Tuesday, 29 March 2011

KONTROVERSI NOVEL INTERLOK: ‘MEMBUKA PEKUNG DI DADA’ SISTEM POLITIK MALAYSIA

Interlok, novel karya sasterawan negara Abdullah Hussain yang dikeluarkan pada tahun 1970an, telah menimbulkan kontroversi apabila kerajaan mengumumkan bahawa novel tersebut akan digunapakai sebagai buku teks sastera untuk pengajian Bahasa Malaysia Tingkatan Lima. Kerajaan menjustifikasi bahawa novel tersebut akan meningkatkan kesedaran perpaduan kaum di kalangan pelajar berlandaskan konsep 1Malaysia kerana ia “menyatakan realiti masyarakat Malaysia sebelum merdeka” dan “mesej yang disampaikan boleh memotivasi pelajar, ibubapa dan masyarakat berbilang kaum”.


Manakala, beberapa parti-parti politik dan NGO kaum India pula menekan kerajaan supaya “mengharamkan buku tersebut serta menarik balik penggunaan buku tersebut di sekolah”. Mereka mempertikaikan bahawa buku tersebut menghina serta memutarbelitkan beberapa fakta mengenai kaum India. Manakala, golongan sasterawan seperti PENA (Persatuan Penulis Nasional Malaysia) dan beberapa NGO Melayu pula berhujah bahawa “rakyat Malaysia harus matang untuk menerima realiti”, dan mengusulkan kepada kerajaan supaya mengekalkan buku tersebut.
Pertikaian yang ditimbulkan oleh Parti-Parti Politik dan NGO India pula telah menyemarakkan kemarahan di kalangan segolongan masyarakat India yang menganggap kerajaan cuba memperkecil-kecilkan kaum minoriti India dengan tidak mengambil kira sentimen kaum tersebut.  Baru-baru ini sebelum pilihanraya kecil Tenang, kerajaan telah mengumumkan bahawa beberapa kenyataan yang menjadi kontroversi di dalam novel tersebut, akan diubahsuai. Walaubagaimana kenyataan kerajaan tersebut masih tidak menenangkan kontroversi Interlok.
Kandungan Interlok
Interlok dikarang dengan menggunakan konsep novel. Novel dalam pengertian umumnya adalah jenis karangan panjang yang menggambarkan tokoh-tokoh rekaan yang mengalami rangkaian peristiwa yang berkaitan satu sama lain di suatu tempat dan waktu dalam bentuk yang ringkas, dan ianya tidak semestinya mengambarkan fakta sejarah. Pengarang Interlok menceritakan bagaimana Seman, Maniam dan Cing Huat melalui penderitaan hidup sebelum kemerdekaan negara dalam situasi sosial masing-masing dan bagaimana mereka bergabung bersama untuk mencapai kemerdekaan.  Pengarang Interlok juga mempertengahkan  sifat-sifat kerjasama, tanggungjawap, tolenrasi dan perpaduan kaum di kalangan masyarakat berbilang kaum. Namun demikian, novel tersebut samasekali tidak mengupas kepincangan kelas dan hipokrasi politik pemerintah yang wujud di dalam masyarakat ketika zaman tersebut yang merupakan faktor-faktor utama yang memainkan peranan dalam struktur sosial masyarakat.
Justeru itu dengan menyembunyikan eksploitasi dan hipokrasi kelas pemerintah pada masa itu, novel ini nampaknya telah disunting oleh pihak kerajaan sebagai Edisi Pelajar semata-mata untuk mempertengahkan nilai-nilai nasionalisma atau patriotisma untuk mengkaitkan dengan konsep 1Malaysia. Pada zaman penjajah, ramai petani Melayu hidup dalam kemiskinan akibat diskriminasi oleh pemilik-pemilik tanah. Manakala, pekerja Cina dan pekerja India yang masing-masing berkerja di lombong serta di ladang digaji dengan upah yang amat rendah dan dipaksa berkerja dalam persekitaran kerja yang teruk oleh pemilik-pemilik lombong dan ladang. Penjajah British telah menggariskan ekonomi dan politik negara berlandaskan kepada kehendak pemilik-pemilik tanah, lombong dan ladang untuk membangunkan sistem kapitalisma di negara ini. Walaupun, kemerdekaan mengubah pemerintah, iaitu daripada penjajah British kepada Kerajaan Perikatan, tetapi politik dan ekonomi negara telah terus dikongkong oleh pemilik-pemilik tanah, lombong dan ladang, dan kemudiannya oleh pemilik industri yang mana telah mencorakkan keadaan sosial negara ini. Manakala kerajaan Perikatan dan seterusnya Barisan Nasional mempergunakan politik perkauman ‘pecah dan perintah’ yang dipergunakan oleh British untuk meneruskan kesinambungan kapitalisma di Malaysia. Pergolakan kelas yang berlaku di antara golongan kelas kapitalis dan kelas pekerja/petani langsung tidak dibincangkan di dalam novel ini untuk mempertengahkan keadaan sosial masyarakat Melayu, Cina dan India pada zaman tersebut.          

Hipokrasi Kerajaan
Di dalam satu sistem demokrasi tulen, seseorang pengarang akan diberikan hak untuk meluahkan pandangan daripada perspektif beliau dan pada masa yang sama masyarakat juga akan diberikan hak untuk mengkritik dan meluahkan pandangan terhadap inti yang cuba dipertengahkan. Sebelum ini banyak buku atau karya-karya lain seperti karya kartunis Zunar tidak dibenarkan untuk diterbitkan kerana ianya ditulis untuk mengkritik polisi-polisi kerajaan. Persoalannya, mengapa kumpulan-kumpulan yang mahukan “kematangan” tidak langsung bersuara ke atas tindakan kerajaan tersebut yang jelas berat sebelah.
Salah satu isu yang dipergunakan oleh parti-parti politik dan NGO India adalah isu kasta dalam Interlok. Tetapi, ironinya selama ini parti-parti politik seperti MIC, IPF dan golongan peniaga-peniaga India telah lama mempergunakan kasta untuk kepentingan politik dan perniagaan mereka. Jelasnya, dari dulu hingga sekarang struktur kasta dalam masyarakat hanya memanfaatkan golongan pemerintah dan kapitalis. Manakala, HINDRAF yang menyatakan memperjuangkan hak kelas pekerja India, nampaknya mengapi-apikan sentimen kaum India yang hanya akan melebarkan prasangka perkauman. Adalah tidak dinafikan bahawa, masyarakat India terutamanya kelas pekerja masih dalam kemiskinan dengan berbagai masalah sosial dan ekonomi. Tetapi, kelas pekerja India harus bergabung dengan kelas pekerja Melayu dan Cina yang juga berdepan dengan masalah-masalah sosial dan ekonomi sedemikian, dan juga dengan golongan tertindas yang lain untuk memperjuangkan hak-hak sosial dan ekonomi untuk kesejahteraan bersama.   
Kontroversi Interlok juga sekali lagi menunjukkan bahawa masyarakat berbilang kaum di Malaysia masih hidup dalam berbagai prasangka dan sentimen di antara satu sama lain. Prasangka perkauman ini dipergunakan dan disemarakkan oleh parti-parti politik kerajaan mahupun pembangkang untuk kepentingan politik masing-masing tanpa mengariskan langkah-langkah penyelesaikan ke atas jurang ekonomi dan sosial yang masih bermaharajalela dalam masyarakat kita yang terus melebarkan prasangka tersebut.
Kontroversi ini juga menunjukkan bahawa ciri-ciri perpaduan dan tolenrasi kaum di kalangan masyarakat dan generasi sekarang tidak dapat dibina hanya dengan retorik 1Malaysia atau dengan memperkenalkan novel Interlok, tanpa isu-isu asas sosial dan ekonomi tidak diselesaikan secara adil dan saksama. Politik kerajaan BN mahupun pembangkang yang masih di bawah kongkongan kapitalisma tidak akan berupaya untuk menyelesaikan isu-isu tersebut.        
Perjuangan kelas
Sifat hormat-menghormati, tolenrasi, kerjasama, tolong-menolong dan sifat-sifat murni yang lain di kalangan masyarakat kita yang berbagai kaum, agama, bahasa dan budaya hanya boleh dicapai jika mereka diberikan hak demokrasi yang sama serta kekayaan negara dipergunakan untuk pembangunan keperluan dan kebajikan semua golongan masyarakat sama ada majoriti atau minoriti tanpa sebarang prasangka. Ini tidak boleh dilakukan oleh parti-parti politik yang berlandaskan kepada kelas kapitalis dan bersifat perkauman yang tidak mempunyai agenda untuk menyelesaikan isu-isu sosial dan ekonomi masyarakat Malaysia. Interlok sekali lagi ‘membuka pekung di dada’ sistem kapitalisma negara ini yang terus mempergunakan perkauman untuk terus ‘pecah dan perintah’ masyarakat Malaysia. Hanya melalui pengukuhan kelas pekerja dan golongan tentindas yang lain, satu sistem demokrasi tulen dapat dibina untuk kesejahteraan setiap lapisan masyarakat tanpa sebarang prasangka perkauman.  Ini seterusnya akan mencetuskan dan membina sebuah masyarakat yang matang yang mana boleh mengkritik atau berhujah tanpa sebarang sentimen atau prasangka di antara satu sama lain.       

No comments: