Konflik menteri besar muncul sekali lagi di Selangor, dan pada kali
ini Pakatan pula ingin mendesak Khalid Ibrahim meletakkan jawatan untuk
pemilihan menteri besar yang baru.
Semenjak 1980an hingga kini, setiap menteri besar di Selangor yang
mengambil kuasa, telah dicemari dengan berbagai skandal dan konflik yang telah
memaksa mereka untuk meletak jawatan. Mat Taib dengan konflik membawa keluar
wang tunai RM 2.4 juta ke Australia; Abu Hassan dengan skandal seks; Khir Toyo
dengan skandal rasuah. Semua menteri besar tersebut adalah daripada BN, sebelum
Khalid Ibrahim daripada Pakatan Rakyat mengambilalih kuasa pada 2008. Kejatuhan Selangor ke tangan Pakatan adalah
disebabkan oleh kemarahan rakyat terhadap pemerintahan BN yang penuh dengan
rasuah dan salahguna kuasa dengan berkomplot untuk memenuhi nafsu kroni-kroni
kapitalis yang berhajat melipatgandakan kemewahan mereka dengan menganaktirikan
keperluan rakyat.
Rakyat Selangor
berharap dengan pertukaran kerajaan daripada BN ke Pakatan, satu perubahan akan
berlaku dalam politik Selangor supaya mementingkan keperluan rakyat daripada
keperluan kroni. Selepas mengambilalih kuasa, Khalid yang berlatarbelakangkan
korporat telah melancarkan beberapa program kebajikan seperti air percuma yang
mendapat sambutan rakyat, sekaligus meningkatkan sokongan terhadap kerajaan
Pakatan. Ini dicerminkan apabila Pakatan pada pilihanraya 2013 mencapai
kemenangan yang lebih besar daripada pilihanraya 2008 di Selangor.
Negeri Selangor merupakan negeri terkaya di Malaysia, dan kebanyakan
aktiviti industri, pelaburan dan kewangan utama negara tertumpu di Lembah
Kelang yang juga merupakan kawasan dengan kepadatan penduduk tertinggi. Tidak dapat dinafikan, majoriti rakyat iaitu kelas
pekerja di Selangor merupakan nadi utama yang terus menerus menjana kemewahan
dan pembangunan yang dinikmati di Selangor. Tetapi, ramai rakyat di Selangor
masih tidak dapat merasakan pembangunan tersebut memandangkan pembahagian
kekayaan yang tidak sama rata yang terus dipraktikkan oleh kerajaan negeri di
bawah Pakatan sama seperti kerajaan-kerajaan negeri sebelum ini di bawah BN.
Walaupun, Khalid dianggap lebih telus dan ikhlas dalam mengendalikan
pentadbiran kerajaan Selangor, tetapi polisi-polisi yang dipraktikkan masih
memberikan keutamaan kepada kehendak sistem pasaran bebas kapitalisme. Beberapa konflik yang muncul dalam
pentadbiran Pakatan di Selangor, termasuk isu pembinaan lebuhraya Kidex
menunjukkan bahawa keputusan politik yang diambil Khalid masih dikongkong oleh
agenda kapitalis seperti mana keputusan-keputusan politik yang dibuat oleh
menteri-menteri besar di bawah BN. Dalam
linkungan kapitalisme, kerajaan negeri juga tidak mampu menyelesaikan konflik
air dan masalah perumahan yang semakin meruncing di Selangor.
Ini bermakna, perlantikan seorang lagi menteri besar yang baru sama
ada Wan Azizah atau Azmin Ali atau calon lain tidak mampu menyelesaikan isu-isu
sosial dan ekonomi rakyat Selangor. Menteri besar baru juga akan terus didesak
oleh agen-agen kapitalis untuk tunduk kepada naluri memaksimumkan keuntungan. Ini kerana seperti BN , Pakatan juga mendukung
agenda kapitalisme, di mana kerajaan akan menuruti kehendak minoriti golongan
kaya dan kapitalis.
Hanya kerajaan yang mampu memiliknegarakan aktiviti ekonomi di bawah
kawalan dan pengurusan majoriti kelas pekerja dan rakyat biasa sahajalah, satu
perubahan sosial yang memihak kepada rakyat dapat menjadi kenyataan. Untuk
menuju ke arah tersebut, parti massa yang berlandaskan kepada hasrat dan
keperluan kelas pekerja dan anak muda harus dibina.
No comments:
Post a Comment