Thursday 29 May 2014

AIR HAK ASASI MANUSIA BUKAN UNTUK KEUNTUNGAN KORPORAT !

Pada awal bulan Mac yang lalu, kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan telah menandatangani satu perjanjian untuk menyelaraskan pengurusan air di Selangor. Menurut perjanjian tersebut, pembinaan projek Langat 2 untuk menyalurkan air daripada negeri Pahang akan diteruskan, dan pengurusan air oleh tiga syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga, Syabas dan Splash pula akan diserahkan kepada kerajaan negeri melalui pampasan. Tetapi, tiga syarikat konsesi tersebut masih tidak setuju dengan perjanjian tersebut dengan alasan pampasan yang diberikan terlalu rendah.

Air adalah hak asasi manusia dan tidak harus diperniagakan untuk keuntungan. Sejak penswastaan era pemerintahan Mahathir, isu perkhidmatan dan pengurusan air masih tidak selesai walaupun kerajaan BN waktu itu berjanji akan meningkatkan kualiti perkhidmatan. Tetapi, malangnya kepentingan syarikat-syarikat konsesi kroni BN tersebut yang lebih diutamakan. Mereka adalah kroni-kroni kerajaan yang lebih mementingkan keuntungan daripada memberikan perkhidmatan yang berkualiti. Ini dapat dilihat dengan tuntutan mereka meminta pampasan yang lebih. Kualiti dianaktirikan apabila untung diletak sebagai keutamaan. Padahal pampasan tersebut mesti dibayar oleh wang rakyat.


Apabila kerajaan Pakatan mengambil alih kerajaan negeri pada pilihan raya 2008, pengumuman air percuma untuk 20 isi pad yang pertama mendapat sambutan daripada rakyat, dan sokongan kepada Pakatan terus meningkat dalam pilihan raya tahun lalu. Walaupun begitu, kerajaan negeri perlu mempergunakan pendapatan negeri untuk membayar subsidi kepada syarikat-syarikat konsesi. Ini boleh dilakukan di Selangor, memandangkan sumber pendapatan negeri adalah agak baik untuk masa ini. Memiliknegerikan pengurusan dan perkhidmatan air boleh meningkatkan kesejahteraan rakyat. Tetapi, ini hanya boleh berlaku jika demokrasi ditingkatkan dalam perbadanan air untuk membolehkan pengguna dan pekerja terlibat bersama dalam membuat keputusan dan menentukan hala tuju dalam pen- gurusannya.

Jika pengurusan air Selangor yang diambil alih oleh kerajaan negeri tetap berlandaskan kepada lunas-lunas korporat dan keuntungan, tanpa penglibatan secara demokratik oleh warga pekerja yang menjadi nadi dalam kerja-kerja pengurusan perbadanan air, maka isu yang sama ketika air di bawah syarikat konsesi akan muncul. Justeru itu, warga pekerja dan kesatuan perlu memainkan peranan dalam pen- gurusan dan kawalan perbadanan secara demokratik untuk memastikan keperluan rakyat terus diutamakan. Manakala pengguna atau rakyat pula perlu diberikan ruang untuk memberikan maklum balas dalam meningkatkan kualiti pengurusan air di negeri Selangor.Tetapi, ini hanyalah penyelesaian jangka pendek.


Perkhidmatan air percuma akan terbantut apabila kerajaan negeri yang terus menyokong agenda sistem pasaran bebas, dipaksa oleh kapitalis untuk mengikut harga pasaran atau kemelesetan ekonomi akan memaksa kerajaan negeri mem- berhentikan kemudahan air percuma. Penyelesaian sepenuhnya hanya dapat dibuat apabila ekonomi dirancang berdasarkan keperluan rakyat bukannya ekonomi pasaran bebas yang diamalkan sekarang yang menekan keperluan rakyat dengan matlamat untuk memaksimumkan keuntungan.

No comments: