Friday 30 January 2015

GREECE: KEBANGKITAN PARTI KIRI

PERJUANGAN UNTUK PERUBAHAN TULEN MEMERLUKAN AGENDA SOSIALIS
(Laporan dan analisa terkini daripada Xekinima ( CWI di Greece ))

Keputusan pilihanraya umum di Greece boleh dikatakan sebagai peristiwa bersejarah kerana ia mewakili kejatuhan kuasa-kuasa lama yang telah memerintah negara ini untuk beberapa dekad dan juga kebangkitan kuasa kiri dalam senario politik Greece. Koalisi kiri Syriza berjaya melonjak dari 5% sokongan pada tahun 2010 ke 36.5% sokongan pada pilihanraya kali ini di atas dasar-dasar kiri dan program kelas pekerja secara umum.

Syriza telah mendapat 149 kerusi daripada jumlah 300 dan terlepas peluang untuk menubuhkan kerajaan dengan kekurangan hanya 2 kerusi. Sebuah kerajaan koalisi dengan parti sayap kanan Independent Greeks telah diumumkan.

Walaupun kelas pemerintah Greece telah mencuba segala taktik bagi mengelakkan Syriza mendapat majoriti di pilihanraya, rakyat biasa terutamanya di kawasan-kawasan majoriti pekerja telah memberikan mandat kepada Syriza.

Parti pemerintah sebelum ini New Democracy telah mengalami kekalahan yang bersejarah dengan kehilangan 53 kerusi. Pasok ( parti sosial demokrat ) hanya berjaya meraih 5% undi dan jatuh ke tangga ke tujuh dari segi bilangan kerusi parlimen. Parti neo-fasis Golden Dawn telah berjaya mengekalkan sokongan mereka di sekitar 6.3% (17 kerusi) dan merupakan parti ketiga popular pada masa ini di Greece. Parti Komunis Greece ataupun KKE berjaya menambahkan kerusi mereka ke 15 daripada 13 sebelum ini dan penambahan undi sebanyak 1%.

Tahun ini merupakan tahun ketujuh Greece dalam krisis hutang yang kini berjumlah lebih 300 billion Euro. Pelbagai pemotongan sosial dan penstrukturan hutang telah dilaksanakan tetapi keadaan hutang dan ekonomi Greece tidak pulih, malah semakin merudum. Walaupun berbilion-bilion pinjaman baru diberikan oleh Troika ( Bank Pusat Eropah, Suruhanjaya Eropah dan IMF ) supaya mengelakkan kejatuhan matawang Euro akibat ekonomi Greece, ia tidak berjaya memulihkan keadaan. Rakyat biasa di Greece pula mengalami pemotongan perbelanjaan oleh kerajaan dan mengalami kemiskinan dan pengangguran akibat polisi-polisi kejam yang dikenakan oleh pihak kapitalis Troika dan kerajaan Greece yang menyokong mereka.

Greece sedang mengalami kemelesetan ekonomi sehingga 27% daripada KDNK, sebuah situasi yang lebih teruk di banding zaman penjajahan Nazi dalam Perang Dunia Kedua. Anggaran rasmi mengatakan bahawa 6.3 juta daripada 11 juta rakyat Greece berada di bawah garis kemiskinan. Kadar pengangguran adalah di sekitar 27% bagi masyarakat umum dan mencapai 57% bagi belia di bawah umur 25. Lebih seratus ribu anak muda Greece sudah meninggalkan negara itu bagi mencari nafkah di negara lain sebagai pekerja migran. Terdapat unsur-unsur keruntuhan sosial dan kemiskinan kronik sedang terbentuk di dalam masyarakat Greece. Ini merupakan latar belakang di mana kerajaan Syriza di berikan mandat oleh rakyat bagi mencari jalan penyelesaian bagi masalah-masalah mereka.

SYRIZA MENGUMUMKAN KERAJAAN GABUNGAN DENGAN PARTI INDEPENDENT GREEKS. MENGAPAKAH SYRIZA TIDAK DAPAT MENCAPAI PERSETUJUAN DENGAN PARTI KOMUNIS (KKE)?

