Thursday 31 October 2013

Bajet 2014: Rakyat dibebankan dengan cukai dan polisi yang memihak kepada pemodal




Perdana Menteri, Najib Razak telah membentangkan bajet tahun 2014 pada 25 Oktober, yang merupakan bajet pertama selepas Pilihan Raya Umum ke -13.  Fokus utama bajet tersebut adalah pengumuman Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dirancang untuk dilaksanakan pada 1 April 2015 dengan kadar 6%. Walaupun kerajaan mengatakan bahawa GST tidak akan dilaksanakan kepada beberapa barangan dan perkhidmatan, tetapi pelaksanaan secara umum untuk kebanyakan barangan dan perkhidmatan sekaligus pasti akan meningkatkan kos hidup rakyat. 

Selain itu, dalam bajet ini subsidi untuk gula telah dihapuskan, dan harga gula dinaikkan sebanyak 34 sen dengan alasan mengurangkan penggunaan gula bagi membendung penyakit kencing manis yang semakin meningkat. Tindakan kerajaan tersebut turut akan menaikkan harga barangan yang menggunakan gula, dan seterusnya membebankan rakyat. Dan ini juga akan terus memberikan habuan besar kepada keuntungan syarikat-syarikat pengeluar gula negara yang semakin hari makin kaya. Sedangkan syarikat-syarikat kapitalis (pemodal) yang mengeluarkan produk minuman dan makanan yang menggunakan tahap gula yang memudaratkan kesihatan seperti Coca-Cola, Pepsi dan lain-lain yang juga merupakan faktor utama yang menyumbang kepada penyakit kencing manis langsung tidak diambil tindakan oleh kerajaan. Mereka akan terus dibenarkan untuk mengaut keuntungan besar.

Pada masa kini hutang isi rumah berlandaskan kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) adalah 83% berbanding hanya 39% ketika Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997. Ini bermakna kebanyakan rakyat terutama kelas pekerja dan kelas menengah dibebankan dengan berbagai-bagai hutang seperti pinjaman rumah, pinjaman kereta, kad kredit, pinjaman peribadi dan sebagainya. Ini tidak termasuk lagi hutang dengan ‘along’ dan sebagainya. Ini menunjukkan kos hidup rakyat semakin meningkat, tetapi pendapatan isi rumah tidak meningkat setara dengan peningkatan kos hidup. Dengan itu, pendapatan boleh guna untuk isi rumah bagi perbelanjaan harian semakin menurun, dan menyebabkan mereka tiada cara lain selain berhutang. Pelaksanaan GST akan terus membebankan rakyat yang telah dibebankan dengan hutang dan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang tidak terkawal .

Seperti bajet-bajet sebelum ini, bajet ini juga tidak menekankan kepada kenaikan taraf hidup rakyat melalui peningkatan gaji setaraf dengan inflasi negara. Untuk kebanyakan pekerja terutama di sektor swasta, hampir tiada peningkatan gaji ataupun peningkatan yang amat kecil yang tidak selaras atau adil dengan keuntungan yang diperoleh oleh majikan. Apabila kerajaan lebih mementingkan keperluan kapitalis dari keperluan rakyat, ia tidak akan berupaya untuk mendesak majikan yang hanya berniat untuk  memaksimumkan keuntungan dari meningkatkan taraf hidup pekerja. Manakala Gaji Minimum yang diumumkan pada bajet lalu, ternyata penuh dengan tipu helah daripada pihak majikan, dan kerajaan pula memberikan kelonggaran kepada majikan dan tidak membuat pelaksanaan yang serius. Bantuan-bantuan seperti BR1M dan lain-lain yang diberikan sekali, juga tidak dapat menyumbang dalam peningkatan taraf hidup rakyat.

Kerajaan menegaskan bahawa GST diperlukan untuk menambahkan pendapatan kerajaan memandangkan hutang negara berbanding dengan KDNK sudahpun melebih 50%. Tetapi kerajaan tidak memikirkan tentang peningkatan hutang isi rumah yang semakin menekan rakyat. Warga pekerja dan Kesatuan Sekerja perlu menentang pelaksanaan GST dan polisi-polisi lain yang akan terus membebankan rakyat biasa termasuk kelas pekerja.

Ravi

No comments: