Seramai 128 orang telah terbunuh dan ramai lagi tercedera
dalam peristiwa letupan bom di perhimpunan aman yang dianjurkan oleh
kesatuan-kesatuan sekerja di Ankara, ibu negara Turki pada 10 Oktober lalu. Ia
adalah serangan pengganas yang terbesar dalam sejarah negara itu. Ramai mangsa
masih berada di unit rawatan rapi di hospital-hospital, manakala banyak lagi
mayat-mayat yang belum dapat dikenalpasti.
Demonstrasi Sabtu lalu itu dianjurkan oleh Gabungan
Kesatuan Sektor Perdagangan Awam (KESK), Gabungan Kesatuan Sekerja Revolusi
Turki (DISK), Persatuan Perubatan Turki (TTB) dan Kesatuan Jabatan Jurutera
Turki (TMMOB). Beberapa minit sebelum permulaan demonstrasi itu, sebutir bom
meletup di tempat aktivis dari parti kiri dan pro-Kurdish HDP (Parti Demokratik
Rakyat) sedang berkumpul. Sejurusnya, satu lagi letupan berlaku kira-kira lima
puluh meter dari tempat itu dan menambah kemusnahan dan kematian. Saksi-saksi,
termasuk ahli-ahli Sosyalist Alternatif (CWI) yang tiba di tempat kejadian
hanya beberapa minit selepas pengeboman itu melaporkan adegan seram yang tidak
terkata.
Mereka juga sempat menyaksikan dan melaporkan bahawa
terdapat percubaan oleh pihak polis untuk menghalang bantuan diberikan kepada
mangsa-mangsa yang tercedera. Gas pemedih mata ditembak tanpa tujuan ke arah
penunjuk perasaan walaupun terdapat ratusan mangsa cedera bom di khalayak
mereka. Polis rusuhan telah dihantar ke tempat kejadian itu jauh sebelum
ketibaan ambulans pertama. Huseyin Demirdizen, dari Persatuan Perubatan Turki
(TTB) berkata: "Walaupun doktor dari kesatuan pekerja kesihatan telah
menyeru kepada rakyat untuk derma darah, kerajaan mengumumkan bahawa tiada
keperluan untuk itu sama sekali. Jika pekerja-pekerja kesihatan tidak hadir di
demonstrasi itu, pastinya jumlah kematian dan kecederaan adalah jauh lebih
tinggi. "
Hampir serta-merta selepas serangan itu, rejim Turki
telah memilih untuk menyekat laman sosial Twitter dan Facebook dalam usaha yang
jelas untuk mengelakkan laporan akar umbi daripada tersebar. Media yang dikawal
oleh AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan, parti pemerintah) memusingkan laporan
palsu yang menuduh kumpulan kiri atau PKK ( Parti Pekerja Kurdistan ) sebagai
penganjur pengeboman tersebut.
Pengeboman ini berlaku berlatar belakangkan penindasan
dan provokasi yang semakin meningkat, termasuk serangan fizikal oleh tentera
rejim Erdogan terhadap gerakan pembebasan Kurdish yang berhaluan kiri. Sebuah
kempen perang yang kejam juga sedang dipaksa oleh tentera Turki terhadap PKK
dan rakyat Kurdish di timur selatan negara itu pada masa ini. Walaupun PKK
mencadangkan gencatan senjata sebelum pilihanraya pada 1 November, tentera
Turki meneruskan pengeboman kedudukan PKK di Turki dan di Iraq utara.
Retorik anti-pengganas yang dipergunakan oleh rejim
Erdogan adalah sekadar helah semata-mata. Retorik itu digunakan untuk
menyembunyikan serangan rejim itu terhadap kumpulan-kumpulan kiri dan terhadap
HDP yang menyokong perjuangan kebebasan masyarakat Kurdish. Sejak beberapa
tahun lalu, kerajaan Turki telah memberikan dana dan bertanggungjawab ke atas
perkembangan beberapa kumpulan pengganas seperti ISIS untuk mengukuhkan agenda
politik mereka di rantau itu.
KESEDIHAN DAN KEMARAHAN RAKYAT!
Rakyat yang sedih dan marah dengan tragedi pengeboman
yang dianggap sebagai provokasi itu dengan tepat menuding kepada Erdogan dan
AKP sebagai kuasa penindas yang kejam. Pada petang Sabtu, hari yang sama,
berpuluh-puluh ribu orang turun berdemonstrasi terhadap kerajaan di Istanbul
dan di bandar-bandar lain. Pada hari Ahad, di Ankara, kira-kira 10,000 telah
kembali ke jalan raya dan berhimpun berhampiran stesen keretapi di mana
pengeboman itu berlaku sehari sebelumnya. Ini mencerminkan suasana umum di
kalangan rakyat yang marah dengan kerajaan pemerintah dan tidak takut untuk
meluahkan rasa tidak puas hati mereka. Di upacara-upacara pengebumian mangsa,
kemarahan rakyat jelata dapat dilihat dengan nyata dan perasaan ini tidak
mungkin akan hilang begitu sahaja.
Empat konfederasi kesatuan sekerja telah menyeru untuk
sebuah mogok umum 48 jam pada 12 dan 13 Oktober sebagai tanda penentangan
terhadap rejim Erdogan dan sebagai solidariti bagi mangsa-mangsa yang
terkorban. Usaha ini harus di sokong penuh oleh semua organisasi pekerja dan
kumpulan berhaluan kiri dari semua negara. Mogok umum yang dapat menyatukan
kedua-dua kelas pekerja Turki dan Kurdistan merupakan tindak balas yang wajar
dalam memerangi kezaliman rejim Erdogan yang sering menggunakan agenda pecah
perintah bagi keuntungan golongan pemerintah. Melihatkan kegagalan aparatus
kerajaan seperti Polis dalam melindungi keselamatan rakyat, aksi-aksi massa
yang bakal diadakan perlulah dibekalkan dengan penyusunan yang rapi dan mampu
mempertahankan diri. Langkah mempertahankan diri yang sesuai yang melibatkan
semua kaum perlu diambil bersama-sama dengan kerjasama pertubuhan kesatuan
sekerja secara demokratik.
CWI dan Sosialis Alternatif merakamkan solidariti,
simpati dan takziah kepada semua orang yang telah menjadi mangsa serangan
pengeboman ini dan kepada semua yang telah kehilangan saudara-mara, rakan-rakan
dan komrad kesayangan. Cara terbaik untuk menghormati kematian mereka adalah
dengan memperbaharui perjuangan menentang rejim diktator Erdogan, terhadap
sistem kapitalis dan kuasa-kuasa imperialis yang berdiri di belakangnya dan
untuk membina sebuah dunia sosialis yang demokratik. Marilah kita pastikan
bahawa mogok ini adalah sekadar titik permulaan dalam pembinaan sebuah gerakan
massa kelas pekerja dan anak muda yang akan menempatkan rejim sinis Erdogan ke
dalam tong sampah sejarah.
No comments:
Post a Comment