Syriza telah menawarkan penubuhan kerajaan koalisi kiri dengan KKE (Parti Komunis Greece) tetapi prospek tersebut ditolak. KKE didapati memencilkan diri mereka dan menggunakan perbezaan-perbezaan ideologi yang wujud bagi menolak segala jenis kerjasama dengan mana-mana kuasa kiri yang lain. Ini bermaksud gerakan kiri di Greece terlepas peluang untuk memerintah dengan 164 kerusi daripada 300 iaitu majoriti mutlak. Dengan 42% sokongan rakyat, koalisi kiri Syriza dan KKE dapat melancarkan dasar-dasar sosialis dan program-program yang mewakili kepentingan kelas pekerja tanpa sebarang halangan.

Malangnya tindakan KKE menolak cadangan koalisi telah membuka jalan kepada kepimpinan Syriza untuk menubuhkan sebuah kerajaan campuran dengan parti Independent Greeks, sebuah parti kapitalis yang langsung tidak mewakili kepentingan kelas pekerja. Gabungan ini berdasarkan program anti-penjimatan yang disokong oleh kedua-dua pihak. Kepimpinan Syriza telah menggunakan peluang ini untuk mengelak daripada mengambil tanggung jawab bagi melaksanakan dasar-dasar sosialis dengan alasan terpaksa menumpu perhatian kepada masalah ekonomi dan hutang negara. Walaupun parti Independent Greeks menolak pemotongan perbelanjaan awam atau penjimatan bagi masyarakat Greece, mereka cuma mengambil sebuah posisi populis dan tidak mempunyai sebarang hala tuju ke arah pemulihan ekonomi secara konkrit.

Walau bagaimanapun sokongan rakyat bagi parti Independent Greek semakin berkurangan dengan hanya 4.7% undi pada pilihanraya kali ini berbanding 10% pada 2012. Melihat peningkatan peratusan undi bagi Syriza dan KKE, adalah jelas bahawa rakyat di Greece semakin berani dan bersedia untuk melihat kepada idea-idea sosialis sebagai solusi kepada masalah ekonomi dan sosial yang wujud sekarang. Tindakan KKE untuk memencilkan diri mereka merupakan taktik yang amat memudaratkan gerakan kiri yang juga sedang tercetus di negara-negara lain di Eropah pada masa ini.

Tindakan Syriza yang menubuhkan kerajaan campuran dengan koalisi populis Independent Greeks juga tidak akan memberikan sebarang manfaat kepada kelas pekerja dan rakyat biasa. Di sebabkan oleh pegangan politik yang berbeza dan sering bertentangan, kerajaan campuran Greece terbaru adalah sebuah pembentukan yang tidak stabil.

GOLDEN DAWN  (PARTI FASIS) BERJAYA MENGEKALKAN PERATUSAN UNDI MEREKA.

Dengan hanya kehilangan satu kerusi, Golden Dawn dapat mengekalkan sokongan mereka dan berjaya menjadi parti dengan undi ketiga terbanyak pada pilihanraya kali ini. Perkara ini perlu mendapat perhatian daripada golongan kiri dan ancaman ekstremis perkauman tidak boleh dipandang remeh lagi. Parti yang berpegangan fasis secara terbuka ini mengancam masa depan Greece sekiranya Syriza gagal untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan sosial rakyat. Agenda-agenda ketuanan kaum dan rasisme akan dipergunakan untuk mengaburi mata rakyat dan mengalihkan perhatian mereka daripada punca utama masalah yang wujud. Golongan kiri perlu sedar dengan kemungkinan ini dan bersedia dengan perancangan yang teguh.

KEMENANGAN SYRIZA MEMBERIKAN KESAN KEPADA ORGANISASI KIRI DAN ORGANISASI PEKERJA SEDUNIA.

Kebangkitan Syriza dilihat oleh organisasi-organisasi kiri antarabangsa sebagai pemangkin bagi cetusan gerakan-gerakan sosial dan tuntutan politik di serata dunia. Potensinya memang wujud.

Walaupun anak muda dan kelas pekerja Greece bernafas lega dengan kemenangan Syriza, tetapi mereka masih tidak jelas dengan program Syriza yang semakin hari semakin kabur. Kemenangan Syriza adalah jelas bahawa rakyat menolak parti-parti lain yang menyokong tirani Kesatuan Eropah dan Troika ke atas rakyat Greece. Walaupun begitu, kepimpinan Syriza masih sedang mengharapkan untuk mencapai suatu persetujuan dengan Kesatuan Eropah dalam mendapatkan dana bagi membantu memulihkan ekonomi Greece.

Pemberi dana utama iaitu German sendiri sedang mengalami kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan dalam permintaan komoditi global. Canselor German Angela Merkel yang mewakili kepentingan golongan kapitalis Eropah dijangka akan bertegas dengan pendirian mereka dan memaksa kerajaan Syriza untuk melaksanakan langkah-langkah penjimatan. Pada masa yang sama, jika Greece gagal membayar balik hutang dan terpaksa keluar daripada menggunakan mata wang Euro, ini akan memberikan kesan yang buruk kepada ekonomi Eropah secara menyeluruh. Pihak kapitalis juga berhati-hati untuk mengelakkan situasi ini daripada berlaku.

Sebuah jalan penyelesaian akan cuba dicapai oleh Merkel dan Syriza supaya Greece akan kekal menggunakan matawang Euro tetapi terdapat banyak limitasi dari kedua-dua pihak. Situasi ekonomi keseluruhan Eropah dan dunia pada masa-masa yang akan datang mampu menentukan hasil jalan penyelesaian yang dicapai oleh Troika dan kerajaan Greece baru.

Persoalannya ialah jika rakyat biasa akan terus rela membiarkan nasib mereka di tangan kapitalis Eropah. Peristiwa-peristiwa yang akan berlaku dalam beberapa minggu akan datang mungkin akan memaksa Syriza untuk mengambil posisi yang lebih radikal dan melaksanakan dasar-dasar ekonomi terancang bagi menyelamatkan Greece daripada jatuh ke pemerintahan golongan ekstremis seperti Golden Dawn atau menjurus kepada kecemasan ekonomi.

Jika kepimpinan Syriza sekarang gagal untuk menentang serangan kapitalis Eropah, kemungkinan elemen-elemen radikal di dalam parti Syriza akan berjaya menolak Syriza untuk mengambil posisi yang lebih tegas. Tetapi jika situasi ini tidak berlaku, maka kekecewaan rakyat terhadap Syriza akan dipergunakan oleh golongan sayap kanan dan fasis seperti Golden Dawn untuk meraih sokongan dan menguasai kuasa kerajaan.

APAKAH PERANAN XEKINIMA (CWI GREECE) DI DALAM SYRIZA.

Kepimpinan Syriza akan menggunakan situasi koalisi dengan Independent Greeks sebagai alasan bagi tidak dapat melaksanakan polisi-polisi sosialis yang memihak kepada kelas pekerja. Oleh itu, kami menuntut bagi perlaksanaan program-program yang mewakili kepentingan kelas pekerja secara konsisten. Kami bersama dengan kumpulan kiri lain di dalam Syriza bekerjasama untuk berkempen bagi perlaksanaan dasar-dasar sosialis sebagai jalan keluar daripada krisis ekonomi sekarang.

Xekinima ( CWI Greece ) mengalu-alukan mobilisasi kelas pekerja secara besar-besaran dan menuntut kondisi yang lebih baik untuk rakyat biasa. Kami juga menggalakkan gerakan-gerakan sosial lain yang menuntut hak demokrasi dan menganjurkan penentangan terhadap fasisme dan rasisme. Dalam keadaan ini, parti Syriza mampu menjadi lebih berani dan mencapai jauh lebih daripada apa yang sedang dibayangkan oleh pemimpin-pemimpin moderate sekarang.

Tugas utama Xekinima adalah untuk melakukan apa yang boleh untuk membina dan mengukuhkan kuasa kelas pekerja. Satu-satunya penyelesaian kepada krisis adalah dengan pelaksanaan dasar sosialis dan program kelas pekerja. Apa sahaja kerajaan yang tidak menyediakan dasar-dasar ini akan berakhir di dalam krisis.
Xekinima mencadangkan kepada Syriza untuk tidak membayar balik hutang bank swasta sama sekali, memperkenalkan gaji dan pencen yang lebih tinggi, melabur secara besar-besaran dalam kebajikan, kesihatan dan pendidikan. Termasuk dalam program kami adalah pengambilalihan sektor-sektor industri atau syarikat besar oleh kerajaan di bawah kawalan dan pengurusan demokratik kelas pekerja untuk manfaat majoriti.


Reaksi yang sangat positif di seluruh dunia bagi kemenangan Syriza menunjukkan bagaimana golongan pekerja Greece mempunyai berjuta-juta sekutu di kalangan kelas pekerja Eropah dan global. Jika kerajaan kiri Syriza mengusahakan sebuah program sosialis, ia pasti akan mendapat sambutan yang besar di kalangan kelas pekerja Eropah yang akan mengambil contoh daripada Greece.

No comments: