ADAKAH NEGARA MENUJU KE SATU LAGI KEMELESETAN EKONOMI ?
Berdasarkan kepada angka dan statistik
ekonomi, keadaan ekonomi negara agak rapuh, dan amat bergantung kepada
percaturan ekonomi global. Ini kerana, ekonomi negara berlandaskan kepada
ekspot dan pelaburan luar negara. Permintaan yang berkurangan daripada negara-negara
pengimport utama seperti US, China, Jepun dan Eropah telah memberikan impak
kepada ekspot negara. Manakala pelabur pula tidak mahu mengambil risiko dengan
ketidakstabilan pasaran dunia yang terus berlanjutan semenjak 2008 untuk
melakukan pelaburan baru atau pun memperkembangkan pelaburan yang ada.
Analisa pendapatan
suku ketiga tahun ini (Julai-September) menunjukkan hanya dua daripada lima
sektor utama ekonomi meningkat. Sektor perkhidmatan jatuh 58.5 peratus,
komoditi jatuh 37.7 peratus, manakala sektor minyak dan gas jatuh 29.3 peratus.
Sektor perkhidmatan menyumbang lebih daripada 50 peratus kepada kegiatan
ekonomi negara. Kelembapan eksport boleh mengakibatkan Malaysia mengalami
defisit kembar (twin deficit) iaitu defisit akaun semasa dan defisit
perdagangan.
EKSPOT KOMODITI JATUH DAN NILAI RINGGIT
MENJUNAM
Ekonomi China yang semakin merosot telah
mengakibatkan pemintaan terhadap bahan komoditi seperti minyak, kelapa sawit,
timah, getah turut jatuh, dan eksport barangan pembuatan juga tidak mengalakkan. Ketika US dan Eropah dalam krisis
ekonomi, China telah memberikan harapan kepada negara-negara pengeluar komoditi
atau ekonomi yang berorientasikan ekspot seperti Malaysia. Tetapi, dengan Eropah
masih dicengkam krisis, ekonomi US yang masih tidak stabil, ekonomi Jepun yang
dalam kemelesetan dan ekonomi China yang semakin merosot bermakna ekonomi
negara juga akan mengalami impak jika fenomena ini berterusan.
Kejatuhan harga minyak (60 dolar setong pada
minggu ini) telah memberikan kesan kepada negara-negara pengeluar minyak.
Dijangka ini akan meningkatkan defisit (hutang) kerajaan memandangkan lebih 37
peratus pendapatan negara datangnya daripada aktiviti ekonomi yang berkaitan
dengan minyak dan gas. Jika ini berterusan, kerajaan akan ditekan untuk melakukan
lebih banyak pemotongan perbelanjaan awam seperti subsidi, dan melancarkan
lebih banyak liberalisasi dalam ekonomi dan langkah penswastaan ke atas syarikat
atau badan-badan di bawah kawalan kerajaan seperti yang sedang dilaksanakan ke
atas Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).
Pada awal bulan ini, nilai ringgit jatuh
paling teruk dalam empat tahun kebelakangan ini (kejatuhan dua hari yang paling
teruk semenjak krisis kewangan 1998), dan RM8 billion kekayaan negara lesap
dalam sehari daripada bursa saham KL akibat kejatuhan harga minyak dunia. Sehingga
kini, ringgit telah jatuh 6.8 peratus berbanding dengan dolar US (RM 3.50
sedolar), dan dijangka akan terus
memberikan impak kepada ekonomi jika harga minyak semakin menurun yang dijangka
boleh mencecah sehingga 32 dolar setong.
EKONOMI BERLANDASKAN HUTANG
Pertumbuhan ekonomi (KDNK) negara
sekitar 5 hingga 6 peratus dapat dikekalkan beberapa tahun kebelakangan ini,
hanyalah kerana ekonomi domestik yang dijanakan dengan rangsangan melalui
hutang isirumah dan aktiviti-aktiviti infrastruktur kerajaan seperti MRT, iaitu
51 peratus daripada KDNK adalah melalui aktiviti ekonomi domestik. Pada
dasarnya pertumbuhan ini adalah didorong melalui hutang isirumah yang ditanggung
oleh rakyat di mana pada akhir tahun 2013 sudah meningkat kepada 86.8 peratus daripada KDNK, dari 60.4 peratus pada 2008. Ini merupakan nisbah hutang kepada KDNK
yang tertinggi di Asia.
Tetapi kini, ekonomi domestik juga
dijangka akan merosot akibat inflasi yang semakin meningkat, dan akan
menghadkan rakyat daripada berbelanja. Jika
rakyat kurang berbelanja atau tidak mampu membayar hutang/pinjaman kerana kos
yang meningkat (seperti yang berlaku di Amerika Syarikat pada Kemelesetan Besar
2008), ini boleh memberikan kesan teruk kepada ekonomi.
GELEMBUNG HARTANAH MENUNGGU MASA UNTUK
BERKECAI !
Gelembung hartanah (property bubble)
semakin membesar di Malaysia dengan peningkatan harga rumah di antara 15 hingga
20 peratus dalam dua tahun kebelakangan ini. Tetapi permintaan telah jatuh
sedikit pada tahun ini akibat kenaikan inflasi dan kesukaran memperoleh
pinjaman, dan ini dijangka akan terus memberikan kesan pada tahun hadapan
dengan GST. Gelembung hartanah boleh pecah jika ekonomi semakin meleset
(beberapa ahli ekonomi menjangkakan pada tahun hadapan atau 2016), dan ini
boleh mewujudkan tekanan besar dalam ekonomi.
Kesimpulannya,
ekonomi Malaysia amat terdedah kepada impak global, dan hampir semua ‘resepi’
untuk krisis kini wujud dalam ekonomi negara. Maka, kesan spontan yang besar
dan mendalam dalam ekonomi global, boleh menyebabkan Malaysia mengalami
kemelesetan yang lebih teruk daripada krisis kewangan 1998. Jika ianya berlaku,
maka pilihan seperti ‘kawalan kapital’ yang dipergunakan oleh Mahathir pada
masa itu, sukar untuk dilaksanakan akibat pergolakan ekonomi yang lebih
menyeluruh yang sedang dihadapi pada masa kini.
Pergolakan
dalam ekonomi negara adalah akibat keadaan kucar-kacir yang seringkali ditimbulkan
oleh sistem ekonomi pasaran bebas, dan akibatnya rakyat biasa yang menjadi
mangsa. Konflik ini diwujudkan oleh golongan kapitalis nasional dan
antarabangsa yang bermotifkan kepada penjanaan keuntungan semaksimum mungkin
dengan memperjudikan keperluan dan hak rakyat.
Intitusi
kewangan, bank, syarikat-syarikat besar, badan-badan yang memberikan perkhidmatan
kepada rakyat dan lain-lain yang mengawal ekonomi harus dimiliknegarakan di
bawah ekonomi terancang dengan kawalan dan pengurusan secara demokratik untuk
membolehkan keperluan dan hak rakyat biasa diperkukuhkan dengan menidakkan
kediktatoran sistem pasaran bebas kapitalisme.
No comments:
Post a Comment