Wednesday, 16 July 2014

HENTIKAN SERANGAN DENGAN SERTA-MERTA ! PENGEBOMAN GANAS KERAJAAN ISRAEL DI GAZA MENINGKATKAN KEMARAHAN MASYARAKAT DUNIA

APAKAH PENYELESAIAN KEPADA KONFLIK ISRAEL-PALESTIN ?

Seramai 1.8 juta orang yang terperangkap atau dikepung di jalur Gaza telah diserang kejam dari udara, laut dan tanah. Keganasan perang di daerah yang padat dengan penduduk ini sekali lagi telah mendapat perhatian dan menjana kemarahan di kalangan masyarakat seluruh dunia.

Sehingga 14 Julai sahaja, tentera Israel telah menjalankan 1,474 serangan ke atas sasaran di Gaza, menjatuhkan 1,500 tan bahan letupan dalam tempoh seminggu. Kerosakan yang berlaku amat mengerikan dengan bilangan kematian di Gaza kini melebihi 180. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 75% daripada yang terkorban adalah orang awam dan sekurang-kurangnya 32 daripada mereka adalah kanak-kanak. Masyarakat Arab Islam yang menyambut bulan Ramadan sekarang sedang mengalami kekejaman yang tidak dapat dibayangkan dan ramai yang kehilangan tempat tinggal akibat pengeboman. Dalam satu serangan, 17 orang daripada keluarga yang sama telah meninggal dunia. Rumah penjagaan bagi orang-orang cacat juga telah dimusnahkan.


Apakah jalan keluar daripada konflik ini ?

Demonstrasi anti-perang perlu dipertingkatkan di seluruh dunia termasuk di Israel - untuk menentang propaganda dan hasutan nasionalis pemimpin Israel. Ini termasuk memperjelaskan bahawa pertumpahan darah yang dilancarkan oleh kerajaan Israel itu bukan dalam kepentingan rakyat biasa Israel. Majoriti rakyat Israel menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan ingin menarik balik penempatan jajahan Yahudi di wilayah tersebut.

Walau bagaimanapun, kerajaan Netanyahu mempergunakan pembunuhan tiga anak muda Israel dan serangan roket baru-baru ini untuk mengukuhkan lagi propaganda sayap kanan dan meningkatkan penindasan, yang pasti tidak akan membawa keamanan dan keselamatan bagi orang-orang di Israel itu sendiri.

Malangnya, pemimpin-pemimpin politik pro-kapitalis pada kedua-dua pihak Israel dan Palestine tidak mempunyai program yang mampu mengakhiri kitaran pertumpahan darah ini. Sebaliknya, rakyat Palestin perlu membina organisasi akar umbi mereka sendiri yang demokratik yang dapat menganjurkan pertahanan dan mengambil inisiatif serangan yang berdasarkan perjuangan massa terhadap sekatan dan rampasan tanah kerajaan Israel.

Di Israel, berikutan gerakan sosial yang telah melibatkan ratusan ribu orang pada tahun 2011, sebuah parti pekerja baru diperlukan bagi memajukan aspirasi pergerakan itu secara kukuh. Ia perlu membawa kehadapan dan berjuang demi tuntutan kelas pekerja dan rakyat biasa seperti perumahan, infrastruktur, perkhidmatan dan pekerjaan yang terjamin.

Satu-satunya cara untuk mencabar dan mencampak keluar agenda parti-parti kapitalis dan membawa idea sosialis di rantau ini adalah dengan pembinaan parti pekerja massa yang kukuh. Ini mampu menjadi laluan untuk membina sebuah negara Palestin sosialis dan negara Israel sosialis sebagai sebahagian daripada konfederasi sosialis di Timur Tengah, menanam benih untuk masa depan yang bebas daripada peperangan, keganasan dan kemiskinan.

Bersatu menentang keganasan perkauman

Beratus-ratus orang Yahudi dan orang Arab berkumpul di Haifa, Israel pada 5 Julai lalu dalam demonstrasi yang dianjurkan untuk mengutuk dan menentang demonstrasi golongan konservatif sebelum ini yang telah menghasut dan bersifat perkauman terhadap orang-orang Arab.

Antara penceramah pada demonstrasi perpaduan itu adalah Shay Galy dari Pergerakan Perjuangan Sosialis (CWI Israel/Palestin), berucap bahawa bagaimana dalam tempoh rundingan aman, dalam tempoh kurang dari sembilan bulan, kerajaan telah berjaya meluluskan pembinaan 13,000 rumah baru di kawasan penempatan haram, memusnahkan lebih 500 rumah rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur, membunuh 61 dan mencederakan 1,100 rakyat Palestin.

Shay juga menyeru : "Hentikan serangan ketenteraan di Gaza dan penindasan di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur. Kami menuntut perlindungan dan hak sama rata untuk rakyat Palestin dan Israel"

Gerakan Perjuangan Sosialis (CWI) di Israel-Palestin, terlibat dalam menyokong mogok dan perjuangan pekerja biasa di Israel dan Palestin, dan juga mengambil bahagian dalam demonstrasi bersama masyarakat Arab dan Yahudi menentang penjajahan. Ia berhujah untuk idea-idea sosialis, dan pembinaan parti pekerja massa yang boleh menentang dan mengalahkan pihak kapitalis. Penubuhan negara Palestin sosialis dan Israel sosialis sebagai sebahagian daripada konfederasi sosialis di Timur Tengah akan dapat menamatkan pertumpahan darah di rantau ini untuk selamanya.

  • Hentikan serangan dengan serta-merta! Tamatkan serangan peluru berpandu dan serangan lain di Gaza! Hentikan perang kerajaan Israel dan pendudukan haram.
  • Bagi penamatan sekatan di Gaza. Pengunduran tentera Israel dari wilayah Palestin dengan serta-merta. Konflik negara tidak boleh diselesaikan dengan cara ketenteraan.
  • Untuk satu perjuangan massa Palestin di bawah kawalan demokratik kelas pekerja dan anak muda bagi berjuang untuk kemerdekaan yang sebenar.
  • Bagi pertubuhan organisasi kelas pekerja massa yang bebas daripada kongkongan kapitalis di Palestin dan Israel.
  • Untuk pertubuhan negara demokratik sosialis Palestin dan demokratik sosialis Israel, dengan dua ibu kota di Jerusalem dan jaminan hak demokrasi untuk semua golongan minoriti, sebagai sebahagian daripada perjuangan untuk sosialis Timur Tengah dan keamanan serantau.

No comments: