Thursday, 1 October 2015

SAYA ZAHARA : KELUHAN SEORANG GRADUAN MUDA

Video ucapan seorang graduan kelulusan Undang-undang, Siti Azzahra (dikenali sebagai Zahra) yang menjadi tumpuan di media sosial pada sekitar awal Julai lalu dikatakan telah memberikan sedikit sebanyak gambaran kepada umum mengenai realiti hidup yang terpaksa dilalui oleh golongan anak muda dan mahasiswa pada hari ini.
Zahra telah bercakap mengenai pelbagai isu dari aspek kehidupan majoriti rakyat biasa seperti isu pendapatan, pendidikan, perumahan, pengangkutan, dan jaringan keselamatan sosial (apabila berhadapan dengan kemalangan atau penyakit). “Realiti orang bekerja rupanya, tidaklah seindah yang disangka. Malah amat menyiksakan”, menurut Zahra, merupakan sebuah kenyataan yang menggambarkan keadaan sebenar bagi kebanyakan golongan yang bekerja, terutamanya bagi anak muda atau graduan yang baru mula bekerja.

Namun mungkin ramai yang sudah menyedari perkara ini sebelum Zahra sendiri. Ribuan graduan, malah jutaan rakyat biasa menghadapi realiti yang sama. Zahra secara tidak langsung sebenarnya telah bercakap mengenai realiti hidup masyarakat yang telah dibentuk oleh sistem ekonomi kapitalisme global semenjak sekian lama. Menyokong beberapa hujah Zahra, menurut kajian dari Universiti Malaya dan Institut Penyelidikan Khazanah, kekayaan yang hanya tertumpu pada tangan golongan yang sudah pun memiliki harta telah memacu peningkatan ketidaksamaan pendapatan dan harta di Malaysia. Ini bermakna,golongan kaya menjadi semakin kaya, manakala jumlah golongan miskin pula semakin bertambah!
Sistem ekonomi yang sama juga telah meletakkan golongan pemerintah dan kelas elit kapitalis sebagai penentu segala bentuk perlaksanaan polisi politik dan sosial keatas rakyat biasa yang akan sentiasa memihak kepada kepentingan golongan ini. Dengan meletakkan keuntungan sebagai matlamat utama di dalam sistem ini, kepentingan dan hak rakyat semakin terhakis dan taraf kehidupan rakyat juga semakin jatuh.
Ia adalah disebabkan oleh melalui penswastaan pelbagai syarikat kerajaan dan institusi awam, secara langsung keuntungan telah dijadikan keutamaan, dan menjadikan golongan yang lebih berharta sahaja mampu mendapat perkhidmatan asas yang baik, setelah diswastakan.
Contoh yang boleh dilihat dan dikaitkan dengan isu yang dibangkitkan Zahra adalah seperti sistem pendidikan yang lebih mementingkan yuran berbanding kualiti pendidikan, isu rumah yang semakin tidak mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana, isu kos pengangkutan awam yang semakin meningkat, kenaikan harga minyak dan kos kereta, isu keselamatan dan kesihatan sosial yang semakin tidak berkualiti dan sukar untuk dimanfaatkan kepada rakyat biasa.
Luahan Zahra didalam ucapan tersebut meninggalkan kepada umum, persoalan mengenai bolehkah realiti hidup yang dilalui rakyat biasa, terutama golongan pekerja ini diubah, dan juga persoalan mengenai kewujudan alternatif kepada sistem politik, ekonomi dan sosial pada hari ini?
Isu-isu yang dihadapi oleh graduan muda yang baru berkerja adalah isu yang hampir sama dihadapi oleh kebanyakan golongan pekerja yang lain tanpa mengira warna kulit
dan taraf pendidikan. Anak muda, mahasiswa dan pekerja mempunyai kepentingan dan hak yang perlu diperjuangkan bersama. Mereka perlu disusun didalam organisasi politik yang berlandaskan aspirasi warga pekerja dan anak muda untuk membina alternatif kepada kepincangan sosial dan ekonomi yang diwujudkan oleh sistem politik kapitalisme yang memihak kepada golongan kaya-raya.


No comments: