Saturday, 5 July 2014

SATU LAGI PENGANIYAAN KAPITALISME TERHADAP ORANG MISKIN



KU NAN AGEN KAPITALIS !

Ku Nan melarang sebarang NGO untuk menjalankan aktiviti memberikan makanan dalam lingkungan 2km dari Lot 10 di Jalan Bukit Bintang. Marilah kita tanyakan, mengapa mesti Bukit Bintang? Siapakah yang sebenarnya menguasai Bukit Bintang? 

Pada tahun 1998, ketika berlakunya krisis kewangan, YTL telah membeli banyak aset dan salah satunya adalah Lot 10, yang dibeli daripada Datuk Sulaiman Abdul Manan, pemilik Taiping Consolidated Bhd. Sebagai 'controlling shareholder', Taiping Consolidated kemudiannya telah ditukar nama kepada YTL Land & Development. Susulan ini, YTL berjaya menguasai harta tanah di sekitar Bukit Bintang dan Sentul.

Kata Ku Nan, "the image of my city is very bad,". Apakah Bukit Bintang ini dimiliki oleh Ku Nan, atau YTL? Di manakah letaknya rakyat? Sebagai kapitalis dan kerajaan pro-kapitalis, kedua-duanya pasti berusaha untuk memaksimumkan keuntungan bagi diri mereka sahaja. Mereka tidak kisah sekiranya ramai orang yang dieksploitasi dan ditinggalkan jauh ke belakang. 

Apatah lagi dalam sistem kapitalisme, satu-satunya cara untuk mengawal manusia adalah melalui wang. Undang-undang aneh dibuat untuk memihak mereka sahaja, sehinggakan hukuman boleh pula diberikan kepada pemberi & penerima sedekah/makanan percuma.


Kos sara hidup yang tinggi, pengangguran, kemudahan rumah dan kesihatan yang mahal, pendidikan yang diniagakan, dan lain-lain lagi telah menimbulkan tekanan demi tekanan dalam masyarakat yang akhirnya menghimpit mereka dengan teruk.

Punca-punca inilah yang menyebabkan timbulnya gelandangan dan warga miskin kota. Ini yang harus ditangani oleh Ku Nan, bukannya mengusir gelandangan dan warga miskin kota. Walau bagaimanapun, penyelesaian ini tidak mungkin akan dapat ditemui dalam kerajaan pro-kapitalis. Justeru, dalam kemarahan kita terhadap Ku Nan, di satu sisi lagi, perjuangan masyarakat dan kelas pekerja juga adalah amat penting sekarang.

Kawan-kawan, kata Thukul, "para penguasa hanya sibuk bersuara tanpa makna, dan menunggu tak akan pernah menghasilkan apa-apa".



Sharifah, CWI Malaysia

No comments: