Thursday 3 October 2013

MENGUPAS PENGALAMAN HINDRAF

PERLU PENDEKATAN KELAS BUKANNYA PERKAUMAN UNTUK PENYELESAIAN ISU-ISU RAKYAT


Hindraf menggegarkan politik negara apabila berjaya memobilisasi ribuan rakyat keturunan India pada 25 November 2007 di Kuala Lumpur.  Kebanyakan yang turun pada hari itu adalah kelas pekerja dan anak-anak muda. Walaupun agenda Hindraf memfokuskan kepada isu hak agama dan kaum, tetapi ramai yang turun ke jalan raya bukan hanya kerana isu-isu tersebut tetapi juga untuk meluahkan perasaan terhadap ketidakadilan ekonomi dan sosial yang dipraktikkan oleh Kerajaan BN selama ini. Hak saksama untuk pekerjaan, hak untuk perumahan, hak untuk pendidikan, pengagihan kekayaan yang saksama adalah di antara isu-isu yang sudah lama menjadi pertikaian golongan tersebut akibat agenda pilih kasih dan perkauman yang dipraktikkan oleh kerajaan. Kekerasan polis dan ISA telah dipergunakan oleh kerajaan untuk menangkap para demonstran dan juga pemimpin Hindraf, dan ini telah menaikkan kemarahan masyarakat Indian yang sebahagian besar telah mengundi kepada pembangkang dalam PRU12 pada tahun 2008.

Pada ketika itu, Hindraf telah dipergunakan oleh kelas pekerja dan anak muda dari masyarakat India sebagai medium politik untuk menuntut hak, dan ia memberikan harapan untuk melakukan perubahan dalam kehidupan mereka. Ini adalah kerana, selama ini parti-parti politik kaum India seperti MIC, PPP, IPF telah mempergunakan kelas pekerja India dan isu sosial dan ekonomi mereka sebagai kuda tunggangan untuk memperkayakan kroni dan kapitalis keturunan India.

Tetapi, kepimpinan Hindraf tidak ada perspektif jelas untuk mendapatkan penyelesaian kepada isu-isu yang dibawa. Walaupun mereka mengatakan fokus mereka kepada isu kelas pekerja, tetapi agenda dan pendekatan mereka lebih menjurus kepada perkauman daripada kelas. Ini menyebabkan masyarakat kelas pekerja dan anak muda Melayu dan Cina melihat Hindraf sebagai agenda kaum India walaupun mereka juga menghadapi isu-isu sosial dan ekonomi yang lebih kurang sama. Misalnya, semenjak merdeka jurang kaya miskin di kalangan masyarakat Melayu semakin meningkat. Ini bermakna kroni dan kapitalis Melayu yang berpaksikan UMNO mendapat habuan mewah melalui agenda-agenda kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru, penswastaan dan lain-lain.

Jadi, kemungkinan untuk kelas pekerja dan anak muda berbilang kaum bersatu atas satu bumbung untuk memperjuangkan hak-hak sosial dan ekonomi memang ada. Tetapi ini bukan perspektif dan pendekatan kepimpinan Hindraf, dan akibatnya pertaruhan kuasa dalaman parti menyebabkan kepincangan kepimpinan Hindraf. Akhirnya mereka menyokong sama ada parti pemerintah atau pembangkang yang juga jelas tidak dapat menggariskan langkah-langkah untuk menyelesaikan isu-isu yang dibawa oleh Hindraf. Manakala, pengasas Hindraf, Uthayakumar yang dilihat sebagai lebih berprinsip dan mengambil posisi tidak menyokong mana-mana parti politik juga tidak dapat menggariskan alternatif kepada agenda parti pemerintah dan parti pembangkang selain mengkritik agenda politik mereka.

Pengalaman Hindraf menunjukkan kelas pekerja dan anak muda memerlukan satu medium politik yang harus bertindak berlandaskan kelas bukanya kaum atau agama untuk membina solidariti kelas serta memperjuangkan hak ekonomi dan sosial mereka. Parti pemerintah dan parti pembangkang yang berlandaskan kepada agenda pasaran bebas kapitalisme tidak dapat menggariskan penyelesaian kepada keperluan dan hak kelas pekerja. Justeru itu  pembinaan parti atau organisasi politik yang berlandaskan kepada kelas pekerja dan agenda sosialis sebagai alternatif kepada agenda kapitalisme perlu direalisasikan untuk ke arah membawa perubahan ekonomi dan sosial. Parti tersebut perlu memperjuangkan untuk menukar kerajaan kapitalis yang berorientasikan kepada keuntungan dan kuasa minoriti kapitalis kepada kerajaan rakyat biasa yang berorientasikan kepada keperluan majoriti kelas pekerja, anak muda dan golongan tertindas yang lain. Kerajaan sebegini perlu memfokuskan kepada ekonomi terancang  dan penglibatan majoriti kelas pekerja dan rakyat biasa dalam membuat keputusan tentang keperluan mereka di semua peringkat. Dengan pendekatan sebegini sahajalah hak dan keperluan sosial dan ekonomi kelas pekerja dan anak muda dapat direalisasikan. 

Ravi

No comments: