Monday, 15 June 2015

LAWAN ‘UNION BUSTING’ DENGAN KEKUATAN PEKERJA


Serangan atau ‘Union Busting’ ke atas kesatuan sekerja semakin meningkat, dan terus diperalatkan oleh majikan untuk melemahkan kesatuan. Pada tahun lalu KTMB membuang kerja 41 ahli termasuk presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (RUM) kerana melibatkan diri dengan piket terhadap majikan. Maybank cuba melemahkan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dengan menubuhkan kesatuan dalaman untuk melemahkan Perjanjian Kolektif. Pada tahun 2013, Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) dibuang kerja kerana mengeluarkan kenyataan media mendesak campurtangan kerajaan untuk menamatkan perkhidmatan Ketua Eksekutif MAS.  18 ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW) di Pekan kawasan di mana Najib menjadi ahli Parlimen, dipecat oleh DRB HICOM kerana berkempen dalam pilihanraya umum yang lalu.  Presiden dan beberapa pemimpin Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) dibuang kerja kerana mengeluarkan kenyataan media. Syarikat Ansell NP Melaka memecat Timbalan Pengerusi dan 9 ahli kesatuan kerana mengambil bahagian dalam piket.
Syarikat elektronik Renesas memecat Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Elektronik kerana membangkitkan hak pekerja dalam Facebook. Presiden dan 17 pemimpin kesatuan dipecat kerana melibatkan diri dalam aktiviti kesatuan. Kilang perkayuan Dahlia Industries di Nilai memecat 5 pemimpin kesatuan kerana mengorganisasi kesatuan. Ini hanya beberapa contoh, dan banyak lagi kes-kes ‘Union Busting’ yang semakin berleluasa. Contoh-contoh tersebut menunjukkan, hak pekerja untuk mengorganisasi kesatuan di tempat kerja ditindas dengan pemecatan pemimpin-pemimpin kesatuan atau dikenakan tindakan disiplin ke atas ahli-ahli kesatuan.  


Pada bulan Oktober 2014, 120 wakil daripada 20 kesatuan sekerja yang mewakili MTUC menyerahkan memorandum kepada SUHAKAM dan Persatuan Peguam untuk membantah ‘union busting’. Sebelum ini pun banyak tuntutan dan memorandum sudah dihantar kepada Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan, untuk mendesak campurtangan kerajaan tetapi ‘union busting’ terus menjadi agenda majikan. Malahan, di antara syarikat-syarikat yang terlibat dalam ‘union busting’ seperti MAS, DRB HICOM dan KTMB adalah GLC (Syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerajaan). Ini menunjukkan kerajaan sanggup mempertahankan majikan walaupun dengan jelas ada pencabulan hak ke atas pekerja.  Manakala akta penubuhan kesatuan dan hak mengorganisasi kesatuan termasuk piket, perjanjian kolektif dan lain-lain dianiaya sewenang-wenangnya oleh majikan tetapi kerajaan gagal untuk campurtangan untuk menegakkkan keadilan. 

Hanya bergantung terhadap memorandum dan surat kepada kerajaan atau majikan, isu union busting dan pencabulan hak pekerja tidak dapat dihentikan. Pengalaman perjuangan pekerja dan kesatuan selama ini memberi pengajaran bahawa hanya melalui penglibatan pekerja secara langsung tindakan ganas terhadap hak pekerja oleh majikan boleh dilawan. Kekuatan warga pekerja yang merupakan nadi utama pembangunan negara mampu mendesak kerajaan yang tunduk kepada majikan. 


Untuk memperkuatkan gerakan pekerja, pemimpin kesatuan sekerja harus berpihak kepada hasrat dan tuntutan pekerja, dan membina gerakan daripada bawah. Ini memerlukan komitmen perjuangan dan pengorbanan yang tinggi sepertimana yang pernah ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin kesatuan era 1940an. Pemimpin kesatuan juga sanggup untuk meneroka alternatif-alternatif lain selain dalam rangkuman undang-undang sebagai taktik atau alat untuk memperkukuhkan gerakan dan perjuangan pekerja. Negara sedang melalui ketidaktentuan keadaan ekonomi dan sosial yang akan terus menekan hak dan kebajikan pekerja. Gerakan pekerja dan kepimpinan kesatuan yang kukuh harus dibina untuk menegakkan  martabat pekerja.   

No comments: