Dalam beberapa minggu ini, lebih daripada 2500 pelarian daripada Myanmar dan Bangladesh diselamatkan sementara seramai 800 lagi tidak dibenarkan masuk ke negara Malaysia, Indonesia dan Malaysia. Manakala seramai 8000 termasuk wanita dan kanak-kanak terkandas dalam bot di tengah laut apabila ditinggalkan begitu sahaja oleh penyeludup-penyeludup yang menjanjikan kehidupan yang lebih baik. “Tolong saya hubungi keluarga saya. Mereka tiada minuman atau makanan, mereka akan mati”, luahan terdesak Hakim, seorang Rohingya yang sudah dua tahun berkerja di Malaysia, dan kelurganya kini terkandas dalam bot di laut.
Masyarakat Rohingya dihalau secara kejam oleh kerajaan Myanmar yang menganggap mereka sebagai pendatang yang tidak sah walaupun sejarah menunjukkan mereka adalah masyarakat pribumi yang sudah lama menetap di Negeri Rakhine yang merupakan sebahagian daripada Negara Myanmar. Akibat kekejaman rejim pemerintah, masyarakat Rohingya tiada pilihan,selain mencari jalan keluar dari penindasan. Mereka terpaksa melarikan diri ke negara-negara jiran seperti Bangladesh, Thailand, Malaysia dan Indonesia untuk menyelematkan diri. Tetapi, negara-negara lain mengutamakan kepentingan politik dan ekonomi masing-masing daripada mendapatkan penyelesaian kemanusiaan untuk pelarian Rohingya.
Manakala, isu Rohingya yang sudah wujud lama, tetapi, kerajaan Najib yang menjadi pengerusi ASEAN dan kerajaan-kerajan lain di Asia Tenggara tidak mendesak rejim Myanmar untuk mendapatkan penyelesaian kepada masyarakat Rohingya. Malahan, pada setiap perjumpaan ketua-ketua Negara Asia Tenggara, perjanjian Ekonomi dan Pelaburan lebih diutamakan daripada krisis dan kekejaman ke atas kemanusiaan di rantau ini.
“ Kami juga ada hak. Kami juga manusia dan kami hanya mahu hidup. Mengapa semua menendang kami seperti kami ini objek ? Tolong jangan lakukan kami sebegini”, tuntut Din, seorang Rohingya yang menetap di Malaysia. Tetapi, kapitalisme di Myanmar dan rantau ini tidak akan mendapatkan penyelesaian untuk isu Rohingya sepertimana isu Palestin di Timur Tenggah. Sosialis menyokong hak negara sendiri untuk masyarakat Rohingya dan masyarakat-masyarakat minoriti lain yang ditindas oleh rejim Myanmar. Tetapi, ini hanya boleh menjadi kenyataan dengan membina solidariti pekerja dan golongan miskin Rohingya dengan masyarakat-masyarakat tertindas yang lain di Myanmar serta warga pekerja dan golongan miskin di rantau Asia Tenggara sebagai kuasa alternatif untuk melawan agenda rejim Myanmar dan kerajaan-kerajaan kapitalis di rantau ini. Pada masa yang sama agenda sosialisme di Myanmar dan rantau ini diperlukan sebagai alternatif untuk menyelesaikan konflik kemanusia dan krisis ekonomi dan sosial yang telah diwujudkan oleh kapitalisme. Sosial dan kesatuan sekerja di rantau ini perlu melakukan pembinaan alternatif tersebut. Manakala pergerakan kesatuan sekerja harus berjuang supaya semua pekerja migran diambil bekerja pada gaji dan syarat-syarat seperti pekerja tempatan untuk mengelakkan agenda ‘pecah dan perintah’ majikan untuk menurunkan gaji. Jika pergerakan kesatuan sekerja secara keseluruhan melancarkan perjuangan yang serius terhadap gaji rendah dan hak berkesatuan, khususnya mengambil hak-hak pekerja migran, ia akan mengukuhkan pergerakan buruh.
Pada abad ke-21 ini, dunia semakin tidak stabil dan ganas, dan ini telah membawa kepada bilangan pelarian yang semakin meningkat meninggalkan negara mereka untuk mencuba dan mencari keselamatan di negara lain. Rejim yang menindas, peperangan dan konflik, krisis ekonomi dan bencana alam sekitar adalah di antara kondisi-kondisi yang mewujudkan pelarian di peringkat antarabangsa. Dalam dunia moden, di mana perjalanan lebih memungkinkan berbanding sebelum ini, penghijrahan tidak dapat dielakkan di mana orang akan cuba untuk melarikan diri dari keadaan yang mengerikan. Dan kondisi-kondisi itu adalah akibat sistem kapitalis yang berasaskan eksploitasi, persaingan dan mengejar keuntungan.
Sosialis berjuang untuk penghapusan kapitalisme dan untuk pembangunan sosialisme pada skala dunia. Hanya atas dasar ini ia menjadi mungkin untuk memanfaatkan sains dan teknik untuk membina sebuah masyarakat yang dapat memenuhi keperluan semua umat manusia. Dalam dunia sosialis tidak ada orang yang perlu untuk melarikan diri daripada kelaparan atau perang. Pada masa yang sama, sebahagian daripada perjuangan demi sosialisme adalah untuk hak manusia untuk bergerak. Pasport dan kawalan imigresen digambarkan oleh pihak kapitalis sebagai kekal dan tidak berubah tetapi mereka telah diperkenalkan lebih 100 tahun yang lalu. Di bawah kapitalisme moden, modal (kapital) bebas untuk merentasi dunia. Namun orang pula dianggap penjenayah jika mereka cuba meninggalkan negara asal mereka (kecuali, jika mereka diperlukan sebagai buruh murah). Hanya atas dasar sosialisme ia akan menjadi mungkin untuk mempunyai pergerakan bebas yang tulen merentasi sempadan negara.
No comments:
Post a Comment