Monday, 15 June 2015

PAKATAN RAKYAT : RETAK MENUNGGU BELAH ?


Keputusan pemilihan pemimpin PAS dalam muktamar minggu ini nampaknya penting untuk melihat kelangsungan Pakatan Rakyat. Walaupun baru kali pertama dicabar selepas 13 tahun memimpin parti tersebut, nampaknya Hadi Awang akan terpilih kembali dan terus menerajui parti itu menghadapi pilihanraya yang akan datang. Ini bermakna, golongan ulama sekali lagi akan mendominasi parti itu. Saat ini, anggapan yang dominan di masyarakat adalah golongan ulama di dalam parti itu, termasuk Hadi Awang sendiri menjadi punca keretakan yang berlaku di dalam PR dengan agenda kerajaan perpaduan dengan UMNO. Walaupun UMNO penuh dengan skandal penyelewengan dan rasuah yang didedahkan oleh skandal seperti 1MDB, Hadi Awang dan beberapa ulama dalam PAS memberikan sokongan kepada Najib dan UMNO. Ini juga telah mewujudkan keretakan dalam PAS sendiri.

Tetapi kalau kita lihat dari asal di mana keretakan PR bermula, iaitu ketika Langkah Kajang diisytiharkan, maka kita dapat lihat bahawa ketiga-tiga komponen parti di dalam PR punya peranan dalam mengeruhkan keadaan gabungan yang dianggap dapat melawan hegemoni parti UMNO/BN. Perkembangan akhir-akhir ini menunjukkan bahawa perbezaan itu semakin ketara. Dalam pilihanraya kecil di Rompin dan Permatang Pauh dapat dilihat bahawa jentera mereka bergerak secara bersendirian tanpa sokongan penuh dari komponen yang lain. Dalam kempen di Permatang Pauh, penglibatan golongan ulama PAS, termasuk Hadi Awang tidak nampak sama sekali membantu jentera.
Akankah sejarah keruntuhan Barisan Alternatif akan kembali berulang? PAS dan DAP terlalu banyak perbezaan di antara mereka yang tidak boleh didamaikan. Apalagi, pemimpin yang dianggap menjadi penengah kepada kedua-dua parti itu, iaitu Anwar Ibrahim tidak mampu memainkan peranannya selepas dipenjarakan. Inilah kelemahan jika gabungan politik dibentuk bukan berdasarkan persefahaman ideologi. Mereka hanya boleh bersatu jika terdapat musuh bersama menjelang pilihanraya. 
Padahal saat ini musuh bersama mereka, iaitu BN juga sedang mengalami perpecahan dalaman yang teruk dan ditimpa pelbagai skandal. Situasi ini tidak dapat dipergunakan sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat untuk meningkatkan kesedaran penentangan terhadap rejim BN. Sebab itu, organisasi politik alternatif yang dilandasi oleh ideologi yang jelas untuk membela nasib rakyat perlu diwujudkan, supaya nasib mereka tidak hanya dilandaskan kepada parti kapitalis seperti PR dan BN pada pilihanraya. Kerana mereka hanyalah dua sisi mata wang yang sama.

No comments: