Saturday, 5 July 2014

IRAQ : LEGASI BERDARAH AKIBAT PERANG MINYAK

Peningkatan konflik sektarian di Iraq mampu merebak ke negara-negara jiran

Ketika Bush dan Blair melancarkan pencerobohan ke atas Iraq pada tahun 2003, CWI (Committee for Workers’ International) memberikan amaran bahawa muslihat jahat tersebut akan melebarkan lagi perpecahan sectarian di kalangan Shia, Sunni, Kurdis di Iraq. Jangkaan tersebut terbukti sahih dengan perang sektarian yang sedang memuncak di Iraq.

Imperialisme Amerika Syarikat dan Britain merupakan penyebab utama kepada kemunculan diktator seperti Saddam dan organisasi-organisasi sektarian seumpama al-Qa’ida seperti ISIS atau ISIL (Negara Islam Iraq dan Levant) yang sudah menawan beberapa  kawasan utara di Iraq.  Keadaan cemas di Iraq boleh mencetusan huru-hara di seluruh rantau Timur Tengah, dengan kesan yang amat besar terutamannya kepada rakyat biasa.

Untuk melancarkan perang pada tahun 2003, dan menjustifikasi pendudukan tentera yang menyusul, di mana lebih dari setengah juta rakyat Iraq terbunuh, ditambah dengan kekejaman ribuan tentera imprealis,  Bush dan Blair kononnya mendakwa bahawa mereka melakukannya kerana Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dan untuk mengutuhkan demokrasi. Terbukti, WMD tidak wujud dan kepentingan mereka bukannya demokrasi. Ini semata-mata adalah untuk menggondol kekayaan minyak yang luas di Iraq dan meluaskan pengaruh mereka di Timur Tengah. Dalam kerakusan mengejar matlamat tersebut, mereka telah menciptakan kondisi bagi suatu konflik etno-sektarian berdarah di Iraq yang boleh berlanjutan untuk satu jangkamasa yang panjang.

Setelah penggulingan diktator Saddam Hussein dan penyingkiran Parti Baath disempurnakan, golongan Sunni Muslim pula dilucutkan daripada jawatan di dalam komponen-komponen kerajaan. Berhadapan dengan penentangan besar-besaran ke atas pendudukan tentera, dan untuk mengatasi para pemberontak Sunni, imperialisme Amerika Syarikat menggunakan dasar sektarian ‘pecah dan perintah’. Mereka juga telah menubuhkan kerajaan korup yang didominasi oleh Syiah, yang mana telah memburukkan lagi perpecahan di kalangan masyarakat Iraq.


Pada bulan Januari, ISIS mula mengawal Fallujah dan kini Mosul, bandar kedua terbesar di Iraq. Kemunculan militia-militia Sunni dilihat sebagai kesan akibat daripada muslihat jahat kerajaan Amerika Syarikat yang melancarkan perang tanpa sebarang keprihatinan kepada rakyat Iraq.

Pada masa kini, imperialisme Amerika Syarikat semakin lemah di Timur Tengah akibat dasar luar mereka yang telah membawa padah, dan penentangan besar-besaran di rantau Timur Tengah dan di negara mereka sendiri akibat muslihat jahat mereka. Obama yang dipilih sebagai presiden Amerika Syarikat telah berikrar untuk menamatkan peperangan di Iraq dan Afghanistan, sehingga dipaksa menarik balik tentera Amerika Syarikat dari Iraq pada tahun 2011. Kemudiannya Obama mendakwa bahawa pembunuhan Osama bin Laden di Pakistan oleh Amerika Syarikat sama sekali telah memusnahkan teras al-Qaida. Manakala tahun lalu Obama sekali lagi telah didesak oleh rakyat Amerika supaya tidak mengebom tentera Bashir Assad dalam perang saudara di Syria.

Akibat daripada pengalaman pahit tersebut, kini Cameron mahupun Obama tidak berniat untuk meletakkan semula sejumlah besar tentera darat di Iraq. Tetapi kemaraan militia Sunni telah mencemaskan para strategis imperialis yang mana telah mendesak Obama untuk meningkatkan bekalan senjata dan peralatan ketenteraan untuk tentera Iraq dengan pesat, dan juga sedang mempertimbangkan untuk melancarkan pengeboman udara di kawasan yang dikuasai oleh ISIS. Walau bagaimanapun, sekiranya serangan udara dilancarkan, akan menyaksikan pertumpahan darah besar-besaran ke atas masyarakat awam, sebagaimana yang telah berlaku di Afghanistan.

Pemberontakan Golongan Sunni

Tentera Iraq yang memiliki kekuatan hampir 1 juta orang dan mendapat latihan daripada Amerika Syarikat dan Britain, serta dilengkapi dengan peralatan tentera moden bernilai 30 bilion dolar, kini mengharungi kehancuran akibat kekuatan ISIS yang mempunyai hanya kurang dari beberapa ribu orang. Dengan mengambilalih Mosul, sebuah bandar dengan penduduk dua juta orang, dan beberapa Bandar lain, termasuk Tikrit, ISIS kini didukung dan dibantu oleh kebangkitan penduduk minoriti Sunni yang sekian lama telah menghadapi penindasan dan penganiayaan teruk di bawah kerajaan Syiah yang diterajui oleh Nouri al Maliki dengan sokongan Amerika Syarikat.

Bekas anggota keselamatan Parti Baath daripada rejim Saddam Hussein yang telah digulingkan adalah antara orang-orang yang menyertai bersama dalam serangan ISIS. Manakala golongan pemisah Peshmerga Kurdish pula telah menggunakan krisis tersebut untuk mara dengan pantas untuk mengambil alih bandar Kirkuk, melihat ia sebagai ibunegara untuk sebuah negara Kurdish.

Kerajaan Iraq menjadi lumpuh, dengan hampir tiada kawalan di seluruh utara Iraq. Tambahan pula, mereka langsung tidak mendapat kuorum di parlimen untuk mengisytiharkan langkah-langkah kecemasan. Lebih daripada setengah juta pelarian telah keluar daripada Mosul dan kawasan-kawasan lain yang telah ditawan ISIS, takutkan kepada serangan dan pengeboman oleh kerajaan dan golongan ISIS.

Satu daripada ironi terbesar daripada keadaan kini adalah kepentingan kedua-dua pemerintah Amerika Syarikat dan musuh ketatnya, iaitu rejim teokratik Iran, sudah terancam akibat serangan ISIS. Demi menyelematkan maruah, mereka bersepakat untuk meningkatkan sokongan kepada kerajaan Maliki yang semakin lemah. Kumpulan elit Iran yang memikirkan nasib Syiah di Baghdad dengan segera menghantar General Suleimani ke Baghdad bagi membantu menarik sukarelawan militia Syiah dan angkatan tentera kerajaan untuk mempertahankan bandar itu dan kota-kota yang berdekatan dengannya.

Ini adalah satu lagi penghinaan untuk pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat – ia terpaksa berkerjasama dengan rejim yang dibenci di mana ia dengan keras telah menghukumnya dengan melakukan sekatan ekonomi. Namun, untuk mewajarkan kerjasama dengan kerajaan Iran, Senator Amerika Syarikat Lindsey Graham telah mengulas: “Mengapa kita berurusan dengan Stalin? Kerana dia tidak seburuk Hitler. Kita perlu ada perbincangan dengan Iran untuk memastikan mereka tidak menggunakan keadaan ini sebagai suatu peluang untuk menguasai dan  mengawal bahagian-bahagian tertentu di Iraq.”

Satu lagi musuh ketat pemerintah Amerika Syarikat, iaitu kerajaan Bashir Assad di Syria, juga telah menghantar bantuan kepada Maliki dengan melancarkan serangan menentang pangkalan ISIS di Syria. Assad sebelum ini telah menutup mata kepada banyak pencerobohan ISIS di Syria, terutamanya kerana ianya ditujukan terhadap rampasan tanah daripada militia-militia Islam lain yang berada di barisan hadapan dalam memerangi rejim Assad.

Baghdad

ISIS dan militia Sunni yang lain telah mengisytiharkan bahawa menyerang Baghdad dan beberapa bandar suci yang dimiliki Syiah adalah antara matlamat mereka, tetapi tujuan mereka nampaknya tidak mungkin tercapai dengan cepat memandangkan keseimbangan kekuatan yang sedang meningkat daripada golongan Syiah. Militia Syiah kini aktif kembali, dengan kemasukan ahli-ahli baru yang menyertai mereka, termasuklah tentera Mehdi daripada Moqtada al-Sadr yang terlibat dalam memerangi pendudukan Iraq yang telah dipimpin oleh Amerika Syarikat. Kerajaan Iran juga dilaporkan akan menyokong mereka.

Di Mosul dan kawasan-kawasan lain majoriti Sunni yang telah ditawan oleh ISIS, tentera Iraq yang didominasi oleh golongan Syiah dilihat secara meluas sebagai alat penindas yang telah dikerahkan oleh pemerintah untuk mencapai agenda sektarian menentang golongan bukan Syiah. Beberapa laporan mendedahkan bahawa beberapa pemimpin tentera Iraq di kawasan-kawasan tersebut telah mengetuai untuk membubarkan tentera mereka dalam pakatan sulit dengan ISIS. Tetapi disebabkan ketidakpopularan tentera Iraq di kawasan-kawasan yang didominasi oleh Sunni telah menyumbang kepada moral yang rendah di kalangan mereka, dan ini menyurus kepada pembelotan ISIS terhadap tentera-tentera tersebut atas nama serangan Jihad. ISIS telah membina reputasi untuk kekejaman yang mengerikan terhadap Syiah - ia adalah suatu cabang al-Qa’ida walaupun al-Qa’ida tidak mengakuinya – di mana ia telah meningkatkan ketakutan kepada tentera-tentera Iraq yang melarikan diri.

Laporan-laporan tertentu mendedahkan bahawa ISIS melaksanakan hukuman bunuh kepada ratusan golongan Syiah dan tentera-tentera Iraq yang tak bersenjata di kawasan-kawasan yang telah ditakluki, dan ISIS juga sebelum ini dengan kejam telah membunuh ramai orang awam di Syria. Pertumpahan darah terbaru ini muncul tatkala sebelum ini banyak sekali kekejaman lain yang dilakukan di Iraq oleh militia Sunni terhadap Syiah dan sebaliknya pula oleh militia Syiah terhadap Sunni dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Walaupun pencerobohan Baghdad mungkin tidak akan dicuba oleh ISIS dalam jangka masa yang pendek, tetapi tentera kerajaan Iraq tidak mungkin mampu mendapatkan semula kawalan ke atas semua kawasan kini dikuasai oleh militia Sunni atau Peshmerga Kurdish. Terdapat beberapa bandar yang bertukar tangan - tentera Maliki berjaya menawan semula dua kawasan di utara Baghdad – tetapi kerajaan itu telah gagal mengambil kembali Fallujah melalui serangan sejak ISIS merampasnya pada Januari tahun ini.

Bagi Kirkuk pula, para pemimpin zon separuh autonomi Kurdish itu telah memerangkap kerajaan Maliki dalam pertembungan yang agak lama dengan menteri-menteri Maliki dalam menentukan siapa yang akan mendapat keuntungan daripada pengeluaran minyak di zon mereka, suatu muslihat suapaya kawasan tersebut terus bebas dari kawalan kerajaan Irag sebagai langkah-langkah seterusnya ke arah kemerdekaan sepenuhnya.
  
ISIS

ISIS, dengan ramai pejuang jihad dari negara-negara luar yang menyertainya, dan kealihannya yang semakin meningkat daripada kalangan penduduk tempatan, telah memperkuatkuasakan pemerintahan Islam sayap kanan yang menindas di kawasan Raqqah di Syria. Kini ia berhasrat untuk mengembangkan sayapnya untuk membentuk kekhalifahan Islam yang akan dihubungkaitkan dengan kawasan yang telah ditakluki di Iraq, dan mungkin akhirnya dengan beberapa bahagian di Lubnan dan Jordan. Pemimpinnya mengisytiharkan gabungan sempadan antara Iraq dan Syria – negara-negara yang telah digabungkan melalui perjanjian 1916 antara imperialisme British dan Perancis yang telah membahagikan harta rampasan daripada empayar Uthmaniyyah antara kedua-dua kuasa itu.

Wartawan Robert Fisk, antara lain, telah melaporkan bahawa ISIS menerima sokongan kewangan daripada golongan kaya dari Teluk Arab, termasuklah golongan elit dari negara Saudi, yang merupakan sekutu kepada Amerika Syarikat tetapi berhasrat untuk menghentikan kawalan Syiah di Baghdad. Di Syria, ISIS telah meningkatkan kuasa kewangannya dengan mengenakan cukai, penculikan dan pemerasan yang lain, dan ia sekarang telah merampas sejumlah besar wang dari bank-bank yang telah ditawan di Mosul, dan mengawal sebahagian besar senjata-senjata tentera Iraq yang telah ditinggalkan .

Beberapa pemimpin ISIS telah cuba untuk tidak membangkitkan kemarahan rakyat di kawasan-kawasan yang dirampas oleh mereka, manakala yang lain pula dengan serta-merta mengeluarkan perintah-perintah Syariah seperti pencuri akan dipotong tangan, wanita menutup aurat dan tidak boleh meninggalkan rumah mereka, mengharamkan parti-parti politik, dan undang-undang reaksioner yang lain. Pengumuman ini menyebabkan ketakutan kepada sebahagian besar penduduk, termasuklah ramai golongan Sunni yang pada mulanya berharap bahawa ISIS sekurang-kurangnya akan membebaskan mereka daripada diskriminasi, penahanan dan penyeksaan yang telah berlaku kepada golongan Sunni di bawah kerajaan Maliki.

Akibat Perang Saudara

Secara keseluruhan, peristiwa-peristiwa yang berlaku ini telah menyebabkan penderitaan kepada semua rakyat biasa di Iraq tanpa mengira komuniti mereka. Prospek peningkatan kepada perpecahan sektarian juga mengancam untuk merebak ke negara-negara di sekitarnya, termasuklah Turki yang telah menghadapi penculikan dan penahanan beberapa rakyat Turki di tangan ISIS, dan lebih-lebih lagi mereka tidak mahu melihat pembentukan negara Kurdistan yang bebas di sempadannya.

Tambahan pula, sekali lagi, muncul kegelisahan terhadap bekalan minyak dan ekonomi dunia, kerana kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan gangguan besar kepada pengeluaran minyak di kawasan medan besar minyak di selatan Iraq.

Satu lagi bahaya yang ketara di seluruh dunia adalah kepulangan semula beratus-ratus golongan Jihad yang telah berjuang di Syria dan Iraq ke negara masing-masing. Mereka datang daripada negara-negara jauh dan luas termasuk Arab Saudi, Rusia dan Britain. Masih tidak melihat alternatif kepada sistem kapitalis yang semakin menindas,  mereka akan mencuba untuk kembali kepada penganiayaan feudal, penghambaan wanita, kemiskinan yang teruk dan keadilan singkat. Ini akan meningkatan bahaya serangan pengganas yang akan cuba dilaksanakan oleh mereka di negara masing-masing.

Kelas pekerja Sunni, Syiah, Kurdis dan golongan lain serta kumpulan etnik dan agama di Iraq tidak mendapat apa-apa manfaat daripada konflik sektarian ini. Golongan Sunni Iraq sebelum ini telah menolak para pelopor ISIS dan mengusir mereka keluar dari komuniti itu dan ramai yang kini terkejut dengan segala tindakan ISIS. Terdapat kemarahan yang meluas di kalangan Syiah terhadap rasuah dan sektarianisme di bawah kerajaan Maliki. Sunni, Syiah dan Kurdis sama-sama mengalami ketidakamanan yang berterusan, kekurangan perkhidmatan asas dan taraf kehidupan yang teruk.

Terdapat banyak kali dalam sejarah di mana rakyat di Iraq telah menunjukkan keinginan mereka untuk bersatu menentang perpecahan, sepertimana pada bulan April 2004 apabila 200,000 golongan Syiah dan Sunni berdemonstrasi di Baghdad untuk menentang pendudukan Amerika Syarikat. Pembinaan akar umbi untuk organisasi-organisasi demokratik yang dipimpin oleh kelas pekerja yang tidak sektarian adalah sangat penting, untuk mengatur pertahanan semua komuniti dan untuk membawa ke hadapan program anti-kapitalis, sebagai satu-satunya cara keluar daripada pertumpahan darah, penindasan dan kemiskinan yang sedang berlaku.

Program tersebut perlu untuk mencabar dan mendedahkan kepentingan diri sendiri dan ketamakan semua pemimpin politik dan tentera pro-kapitalis yang berjuang untuk hegemoni di seluruh Iraq pada hari ini. Ia seharusnya memperjelaskan keperluan untuk membebaskan mereka daripada tampuk kekuasaan, dan menggantikannya dengan wakil-wakil kelas pekerja yang dipilih secara demokratik, yang akan menyeru kepada suatu penyelesaian sosialis, untuk kepentingan semua warga pekerja dan golongan miskin.

CWI menyokong hak penentuan negara sendiri bagi semua bangsa dan kumpulan yang ditindas, tetapi menegaskan bahawa negara-negara tersebut tidak mampu mengembangkan ekonominya  kecuali jika dihubungkaitkan dalam satu konfederasi sosialis secara sukarela, dalam hal ini rakyat Iraq dan rantau tersebut. Hanya melalui kesepakatan begitu kerjasama dapat dicapai yang mampu meningkatkan taraf kehidupan semua rakyat, memanfaatkan sebaik-baiknya semua sumber semula jadi untuk kepentingan sejagat.

Judy Beishon, CWI England & Wales


No comments: