Friday, 30 January 2015

PERUBAHAN IKLIM DAN BANJIR

PENEBANGAN HUTAN YANG BERLELUASA DI MALAYSIA AKIBAT MENGEJAR KEUNTUNGAN MAKSIMUM

Negeri-negeri di Pantai Timur pernah dilanda banjir besar yang telah menyebabkan kerugian dan kemusnahan harta yang banyak. Misalnya banjir besar pada tahun 1967 dan banjir yang dikenali sebagai ‘bah merah’ pada tahun 1926. Tetapi banjir yang berlaku pada hujung tahun 2014 adalah yang terbesar, merangkumi 6 negeri dan lebih 200,000 ribu orang terjejas. Kemusnahan harta benda dan kerugian tidak dapat dibandingkan dengan banjir yang telah melanda sebelum ini.

Pelbagai teori telah dikemukakan oleh pakar bagi fenomena banjir yang luar biasa ini. Antaranya adalah daripada Jabatan Meteorologi Malaysia yang mencadangkan bahawa kedudukan bulan yang berhampiran dengan bumi adalah antara faktor utama.

Ada juga golongan seperti Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menulis di Facebook: “Bencana banjir ingatkan umat Islam agar kembali kepada Allah dan jauhi murka-Nya. Ia wajarkan kerajaan Kelantan terus istiqamah laksana syariat hudud.”

Mungkin terdapat lebih daripada satu faktor yang menjadi punca kepada banjir besar ini, tetapi antara faktor utama yang pasti adalah skala pembalakan yang berlaku di negeri Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan dalam setahun itu. Ramai pemerhati awam mencadangkan bahawa pembalakan di kawasan tadahan air di Hulu Kelantan yang telah mencetekkan sungai-sungai merupakan punca utama banjir ini.

Laporan dari Syarikat Aeronautik Amerika NASA baru-baru ini mengatakan bahawa satelit mereka telah mengesan penggondolan hutan yang mendadak di Malaysia. Satelit itu mencatatkan peningkatan sebanyak 150% iaitu kedua tertinggi di dunia selepas Bolivia yang mencatatkan 162%. Malaysia kini menebang hutan dengan kadar yang lebih pantas berbanding dengan Panama (123%), Ecuador (115%), Kemboja (89%) dan Nigeria (63%).

Penebangan dan pembalakan yang begitu meluas, terutamanya di tanah tinggi adalah satu sebab utama mengapa hujan yang lebat menyebabkan banjir-banjir besar. Pokok-pokok semula jadi akan memecahkan air hujan yang membolehkan titisan halus air meresap ke tanah dan mengalir ke takungan tanah-air. Apabila semua pokok habis ditebang, air hujan akan menghakis tanah masuk ke dalam sungai yang akan tersumbat dengan tanah dan lumpur. Ini akan menyebabkan sungai itu semakin cetek dan tidak mampu untuk menampung air hujan yang jatuh melimpah-limpah hampir setiap hujung tahun.

Kerosakan yang bermula di hulu sungai akan memberikan kesan kepada sungai-sungai besar di kawasan tanah rendah yang melewati tebing dan membanjiri bandar dan tempat tinggal orang awam. Penebangan hutan hujan dan tempat tadahan air sudah lama memberikan kesan kepada penghuni-penghuni di Cameron Highlands dengan masalah tanah runtuh yang dihadapi hampir setiap tahun. Pembalakan di Hulu Kelantan juga dikenal pasti sebagai punca utama bagi masalah pengairan sawah padi di negeri itu. Akibatnya, kawasan penanaman padi di Kemubu, Kelatan telah mengalami kemerosotan hasil daripada 250,000 tan semusim sebelum ini kepada 192,000 tan semusim sekarang.

Selepas setiap bencana, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan kedua-dua akan memberikan pelbagai janji manis bahawa pembalakkan dan pembangunan di tanah tinggi akan dihentikan. Tetapi selepas beberapa bulan, aktiviti pembalakkan dan pembangunan akan dimulakan semula tanpa disedari. Tiada pihak yang akan memberikan perhatian kepada perkara itu sehingga suatu bencana alam seperti banjir atau tanah runtuh melanda sekali lagi.

Kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan masing-masing menyalahkan Tuhan dan alam semula jadi sebagai penyebab utama banjir tanpa melihat kepada sebab-sebab yang lebih konkrit. Di dalam hal ini, kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang berkerjasama dalam memberikan tender dan kontrak kepada pengusaha balak dan pembangunan dan membenarkan mereka menjalankan aktiviti penebangan hutan dengan sesuka hati. Hutan semulajadi yang merupakan milik bersama rakyat dijual beli dengan sewenang-wenangnya oleh segelintir ahli politik dan kroni kapitalisnya tanpa persetujuan awam.

Walaupun punca sebenar banjir belum boleh dikesan dengan seratus peratus, pembalakan yang tidak diurus secara lestari telah memberikan kesan buruk kepada alam sekitar. Bahkan, ketika banjir semakin surut di Semenanjung Malaysia, beberapa daerah di Sabah mulai dinaiki air. Ahli politik dan para pemaju berkomplot menggondolkan hutan-hutan Malaysia dengan tidak mengambil sebarang tanggungjawab bagi kegiatan mereka. Akhirnya, rakyat biasa terpaksa menghadapi bencana dan malapetaka yang teruk.

Satu-satunya cara bagi menangani masalah yang berleluasa ini adalah dengan menafikan hak bagi ahli politik dan pengusaha kapitalis untuk menebang hutan semula jadi tanpa kebenaran rakyat. Kelas pekerja dan rakyat biasa perlu lebih terlibat dalam mengambil keputusan terhadap hal-hal persekitaran mereka sendiri. Ahli politik dan golongan kapitalis meraih keuntungan berjuta-juta dengan menebang hutan milik rakyat tetapi tidak pernah merasai keperitan orang biasa apabila tempat tinggal mereka dilanda banjir. Mereka didapati hanya memberikan sagu hati dan menziarahi tempat dilanda bencana semata-mata untuk mendapatkan publisiti. Setelah isunya selesai, segala pembalakan ‘halal’ dan ‘haram’ di dapati diteruskan tanpa sebarang keluh.

Rakyat biasa tidak boleh bergantung dengan ahli politik yang dikatakan mewakili mereka tetapi dengan jelas terbukti hanya mewakili kepentingan segelintir pemodal dan pengusaha kapitalis. Walaupun masing-masing sedang merebut Putrajaya, kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang adalah orang suruhan bagi kapitalis kaya dan kepentingan mereka tidak tertumpu pada rakyat biasa. Kelas pekerja dan rakyat biasa perlu berusaha ke arah pembinaan sebuah organisasi yang akan dapat menjadi suara politik dan membawa aspirasi mereka ke hadapan. Organisasi sedemikian harus fokus untuk membawa rakyat keluar daripada sistem kapitalis yang tidak adil dan melaksanakan kerajaan pekerja sosialis yang beroperasi secara demokratik dan mewakili setiap lapisan rakyat biasa.


Sistem ekonomi sosialisme merupakan sebuah sistem yang mengagihkan kuasa mengambil keputusan secara demokratik dan menitikberatkan perancangan ekonomi yang memenuhi keperluan rakyat dan bukan berlandaskan keuntungan segelintir kapitalis. Hanya dengan pengambil alihan kuasa kerajaan oleh kelas pekerja dan rakyat biasa daripada tangan kapitalis akan dapat menyelamatkan alam semula jadi yang sedang habis dijual untuk keuntungan setiap detik. Walaupun sebuah usaha dari skala global diperlukan untuk menyelamatkan dunia ini daripada ancaman kapitalisme, usaha tersebut perlu bermula di setiap negara, termasuk di Malaysia.

No comments: