Wednesday, 7 January 2015

PERGOLAKAN DIJANGKA BERTERUSAN DI 2015


SERTAI KAMI UNTUK PEMBINAAN SOSIALIS ALTERNATIF


Tahun 2014 mempertingkatkan lagi kepincangan sosial, ekonomi, politik dan alam persekitaran di Malaysia. 

Jurang kaya miskin semakin meningkat dengan 0.001 peratus golongan kapitalis memiliki hampir 50 peratus kekayaan negara. Hutang isirumah yang meningkat hampir ke 90 peratus daripada pendapatan negara menekan kehidupan rakyat dengan inflasi yang semakin meningkat. Kos perkhidmatan asas seperti pendidikan dan perubatan dan lain-lain juga semakin meningkat. Pendapatan purata isirumah kebanyakan rakyat tidak setimpal dengan produktiviti, tetapi kekayaan koporat semakin meningkat. 

Ekonomi negara terumbang-ambing dengan kejatuhan nilai ringgit yang teruk dan penurunan harga komoditi di pasaran dunia pada tahun ini. Kesan ekonomi global yang tidak menentu terus menghantui ekonomi negara. 

Manakala politik pro-kapitalis pemerintah dan pembangkang yang terus mengagungkan ‘sistem pasaran bebas’ tidak memberikan penyelesaian alternatif kepada rakyat. Golongan ektrimis kaum dan agama pula mencanangkan agenda pecah dan perintah untuk kepentingan politik dan kuasa mereka. 

Pencabulan alam persekitaran dengan aktiviti pembalakan dan pemusnahan alam oleh golongan kapitalis telah meningkatkan bencana seperti banjir dan tanah runtuh yang meragut nyawa serta memusnahkan harta benda rakyat biasa. Penyakit kronik dan kematian akibat Denggi juga semakin meningkat.

Semua pergolakan di atas menunjukkan kegagalan sistem kapitalisme untuk menyelesaikan masalah dan isu asas rakyat biasa. Pada masa yang sama, polarisasi kelas semakin melebar dengan kaya semakin mewah, si miskin semakin merana. Justeru itu, perjuangan untuk alternatif sosialis semakin penting untuk satu perubahan tulen dalam kehidupan rakyat biasa di negara ini. Sertai kami untuk pembinaan Sosialis Alternatif.

No comments: