Wednesday, 7 January 2015

SRI LANKA : POSISI SOSIALIS DALAM PILIHANRAYA PRESIDEN


Kenyataan akhbar parti USP (CWI Sri Lanka) bagi pilihanraya presiden pada January 10, 2015


Di kalangan parti-parti yang menentang kerajaan SLFP di Sri Lanka, terdapat satu pendapat bahawa semua parti pembangkang harus bergabung untuk mengalahkan rejim kejam Mahinda Rajapakshe. Walaupun United Socialist Party, USP (CWI Sri Lanka) juga menentang rejim Rajapakshe, kami masih memilih untuk berdiri secara bebas untuk beberapa sebab penting.

Kami akan terus terlibat dalam protes-protes yang diadakan bagi membantah kekejaman rejim berkuasa. Kami bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai organisasi walaupun terdapat perbezaan politik yang tajam bagi menghapuskan rejim diktator tersebut. Walau bagaimanapun USP tidak pernah membuat sebarang pakatan oportunis dengan pihak kapitalis. 
Tidak syak lagi bahawa rejim kejam ini patut dikalahkan dan kami menyeru untuk mobilisasi rakyat secara besar-besaran bagi tujuan tersebut. Tetapi pada masa yang sama, kami juga prihatin dengan siapa yang akan menggantikan Mahinda Rajapakshe sebagai kuasa kerajaan baru. Pada masa-masa seperti ini kita perlu imbas kembali kepada peristiwa yang telah berlaku dalam sejarah. Pada tahun 1994, juga terdapat tekanan yang besar bagi mengalahkan rejim kapitalis United Nationalist Party UNP yang telah berkuasa selama 17 tahun. Tetapi, penggantinya tidak berupaya untuk menarik balik polisi-polisi kapitalis dan akibatnya, rakyat biasa telah ditimpa dengan penindasan-penindasan baru. 

Begitu juga kini, terdapat satu tekanan daripada bawah untuk menamatkan rejim SLFP yang sedang bermaharajalela selama sembilan tahun. Tetapi tiada seorang calon daripada pihak pembangkang yang berdiri untuk memelihara hak rakyat atau dapat menjamin reformasi tulen jika ia menang. Mereka semua mewakili kepentingan golongan pemodal dan kapitalis-kapitalis kaya. Jika pembangkang utama Maithripala Sirisena daripada UNP menang, kemungkinan besar polisi-polisi penindasan SLFP akan terus dilaksanakan. 

Lihatlah amalan lompat parti di kalangan mereka. Maithripala baru sahaja meninggalkan SLFP untuk bekerjasama dengan UNP (beliau adalah Setiausaha parti itu dan juga salah seorang menteri). Sementara itu, setiausaha UNP Tissa Anthanayaka, telah meninggalkan UNP untuk menyertai SLFP. Ini menunjukkan bahawa tiada pendirian yang jelas di antara mereka dan rakyat tidak mempunyai sebarang pilihan dalam membantah penindasan terhadap mereka. 

Tidak ada alternatif yang jelas diberikan kepada para pengundi yang sedang mengharapkan sebuah perubahan. Ini merupakan antara sebab utama di mana USP ( CWI Sri Lanka ) memilih untuk meletakkan seorang calon presiden. Kami berdiri secara bebas untuk memberi peluang kepada rakyat untuk menolak rejim Rajapakshe sambil mendesak untuk mewujudkan sebuah sistem ekonomi dan politik yang akan berkhidmat untuk kelas pekerja dan rakyat biasa. 

Tuntutan United Socialist Party USP ( CWI Sri Lanka )

Dalam program USP, kami mendesak untuk membatalkan perlembagaan yang sedia ada dan membentuk sebuah majlis konstituen demokratik yang terdiri daripada wakil-wakil rakyat daripada semua lapisan masyarakat. Badan demokratik ini boleh memutuskan perlembagaan dan jenis pelan ekonomi yang perlu dilaksanakan. 

Kami juga menuntut penswastaan institusi pendidikan dihentikan dengan serta-merta. Dana yang mencukupi perlu diperuntukkan untuk pendidikan. Perkhidmatan kesihatan harus dikekalkan percuma. 

Kita telah melihat pekerja awam mogok dan menuntut upah yang lebih baik. Kenaikan dalam inflasi tidak sepadan dengan kenaikan gaji di sektor awam atau sektor swasta, termasuk dalam 'Zon Perdagangan Bebas'. Perbelanjaan pertahanan dan perbelanjaan yang besar untuk jawatan presiden eksekutif harus dipotong dan dilaburkan dalam gaji dan perkhidmatan rakyat.

Komuniti Tamil telah merana untuk beberapa dekad lalu di bawah pemerintahan kapitalis. USP berdiri teguh menyokong hak-hak rakyat Tamil termasuk untuk menentukan nasib mereka sendiri, hak untuk pemisahan jika dikehendaki dan hak semua kaum minoriti lain dilindungi.

Hak-hak umat Islam, termasuk hak agama mereka, kini diserang kejam oleh kumpulan ekstremis Sinhala Buddha seperti ‘Bodu Bala Sena’. Kami telah berkempen menentang keganasan ini dan telah diserang untuk itu, termasuk dari segi fizikal. Penganiayaan ini mesti berakhir dengan segera.

Di atas adalah sebahagian daripada tuntutan yang telah dikemukakan oleh USP. Permintaan ekonomi kami tidak abstrak. Kami menjelaskan bahawa ia boleh dilaksanakan dengan memiliknegarakan sektor utama ekonomi di bawah kawalan wakil pekerja dan melaksanakan ekonomi yang dirancang. Ini hanya boleh dibuat dengan penyertaan orang ramai dalam kerajaan.

Kami juga menjelaskan bahawa tuntutan-tuntutan ini perlu dikaitkan dengan tuntutan menghapuskan kapitalisme dan mencapai transformasi sosialis bagi memastikan semua manfaat diagihkan secara adil dan bukan berlandaskan keuntungan bagi segelintir sahaja.

No comments: