Thursday, 1 October 2015

KEBEBASAN MEDIA DAN HAK BERSUARA

KEBEBASAN MEDIA DAN KEBEBASAN BERSUARA ADALAH HAK DEMOKRASI YANG PERLU DIJAMIN !
Sosialis Alternatif membantah tindakan Kementerian Dalam Negeri dan pihak kerajaan persekutuan yang telah membatalkan permit penerbitan akhbar mingguan the Edge financial daily selama tiga bulan. Kami mengecam pihak berkuasa yang menggunakan langkah-langkah yang tidak adil untuk menyekat kebebasan media dan kebebasan bersuara. Kami juga ingin bersolidariti dengan pekerja-pekerja media yang ditindas dan hilang mata pencarian akibat tindakan yang tidak demokratik oleh kerajaan pemerintah. Pada masa yang sama, kerajaan BN juga sedang menyekat hak rakyat biasa daripada memperolehi maklumat yang bebas dengan alasan ‘ancaman kepada keamanan negara’.

Bukan sahaja kerajaan Malaysia, malah kerajaan di negara-negara lain juga sering menggunakan istilah ‘ ancaman kepada keamanan negara ‘ untuk melaksanakan polisi-polisi yang kejam bagi kepentingan politik mereka. Pada masa-masa krisis, rakyat biasa akan ditakut-takutkan dengan ancaman krisis sosial dan menggunakan ruang yang ada untuk menindas segala bentuk penentangan terhadap kelas pemerintah. Dalam keadaan krisis di dalam parti pemerintah UMNO dan BN, Perdana Menteri Najib Razak menggunakan segala sistem penindasan yang sedia ada untuk cuba mengekalkan kuasa. Pendedahan mengenai skandal kewangan 1MDB oleh beberapa media antarabangsa dan tempatan telah menyebabkan Perdana Menteri untuk bertindak kejam dan menghukum pihak-pihak berkenaan sebagai amaran kepada yang lain. Disamping pihak media, aktivis-aktivis yang berhimpun menuntut kebebasan demokrasi juga ditindas dan dianiaya.
Perpecahan yang sedang berlaku di dalam UMNO telah mengakibatkan rombakan kabinet secara tergesa-gesa oleh Perdana Menteri, adalah krisis dalaman UMNO yang semakin runcing dengan kemerosotan ekonomi. Pada masa-masa krisis ekonomi, ketidakstabilan pemerintahan kapitalis akan mencetuskan krisis perebutan kuasa di kalangan mereka disamping membuka peluang bagi kelas pekerja dan rakyat biasa untuk meningkatkan kesedaran kelas. Krisis ekonomi Asia Tenggara 1997 juga telah mencetuskan krisis politik bukan sahaja di negara kita malah di seluruh rantau Asia Tenggara.
Walaupun krisis ekonomi pada masa ini belum sampai ke tahap 1997, rakyat Malaysia semakin dibebankan dengan kenaikan harga barang, pengenalan cukai GST, pemotongan subsidi dan sebagainya. Kejatuhan matawang dan harga komoditi juga sedang menggugat kestabilan ekonomi negara yang semakin merosot. Perpecahan yang berlaku di kedua-dua parti kapitalis BN dan PR menunjukkan bahawa keadaan ekonomi global dan tempatan sedang melalui krisis yang mendalam. Akibat perebutan kuasa antara puak-puak yang berbeza didalam kelas kapitalis, pihak media, wartawan dan aktivis sosial menjadi mangsa penindasan dan sedang dizalimi dengan kejam.
Selain akhbar The Edge, ruang-ruang media internet seperti The Sarawak Report juga disekat disebabkan mengandungi bukti pendedahan skandal 1MDB. Penindasan keatas media memang tidak asing di Malaysia. Kerajaan pemerintah sudah lama menggunakan undang-undang yang kejam seperti Akta Mesin Cetak 1984, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan 1948 untuk kepentingan politik mereka sendiri. Bukan sekadar Najb Razak, secara tradisinya kerajaan kapitalis BN termasuk ketika rejim Mahathir sering menggunakan undang-undang yang kejam dan tidak adil untuk menyekat kebebasan bersuara.
Seperti kerajaan kapitalis dimana sahaja, BN menggunakan apparatus kerajaan seperti sistem undang-undang dan badan keselamatan seperti Polis untuk memastikan kuasa mereka akan terus berkekalan. Akhbar Edge bukanlah mangsa kekejaman BN yang pertama dan pastinya banyak lagi mangsa akan menjurus selepas ini. Hanya dengan mengganti Perdana Menteri atau mengganti parti pemerintah tidak akan menjamin kebebasan demokrasi atau hak bersuara bagi rakyat Malaysia.
Sistem kapitalisme berkembang di negara-negara dunia ketiga seperti Malaysia dengan tidak seimbang. Disebabkan sistem ekonomi ini di import dari luar negara, kapitalis tempatan tidak teruja untuk berjuang demi mendapatkan hak-hak demokrasi untuk rakyat dan terlalu lemah sebab terpaksa menjadi pak turut kapitalis antarabangsa. Pada masa yang sama, kelas kapitalis antarabangsa juga sedang mengalami masalah untuk mengawal ekonomi global dan sering menindas kelas pekerja untuk membayar hutang-hutang yang dijana oleh kapitalis. Sepertimana di negara-negara maju zaman ini, di Malaysia juga beban untuk membawa masyarakat ke hadapan jatuh ke bahu kelas pekerja dan rakyat biasa.
Dalam masa krisis ekonomi global dan tempatan semakin mendalam, perbezaan pendapat antara kelas pemerintah pastinya akan mencetuskan huru-hara politik dan pelbagai pecahan di dalam kelas pemerintah. Pada masa yang sama, pihak pembangkang yang juga beroperasi di dalam kerangka kapitalisme akan menggunakan krisis ini untuk mengambil alih tampuk pemerintahan daripada kerajaan BN. Walaupun sebegitu, pihak pembangkang sendiri mengalami krisis perpecahan dan perebutan kuasa dan rakyat terutamanya anak muda tidak tertarik untuk menaruh harapan ke atas mereka sepenuhnya. Kepincangan sistem kapitalis yang dianuti oleh kedua-dua parti utama di Malaysia telah sedikit sebanyak terdedah di mata orang biasa.
Seperti yang sering berlaku dalam sejarah, krisis ekonomi kapitalisme bukan sahaja akan mencetuskan kekecohan politik di kalangan elit tetapi pada masa yang sama membuka peluang bagi kelas pekerja dan rakyat biasa untuk turut terlibat dalam perjuangan menuntut hak mereka. Penglibatan kelas pekerja di acara-acara demonstrasi seperti Bersih adalah amat penting, tetapi pada masa yang sama, kekuatan massa ini harus digunakan untuk membentuk sebuah organisasi yang berlandaskan aspirasi rakyat biasa dan menawarkan alternatif kepada sistem ekonomi kapitalisme yang sudah tidak releven lagi.
Golongan aktivis sosial, pihak media, intelektual dan anak muda harus bergabung tenaga dengan massa untuk turut berjuang menuntut hak bersama. Sebuah organisasi yang membawa tuntutan ekonomi dan sosial rakyat harus dibentuk disamping berjuang untuk hak-hak demokrasi. Kelas pekerja dan rakyat biasa sedang mengalami beban ekonomi dan kesedaran mereka wujud disebabkan kesan kemerosotan ekonomi kapitalisme.
Organisasi yang sedang berjuang untuk hak-hak demokrasi harus melebarkan program mereka dengan tuntutan-tuntutan ekonomi dan sosial bagi membolehkan rakyat biasa turut berjuang. Suatu perubahan yang nyata hanya boleh dicapai jika kelas pekerja dan rakyat biasa berpeluang untuk menyedari kekuatan mereka dan menggunakannya untuk menggerakkan penentangan terhadap sistem kapitalisme.

No comments: