Thursday, 22 May 2014

PIKET PEKERJA FEDERAL POWER

Majikan Amalkan ‘Union Busting’  dan Ingkar Perjanjian Kolektif


Pada 20 dan 21 Mei 2014 yang lepas, para pekerja Federal Power telah berpiket untuk membantah tindakan majikan itu yang mengingkari perjanjian kolektif, tidak membayar kenaikan gaji tahunan, mengugut pekerja untuk keluar daripada kesatuan sekerja dan banyak lagi. Piket yang diadakan selama dua hari itu telah disertai bersama-sama oleh Kesatuan Pekerja-pekerja Perusahaan Letrik (EIWU) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).


Federal Power adalah industri kabel elektrik yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam. Selain isu perjanjian kolektif yang telah diingkari oleh Federal Power, para pekerja itu turut berpiket kerana tindakan pengurusan syarikat yang mengamalkan ‘union busting’ untuk menyekat hak-hak para pekerja dalam menubuhkan dan menjalankan kesatuan sekerja EIWU. Federal Power juga memberikan tekanan kepada para pekerja itu untuk menubuhkan ‘in-house union’ atau kesatuan sekerja dalaman. Walaupun dilihat seolah-olah para pekerja tetap memiliki kesatuan mereka, hakikatnya ‘in-house union’ cumalah boneka majikan semata-mata.

Dalam hal ini, para pekerja tidak memiliki kebebasan kerana kesatuan sekerja dalaman mereka akan didaftarkan oleh majikan mereka sendiri dan ini bermakna segala aktiviti mereka akan dipantau terus oleh majikan. Selain itu, ‘in-house union’ juga cuma boleh disertai oleh pekerja tetap. Pekerja kontrak dan pekerja asing tidak boleh menyertai kesatuan dalaman. Ini menunjukkan betapa hak-hak semua pekerja cuba untuk dihakiskan dalam pelbagai cara oleh majikan-majikan seperti Federal Power.


Kesannya, tuntutan-tuntutan para pekerja Federal Power seperti kenaikan gaji tahunan serta terma dan syarat yang lebih baik dalam perjanjian kolektif tidak akan benar-benar didengari oleh majikan itu. Justeru, ia adalah penting bagi pekerja-pekerja Federal Power dan para pekerja yang lain untuk turut bersolidariti dalam bantahan terhadap majikan itu yang tidak adil dan telah menafikan hak-hak pekerja.

No comments: