Wednesday, 16 July 2014

SERANGAN KERAJAAN ISRAEL MENYEMARAKKAN GELOMBANG PROTES BESAR-BESARAN



Kenyatan CWI pada 8/7/2014

Pada masa artikel ini ditulis, kerajaan Israel melancarkan satu lagi siri serangan udara dan pengeboman ke atas penduduk Gaza di bawah operasi bernama "perlindungan tambahan". Jumlah kematian di Gaza sejak awal serangan ini telah mencapai 11, di antara mereka ialah dua orang kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Sekurang-kurangnya 75 rakyat Palestin telah tercedera. Ini merupakan satu lagi langkah tindak balas oleh kerajaan Israel yang sedang mencetuskan konflik yang lebih luas.

Perdana Menteri Israel, Netanyahu dan menteri-menteri kerajaan yang lain seolah-olah mengutuk pembunuhan seorang anak muda Palestin bernama Abu-Khdeir yang telah menggemparkan timur Baitulmaqdis baru-baru ini, tetapi ia ternyata hanya lakonan semata-mata. Perkembangan yang tragis di beberapa minggu ini mencerminkan dasar pemerintah Israel yang ingin meneruskan penindasan mereka terhadap wilayah Palestin dan meningkatkan usaha bagi program penempatan orang Yahudi di wilayah tersebut.

Hasutan nasionalis Israel untuk membalas dendam bagi pembunuhan kejam tiga remaja Israel pada 30 Jun lalu telah disanjung oleh Netanyahu dan konco-konconya yang ingin mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan polisi-polisi mereka baru-baru ini. Pada masa ini, kerajaan pro-kapitalis ini sedang mengalami situasi yang tidak boleh dikawal yang terjadi akibat kenyataan dan tindakan mereka sebelum ini.

Satu siri serangan bersifat perkauman telah dilancarkan di Jerusalem oleh nasionalis sayap kanan Israel terhadap pekerja dan rakyat biasa Palestin - termasuk pembunuhan Abu-Khdeir pada 2 Julai lalu. Peristiwa itu telah mencetuskan gelombang kemarahan, bantahan dan rusuhan di masyarakat Palestin di seluruh bahagian Israel dalam suatu gerakan protes yang luas. Terdapat juga beberapa usahasama di kalangan orang-orang Yahudi dan Palestin di kota Baitulmaqdis, Tel Aviv dan Haifa yang telah bersatu menentang serangan golongan sayap kanan dan kerajaan.

Apabila protes itu tersebar, media Israel bergegas hanya untuk meliputi kemusnahan harta benda dan serangan terhadap orang-orang Yahudi manakala mengecilkan latar belakang hasutan, penindasan, diskriminasi dan serangan perkauman terhadap rakyat Palestin yang meningkatkan kemarahan.
Dari pendudukan dan sekatan-sekatan di wilayah Palestin yang berterusan kepada diskriminasi dan serangan perkauman yang dialami oleh masyarakat Arab di Israel menjadi asas kepada peningkatan kemarahan yang ditunjukkan di beberapa peristiwa kebelakangan ini. Anak-anak muda di Palestin dengan masa depan yang kabur akibat polisi kerajaan sayap kanan Israel, tidak mempunyai cara lain selain untuk membawa kemarahan dan kekecewaan mereka ke protes dan demonstrasi di jalan raya.


Serangan Kerajaan Israel

Selepas penculikan tiga orang anak muda Israel pada bulan lepas, kerajaan Netanyahu mempergunakan peristiwa tragis ini untuk mempromosikan agenda politik mereka, memupuk suasana propaganda nasionalis yang bertujuan untuk menyerang Hamas dan Fatah.

Perisik Israel mencadangkan dua suspek pembunuhan - yang belum lagi ditangkap - adalah aktivis Hamas dari Hebron. Hamas menafikan sebarang tanggungjawab, dan ianya tidak mustahil jikalau beberapa daripada pengikut Hamas bertindak tanpa pengetahuan atau persetujuan pemimpin mereka.
Kerajaan juga melaksanakan satu kempen ketenteraan di wilayah yang diduduki mereka. Tujuh anak muda Palestin ditembak mati oleh tentera Israel dalam satu serbuan di Tebing Barat dan sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh akibat serangan bom tentera di Gaza, termasuk kanak-kanak.

Ancaman untuk memusnahkan rumah-rumah keluarga suspek yang terlibat dalam protes  adalah hukuman kolektif kejam terhadap saudara-mara yang tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan. Dalam salah satu serangan sebegini, seorang bayi berumur sebulan telah terkorban.

Serangan-serangan sebegini tidak pernah menghalang serangan pengganas malah pengalaman menunjukkan bahawa ini mungkin akan mengukuhkan motivasi bagi lapisan masyarakat Palestin yang paling terdesak untuk melancarkan tindak balas. Dasar itu digunakan terutamanya untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan strategi keselamatan kerajaan Netanyahu dalam mencegah serangan. Langkah yang sama tidak pernah dikenakan ke atas keluarga pembunuh Yahudi Israel, seperti Baruch Goldstein, seorang pengganas sayap kanan yang melakukan pembunuhan beramai-ramai di ‘Cave of Patriarchs’ di Khalil pada tahun 1993, membunuh 29 rakyat Palestin dan mencederakan lebih daripada 120 orang.

Segala percubaan kerajaan Israel untuk menghentikan serangan Palestin tidak menghasilkan sebarang hasil sehingga ke hari ini. Walaupun beribu-ribu rakyat biasa telah terkorban di tangan tentera Israel, masalah-masalah asas masih tidak dapat diselesaikan. Semua ‘perang terhadap pengganas’ oleh kerajaan kapitalis hanya menyebabkan lebih banyak pertumpahan darah dan merumitkan lagi keadaan.

Semasa intifada Palestin yang pertama, 1987-1993, kerajaan Israel berusaha mengukuhkan parti Islamis sayap kanan Hamas untuk menentang pertubuhan-pertubuhan sekular Palestin yang telah berjuang menuntut pengakhiran kepada penjajahan. Kini, kerajaan Israel melancarkan perang ke atas Hamas, menyebabkan kesengsaraan yang tidak dapat dibayangkan di Gaza khususnya yang telah menyemai benih untuk pertumbuhan organisasi reaksioner baru, termasuk kumpulan-kumpulan seperti al-Qaeda.

Bahaya Masa Hadapan yang Meruncing

Berlatarbelakangkan Ramadan, ketidakstabilan serantau dan tekanan antarabangsa ke atas Israel, tampak bahawa majoriti ketua-ketua tentera dan kerajaan lebih selesa pada peringkat ini untuk mengelakkan sebarang peperangan terbuka. Namun begitu, mereka telah membuat keputusan untuk meneruskan beberapa serangan tentera terhadap Gaza, yang akan dilihat sebagai membalas serangan Palestin yang meningkat. Pasukan tentera dikerah notis "persediaan untuk berkhidmat", dan sedang dikumpulkan di sepanjang sempadan Gaza dan beberapa tentera rizab telah turut dipanggil.

Di samping itu, kerajaan mungkin mencari jalan untuk memenuhi sebahagian daripada permintaan menteri Naftali Bennett dan majlis Yesha, dengan menggalakkan satu lagi gelombang pembinaan penempatan orang Yahudi di kawasan Palestin. Netanyahu telah berucap untuk mewujudkan penempatan baru di atas nama anak muda Israel yang terbunuh, mengeksploitasi kematian mereka untuk mendokong agenda politik penjajahan Yahudi sayap kanan.

Terdapat bahaya besar di mana keganasan ini boleh meningkat pada minggu-minggu yang akan datang, sama ada daripada serangan tentera, penindasan polis terhadap protes, hasutan atau serangan menerus daripada individu-individu atau kumpulan kecil. Menteri kerajaan seperti Avigdor Lieberman dan Naftali Bennett mengeksploitasi kejutan dan rasa tidak selamat di kalangan penduduk Yahudi untuk meraih sokongan bagi agenda politik mereka. Kedua-dua berhujah untuk melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran terhadap Gaza, dalam erti kata lain yang cadangan untuk meningkatkan pertumpahan darah, kerugian harta dan nyawa tanpa apa-apa penyelesaian. Ternyata bahawa penduduk Gaza akan mengalami kerugian yang terbesar, tetapi segelintir rakyat Israel juga akan diserang, sepertimana yang dilihat pada serangan-serangan roket kebelakangan ini.

Perkembangan Protes

Tindakan terdesak rusuhan dan serangan ke atas orang awam oleh segelintir penunjuk perasaan tidak akan membantu dalam membawa perubahan dasar kerajaan dalam memelihara hak Palestin. Perbuatan sebegitu meregangkan rakyat biasa yang telah menjadi mangsa dan keadaan ini akan digunakan oleh pihak kerajaan sebagai alasan untuk penindasan yang berlanjutan atas dasar ‘toleransi sifar’.

Walau bagaimanapun, skala protes dan bantahan di Israel bukan sekadar mendedahkan kekecewaan dan kesengsaraan rakyat tetapi ia juga berpotensi untuk menjadi perjuangan yang lebih luas terhadap kapitalis dan kerajaan sayap kanan menentang penjajahan Israel. Perjuangan ini memerlukan pembinaan sebuah gerakan protes yang dianjurkan secara demokratik yang dapat menyatukan orang-orang Yahudi dan orang-orang Arab, dengan program dan tindakan yang mencabar kerajaan sayap kanan Israel dengan serius.

Penubuhan jawatankuasa tindakan dalam masyarakat di mana demonstrasi sedang berlaku boleh membantu menrealisasikan langkah-langkah ke hadapan untuk melanjutkan perjuangan. Pada masa yang sama, mencari jalan-jalan untuk mempertahankan diri daripada serangan pihak kerajaan dan mengelakkan daripada protes itu bertukar menjadi rusuhan kaum. Jawatankuasa sebegini boleh membangunkan tuntutan-tuntutan, termasuk persiapan untuk keamanan dan penyelesaian masalah sosial, yang boleh menggerakkan lapisan luas-orang Yahudi dan orang-orang Arab untuk berdemonstrasi bersama dan juga menarik minat organisasi pekerja dan anak muda yang lain.

Ramai di kalangan orang Israel benci terhadap kekejaman politik sayap kanan, dan telah jemu dengan dasar-dasar kerajaan yang hanya membawa keganasan dalam konflik tempatan manakala krisis sosial di Israel semakin menebal. Satu tinjauan Knesset Channel baru-baru ini menunjukkan sokongan yang semakin meningkat kepada parti-parti berhaluan kiri seperti Parti Buruh dan Parti Meretz, yang menunjukkan bahawa walaupun reaksi nasionalis sedang tersebar, sebahagian masyarakat awam Israel berminat parti yang dilihat sebagai kiri.

Kajian tempatan mengesahkan bahawa majoriti rakyat Israel menyokong pembubaran usaha penempatan oleh peneroka Yahudi dan mengakhiri penjajahan.


Gerakan Perjuangan Sosialis (CWI Israel/Palestin) menegaskan tentang keperluan untuk penubuhan sebuah parti baru untuk mewakili kelas pekerja Israel dan Arab, untuk memajukan kepentingan semua pekerja di samping mengemukakan alternatif sosialis yang jelas.

No comments: