Laporan
Kekayaan Knight Frank (agensi perundingan hartanah global) 2014 untuk Malaysia,
menyatakan bahawa bilangan individu terkaya di Malaysia dengan aset bersih
bernilai RM99 juta (30 juta dolar) dijangka meningkat daripada 557 orang kepada
739 orang, iaitu peningkatan sebanyak 33 peratus, dalam masa sepuluh tahun yang
akan datang. Untuk tahun 2013, 9 individu baru telah menyertai kategori
tersebut untuk mencapai bilangan 557 orang. Manakala, individu kaya yang
memiliki aset kekayaan RM 330 juta (100 juta dolar) pula meningkat kepada 206
dengan penyertaan tiga individu yang baru. Hampir 53 peratus daripada golongan
kaya tersebut tinggal di Kuala Lumpur.
Ini
bermakna, walaupun ekonomi rantau Asia dan dunia terus tidak menentu, golongan
jutawan dan kapitalis terus mengaut keuntungan dan terus meningkatkan kemewahan
mereka. Manakala, golongan berpendapatan rendah pula terus dibebankan dengan
kenaikan harga barang dan peningkatan kos hidup. Untuk kebanyakan kelas
pekerja, gaji sebenar yang diperoleh oleh mereka tidak selaras dengan kenaikan
harga barang.
Yang jelas,
setiap kali krisis ekonomi berlaku, yang menjadi mangsa adalah kelas pekerja
walaupun krisis ekonomi dicetuskan akibat keghairahan golongan kapitalis untuk
meningkatkan keuntungan. Selagi entiti-entiti ekonomi utama dan penting negara
seperti institusi kewangan dan syarikat nasional dan multinasional dimiliki
oleh golongan kapitalis maka rakyat biasa dan golongan pekerja akan terus
dianaktirikan. Sebab itu untuk manfaat sejagat dengan matlamat untuk meningkatkan
keperluan dan kebajikan rakyat, entiti-entiti ekonomi tersebut harus
dimiliknegarakan dan di letakkan di bawah pengurusan dan kawalan secara
demokratik oleh kelas pekerja.
No comments:
Post a Comment