Tuesday 8 October 2013

GST AKAN MENEKAN KELAS PEKERJA




Walaupun, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) masih dalam perancangan kerajaan, beberapa perkhidmatan atau barangan sudah pun mempunyai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Dengan GST kerajaan bercadang untuk meningkatkan pendapatan negara melalui cukai.  

Warga pekerja atau golongan berpendapatan rendah jarang mengunjungi KFC, Pizza Hut,  Mac Donald kerana tidak mampu untuk menanggung kos makanan dan minuman yang dijual di sana yang tidak setara dengan pendapatan yang mereka peroleh. Perkhidmatan di restoran-restoran tersebut dikenakan SST oleh kerajaan di mana pelanggan terpaksa membayar kos cukai tersebut.


Jika GST dilaksanakan, restoran-restoran mamak yang selalu dikunjungi oleh warga pekerja dan anak muda mungkin mengenakan cukai tersebut, maka ini sekali gus akan meningkatkan lagi kos hidup warga pekerja dan rakyat biasa. 

Mengikut pelaksanaan GST di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Australia kebanyakan perkhidmatan dan barangan akan mempunyai cukai. Di negara-negara tersebut pada permulaan perlaksanaan, peratus cukai yang dikenakan adalah rendah, dan kadar cukai dinaikkan sedikit demi sedikit selepas itu. Ini telah memberikan kesan kepada kos hidup warga pekerja di negara-negara tersebut. 

Situasi yang sama mungkin dihadapi oleh kelas pekerja di negara ini jika GST dilaksanakan. Seharusnya, kerajaan harus meningkatkan cukai ke atas syarikat-syarikat besar yang mengaut keuntungan besar dan golongan kaya yang mempunyai modal berbilion-billion ringgit, bukannya menekan rakyat biasa dengan cukai seperti GST. Tetapi, kerajaan telah mengurangkan cukai syarikat dalam bajet-bajet sebelum ini untuk membolehkan syarikat-syarikat besar dan pelabur melipatgandakan keuntungan. Polisi kerajaan seperti GST yang menyebabkan ‘kaya semakin kaya, miskin semakin miskin’ hanya dapat dihentikan dengan perjuangan dan solidariti pekerja.            

No comments: