Monday, 15 June 2015

1MDB SEMAKIN PARAH…PERTARUHAN KUASA DALAM UMNO ?



Satu persatu skandal yang melibatkan syarikat permodalan 1MDB terbongkar. Setelah dinyatakan mengalami kerugian RM42 bilion, kontroversi mengenai syarikat yang ditubuhkan atas inisiatif Najib ini tidak pernah berhenti membuat masyarakat marah. Belum lagi jelas jawapan ke mana wang sebanyak itu boleh hilang, apa peranan individu bernama Jo Lhow dalam syarikat tersebut, serta kontroversi lainnya, rakyat digemparkan lagi dengan isu Tabung Haji. Syarikat GLC tersebut diketahui telah membeli aset 1MDB berupa sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur. 


Dokumen urus niaga pembelian yang dilakukan secara sulit tersebut telah didedahkan oleh sebuah blog awal bulan Mei lepas. Menurut dokumen tersebut, Tabung Haji membeli tanah milik 1MDB jauh lebih mahal dari yang sepatutnya. Walau bagaimanapun, urus niaga ini berjalan dengan lancar kerana beberapa penjawat eksekutif di 1MDB juga memegang jawatan eksekutif di Tabung Haji. Ada di antara mereka juga ahli UMNO dan memegang jawatan berpengaruh di dalam parti pemerintah itu. Ketua Pengarah Tabung Haji juga adalah ahli parlimen Baling dari UMNO. Terlalu banyak pihak UMNO yang terlibat dalam perjanjian itu. Oleh itu, banyak pihak yang curiga perjanjian jual beli itu adalah satu upaya “bail out” atau pemindahan kekayaan dari Tabung Haji untuk menutupi hutang 1MDB. Padahal wang yang digunakan oleh tabung haji untuk urus niaga  itu adalah wang caruman para calon haji. Tentu sahaja mereka tidak rela wang yang dicarumkan untuk tujuan beribadah tersebut disalahgunakan untuk satu perjanjian yang sama sekali bercanggah dengan hukum Islam. 

Walaupun kerajaan Najib telah terlibat dalam pelbagai skandal seperti NFC dan kapal selam Scorpene sebelum ini, skandal terbaru 1MDB didapati memberikan kesan yang paling buruk bagi kedua-dua Najib dan kerajaan BN. Bukan sekadar ahli parti pembangkang dan anak muda aktivis, malah ahli-ahli parti pemerintah dan penyokong mereka seperti bekas perdana menteri Mahathir  juga telah lantang mengkritik pengurusan syarikat 1MDB khususnya menteri kewangan di bawah Najib. 

Isu ini sudah menjadi duri dalam daging bagi kerajaan UMNO/BN sendiri. Benih-benih perpecahan dalaman parti itu sudah tidak boleh ditutupi lagi. Mahathir, Muhyidin Yasin sudah secara terbuka mengkritik Najib tentang bagaimana 1MDB diuruskan. Namun kritikan mereka bukan untuk membela nasib rakyat yang selalu menjadi mangsa penyalahgunaan kuasa kerajaan, tetapi lebih didasari oleh kepentingan politik mereka sendiri. 

Jumlah hutang 42 billion oleh 1MDB mungkin telah menyebabkan skandal ini terdedah dan tidak dapat dikawal tetapi kelemahan kerajaan pemerintah juga menjadi salah satu sebab utama. Kemerosotan ekonomi dan kejatuhan harga minyak telah menyukarkan kroni-kroni BN untuk mengaut keuntungan, dan rakyat biasa pula dibebankan dengan pemotongan subsidi dan pengenalan cukai GST. Sokongan yang merosot bagi kerajaan BN dalam kedua-dua pilihan raya kecil Rompin dan Permatang Pauh mencerminkan kemarahan rakyat terhadap polisi-polisi kerajaan yang menindas. 

Segala tindakan Najib untuk memperbaiki imej sendiri dan imej parti seperti temuramah di televisyen tidak mebuahkan hasil, malah sokongan terhadapnya semakin merosot. Najib juga tidak memberikan sebarang penjelasan mengenai 1MDB di pembentangan Rancangan Malaysia ke 11 baru-baru ini walaupun 1MDB merupakan salah satu rancangan Malaysia sebelum ini. Bukti-bukti terbaru juga mendedahkan beberapa penipuan seperti wang yang dikatakan disimpan di Singapura telah dinafikan oleh bank-bank di sana. Pada masa ini, 1MDB telah dipaksa untuk disiasat di bawah Jawatankuasa Perakaunan Awam (PAC) dan maklumat-maklumat baru semakin terdedah.   

Walaupun kerajaan BN tidak asing dengan skandal-skandal kewangan sebegini, masalah 1MDB boleh dipergunakan sebagai senjata untuk menjatuhkan Najib. Pendukung-pendukung kapitalis di dalam BN nampak seakan-akan bergerak kearah penyelesaian dengan menukar kepimpinan parti untuk memulihkan populariti BN di kalangan rakyat. Kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri telah lama tergugat semenjak prestasi buruk BN di pilihan raya lepas. Walaupun pemerintahan BN penuh dengan korupsi dan skandal, pembangkang PR juga mengalami krisis mereka sendiri. Sememangnya pendukung kapitalis dalam PR juga membawa budaya politik yang sama dengan BN dan dipenuhi dengan pertelingkahan dan perebutan kuasa antara mereka. 


Sudah terlalu sering wang rakyat disalahgunakan. Pada masa yang sama rakyat terus dihimpit dengan dasar-dasar yang membebankan seperti GST. Sudah masanya rakyat berhenti percaya dan berlandaskan nasib mereka kepada elit politik yang hanya tahu membazirkan wang rakyat. Sebuah parti massa yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin kelas pekerja dan rakyat biasa adalah satu-satunya jalan keluar kepada politik kotor yang berleluasa di Malaysia. 

No comments: