Wednesday 11 December 2013

Nasib Pekerja Nepal di Malaysia



Baru-baru ini sebuah akhbar di Nepal, Republica, telah melaporkan sejumlah lebih 600,000 pekerja negara itu ditindas dan dibayar upah yang sangat rendah di Malaysia. Laporan akhbar tersebut yang disiarkan oleh portal berita Malaysia Insider mendedahkan jumlah kematian pekerja Nepal di Malaysia ialah seramai 253 orang, menjadikan Malaysia sebagai destinasi paling berbahaya bagi pekerja negara tersebut untuk bekerja. Dinyatakan juga bahawa jumlah kes bunuh diri pekerja Nepal di Malaysia adalah tinggi. Kejadian terbaru yang mendapat liputan meluas pada September lalu, iaitu seorang pekerja Nepal terbunuh setelah terjun daripada atap bangunan di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Hutang yang meningkat dan kekerasan yang dilakukan oleh penguatkuasa terhadapnya sebagai pekerja tidak sah menjadi punca  tindakan bunuh diri tersebut.


Walaupun pekerja asing bekerja secara tidak sah di negara ini yang menyalahi undang-undang negara, tetapi kesalahan tidak mesti diletakkan sepenuhnya kepada mereka. Kebanyakan pekerja asing di negara ini adalah mangsa keadaan. Banyak pihak yang telah mengambil keuntungan dan ikut bertanggung jawab, baik di negara asal mahupun di negara tempat mereka bekerja. Menurut sebuah kajian, setiap seorang pekerja asing pernah ditipu paling kurang 16 kali semenjak mula perjalanan mereka dari kampung sehingga mereka sampai ke negara pilihan tempat mereka bekerja. Semenjak dari negara asal, mereka sudah terjebak dengan sindiket yang memberi janji-janji manis tentang pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik di Malaysia. Namun ketika mereka sampai di negara ini, apa yang berlaku tidak selaras dengan harapan yang diberikan. Pekerja asing selalu didiskriminasikan di kilang, selalu mendapat ancaman daripada majikan dan penguatkuasa, dipaksa bekerja lebih masa, diupah lebih rendah daripada pekerja tempatan. Hal ini ditambah dengan permasalahan-permasalahan lain seperti faktor perbezaan budaya, bahasa, jauh dari keluarga yang tentu saja bukan perkara mudah untuk diatasi. Pendek kata, mereka selalu berada dalam keadaan tertekan.


Sebagai pekerja, kita tidak mesti membezakan kerana status kewargaan mereka. Majikan dan pihak-pihak lain yang berkepentingan memang sengaja memberikan layanan yang berbeza supaya pekerja tempatan dan pekerja asing tidak bersatu. Padahal pekerja asing baik yang sah mahupun tidak sah telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Apa yang perlu dilakukan adalah perlunya melihat persoalan pekerja asing tidak sah sebagai persoalan pekerja secara umum, bukan hanya urusan undang-undang semata-mata. 

Kamal

No comments: