Sunday 20 October 2013

Mogok Besar-besaran 1947 : Kuasa Pekerja Kuasa keramat.


66 tahun lalu, pada 20 Oktober 1947, warga pekerja di seluruh Malaya ( nama Malaysia pada masa itu) melancarkan mogok besar-besaran yang dikenali sebagai ‘Hartal’ untuk membantah perlembagaan persekutuan yang digubal oleh penjajah British untuk meneruskan taktik pecah dan perintah rakyat Malaya yang berbilang kaum dan agama. Bantahan tersebut telah dipimpin oleh Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA) dengan sokongan sebahagian besar kesatuan-kesatuan sekerja. Mereka mengesyorkan perlembagaan rakyat yang menitikberatkan hak kesaksamaan dan keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau budaya menjadi dasar kepada Malaya yang merdeka.


Pada era tersebut, lebih 60 peratus warga pekerja telah bergabung di bawah berbagai-bagai kesatuan sekerja untuk memperjuangkan hak dan kebajikan mereka. Keahlian pekerja yang tinggi dalam kesatuan pada masa itu menampakkan kekuatan kesatuan untuk membawa agenda pekerja kepada majikan dan kerajaan. Berbanding dengan sekarang yang mana hanya kurang 7 peratus sahaja warga pekerja yang bergabung dengan kesatuan sekerja, dan keadaaan kesatuan amat lemah.

Mogok besar-besaran untuk sehari tersebut, yang disertai oleh pekerja lombong, ladang, pelabuhan, pengangkutan dan lain-lain hampir melumpuhkan ekonomi negara. Mogok tersebut mencerminkan betapa pentingnya kelas pekerja sebagai tulang belakang ekonomi negara. Berdasarkan peranan penting pekerja, memang wajar tuntutan mereka yang menekankan supaya agenda rakyat diutamakan bukannya agenda penjajah. Tanpa kelas pekerja, negara kita yang megah dengan bangunan-bangunan tinggi tidak mungkin dapat mencapai kemajuan dan kejayaan yang ada pada masa kini. Tetapi, seperti pada zaman tersebut, warga pekerja terus dianaktirikan dan kemewahan negara terus digondol oleh segolongan kecil kapitalis antarabangsa dan tempatan yang hanya mementingkan keuntungan maksimum.

Walaupun, mogok tersebut telah menggegarkan penjajah British, ia tidak berjaya menggagalkan agenda British untuk membawa perlembagaan persekutuan apabila British terus menggunakan berbagai-bagai taktik dan kekerasan untuk melemahkan kesatuan sekerja dan organisasi lain yang terlibat dalam perlembagaan rakyat. Tetapi,  mogok besar-besaran pada 20 Oktober 1947 adalah sejarah penting untuk kelas pekerja di negara ini yang telah menunjukkan bahawa solidariti di antara pekerja-pekerja berbagai-bagai sektor boleh dibina untuk membawa tuntutan pekerja.


No comments: