Saturday 10 May 2014

PIKET KESATUAN PEKERJA-PEKERJA KERETAPI TANAH MELAYU BERHAD MENGGESA PRESIDEN KTMB MELETAKKAN JAWATAN


Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) menggesa Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Elias Kadir supaya meletakkan jawatan sebagai presiden dengan serta merta untuk menyelamatkan KTMB dari terus merudum. Presiden KTMB itu didapati telah menjatuhkan prestasi KTMB secara keseluruhan dan tidak mengendahkan keselamatan pekerja dan penumpang dalam 2 tahun beliau berkhidmat.

Dalam satu kenyataan rasmi, Presiden KPPKTMB Abdul Razak Md Hassan berkata Mesyuarat Jawatankuasa Kerja KPPKTMB dengan mandat dari Majlis Eksekutif yang bersidang pada 18 Mac lalu memutuskan supaya tindakan lanjut diperlukan segera untuk menamatkan perkhidmatan Datuk Elias jika beliau enggan meletakkan jawatan dengan sukarela.

Kesatuan menyifatkan tindakan pembaziran wang oleh Datuk Elias dalam mengekalkan khidmat nasihat dari firma dari India serta kelemahan urus tadbirnya tidak meningkatkan perkhidmatan KTMB.
Imej KTMB tergugat dengan teruk, hilang kepercayaan di kalangan pengguna serta kerugian wang rakyat dan menjejaskan nama baik pekerja dan syarikat.

Disebabkan kerugian yang dialami, kenaikan gaji dan kebajikan pekerja semakin tergugat. Syarikat ini dengan pimpinan Dato Elias Kadir didapati berorientasikan profit maksima semata-mata sampai sanggup mengabaikan kebajikan pekerja dan keselamatan.

Presiden Kesatuan Abdul Razak, kepimpinan kesatuan dan hampir 1000 ahli kesatuan yang lain telah berpiket pada 9 Mei dari jam 4.30 petang hingga 7.00 petang di perkarangan Ibu Pejabat KTMB bagi menyampaikan tuntutan mereka kepada pihak pengurusan KTMB. Hujan lebat yang turun ketika itu tidak dapat mematikan semangat mereka. Pihak KPPKTMB berharap bahawa piket ini akan membuka mata orang ramai mengenai masalah yang ada di dalam pengurusan KTMB dan supaya ia akan memberikan tekanan kepada pihak majikan untuk melaksanakan perubahan yang positif.

CWI menyokong tindakan pihak kesatuan KPPKTMB untuk melancarkan sebuah piket bagi menuntut perletakan jawatan Presiden KTMB iaitu Dato Elias Kadir. Kami akan bersama-sama dengan pekerja KTMB dalam perjuangan menentang birokrasi dan penindasan ke atas kelas pekerja dan pengguna perkhidmatan KTM.

Bersama kenyataan ini, kami juga menyertakan mesej solidariti daripada National Union of Rail, Maritime and Transport Workers (RMT) dari Britain kepada pihak KPPKTMB menyatakan sokongan mereka terhadap piket yang akan dilancarkan.

‘We send solidarity and support to the workers of Railwaymen Union of Malaysia (RUM), Malaysia. We support the action you are taking on 9th of May demanding the Chairman of KTM (Keretapi Tanah Melayu) should step down. We understand that he has been responsible for various disastrous policies including ignoring the workers’ welfare and numerous safety complaints. We wish you success in the action you are taking.” - Steve Hedley - Assistant general secretary of RMT

No comments: