapitalisma ini sebahagian dari fitrah manusia?
Kelas pemerintah mungkin sudah berjaya meyakinkan kita yang kapitalisma atau kelas dalam masyarakat itu satu fitrah dalam kehidupan manusia. Sedangkan biologi mengesahkan sesetengah aspek dalam tingkah laku, fitrah manusia bukanlah sesuatu yang kekal, tidak berubah atau yang secara ajaibnya jatuh dari langit. Bagaimana kita berkelakuan dan bagaimana kita menghubungkaitkan dunia dengan perkara lain, berkembang dengan tindak balas masyarakat terhadap keadaan material yang berubah-ubah dan kaitannya dengan alam semula jadi.
Untuk berjuta-juta tahun, manusia telah hidup secara sama-rata, nomad (berpindah-randah) serta mengamalkan sistem 'memburu dan menghimpun'. Makanan, tempat berlindung dan semua keperluan untuk meneruskan hidup dikongsi secara sama-rata di dalam masyarakat. Semasa zaman pasca revolusi pertanian, kaum-kaum nomad ini sudah menetap di satu kawasan dan mula bercucuk tanam lalu lebihan hasil yang membawa kekayaan telah mengizinkan kemunculan kelas pemerintah pertama dalam sejarah.
Pelbagai kelas pemerintah sejak itu dan kini telah mendakwa ianya adalah 'fitrah manusia' bagi seorang manusia memiliki seorang manusia lain sebagai hamba dan sejurus itu muncul seorang raja agung yang dilantik Tuhan untuk memerintah orang lain. Hari ini, manusia sendiri akan menafikan semua ini kerana ianya tidak masuk akal.
Dengan mengadaptasi teknologi moden untuk manfaat kepada semua, sosialisma mampu membina asas material kepada budaya manusia untuk berubah kepada gaya hidup yang paling asas. Sebagai ganti kepada masyarakat yang memberi ganjaran yang paling tamak dan kejam, masyarakat sosialis akan membangunkan satu budaya baru yang berasaskan kesama-rataan dan keadilan.
Semua keputusan akan ditentukan secara demokrasi; bukan dengan cara mengundi parti kapitalis atau parti lain setiap lima tahun tetapi bersandarkan golongan pekerja yang biasa membuat keputusan melalui perjumpaan secara besar-besaran dan pilihanraya secara terus. Mereka yang ada kuasa seperti pengurus dan wakil-wakil awam, akan dipilih, dan mereka tertakluk kepada suara majoriti pada bila-bila masa jika diperlukan, dan yang paling penting mereka akan dibayar gaji purata yang diperolehi oleh golongan-golongan yang mereka wakili.
Memendekkan waktu kerja dalam seminggu, berkongsi pekerjaan dengan golongan penganggur, dan menyiapkan segala keperluan asasi akan memberi ruang kepada wanita mahupun lelaki untuk mengambil alih kawalan hidup mereka sendiri dan mencapai kreativiti dan hasil intelektual yang sewajarnya, yang mana mampu membebaskan kongkongan kreativiti yang berlaku dalam sistem kapitalisma.

No comments: