Tuesday 3 September 2013

HARGA MINYAK RON95 NAIK…

KAPITALISME DIDAHULUKAN, KEUNTUNGAN DIUTAMAKAN,  RAKYAT DIPINGGIRKAN


Pada 2hb. September, dua hari selepas ulang tahun kemerdekaan ke 56 dengan tema Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku”,  kerajaan BN dengan tiba-tiba mengumumkan kenaikan 20 sen untuk RON95 dan diesel yang menjadi keperluan asas kepada sebilangan besar rakyat negara ini.

Nampaknya kerajaan BN yang ingin menaikkan semangat ‘nasionalisme’ rakyat pada hari merdeka, nampaknya tidak merdeka dalam mempertahankan kedaulatan ekonomi negara daripada genggaman pasaran bebas kapitalisme antarabangsa dan nasional yang terus mendesak kerajaan menyelamatkan ekonomi pasaran bebas negara ini yang sedang terumbang-ambing. Agenda kerajaan adalah selaras dengan kehendak kapitalisme iaitu untuk memastikan kapitalisme terus subur untuk mengaut keuntungan maksimum, tetapi yang menjadi mangsa adalah rakyat biasa.   

Selepas ini dijangka, tarif elektrik juga akan dinaikkan dan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) juga akan diumumkan. Ini sekali gus akan meningkatkan inflasi, manakala kenaikan gaji kebanyakan rakyat biasa tidak setimpal dengan peningkatan inflasi. Ini akan menurunkan taraf hidup dan meningkatkan hutang isi rumah yang mana akan menjunamkan mereka dalam kesempitan hidup.  BR1M dan langkah-langkah yang setara dengannya hanyalah gula-gula untuk seketika, dan tidak akan menyelesaikan isu-isu  asas rakyat biasa. Untuk membawa perubahan dalam kehidupan mereka, rakyat biasa tiada pilihan, selain berjuang untuk menukar sistem kapitalisme.         

Ini menunjuknya walaupun negara sudah 56 tahun merdeka daripada British, ekonomi negara terus dijajah oleh agenda kapitalisme nasional dan global. Kerajaan tunduk kepada kehendak keuntungan syarikat-syarikat multinasional seperti Shell, Caltex, BP dan lain-lain, walaupun kerajaan tahu kebanyakan rakyat negara ini berpendapatan rendah. Manakala, Petronas yang merupakan GLC (Syarikat kawalan kerajaan) tetapi disebabkan ia beroperasi untuk keperluan pasaran bebas, kerajaan tidak dapat mengawalnya.

Kemerdekaan 100% hanya dapat diperoleh jika ekonomi negara dirancang untuk keperluan majoriti rakyat bukannya untuk keuntungan segelintir kapitalis. Kerajaan yang berorientasikan kepada keperluan rakyat  akan memiliknegarakan syarikat-syarikat besar seperti Petronas, Shell dan lain-lain, termasuk meletakkan syarikat-syarikat besar di bawah pengurusan dan kawalan secara demokratik oleh kelas pekerja dan rakyat biasa. Langkah ini adalah untuk mendemokrasikan ekonomi supaya majoriti rakyat terlibat dalam perancangan ekonomi negara untuk memastikan keperluan mereka diutamakan. 

No comments: