Monday, 1 December 2014

BILA PENDIDIKAN MENJADI PERNIAGAAN…


Walaupun bukan yang pertama kali berlaku di negara ini, tetapi kebocoran soalan UPSR tahun ini telah menjadi isu nasional yang cukup menggemparkan. Beberapa orang guru yang disyaki membocorkan soalan tersebut sudah dikesan dan ditangkap. Tetapi spekulasi terus muncul tentang siapa yang mesti bertanggungjawab terhadap perkara ini. Orang politik mengatakan ini merupakan sabotaj terhadap Muhyidin Yassin sebagai Menteri Pendidikan ekoran konflik dalaman yang berlaku dalam UMNO. 

Segelintir guru meluahkan perasaan mereka di media sosial, mengatakan kebocoran soalan ini akibat tekanan yang selama ini ditanggung oleh mereka kerana tidak sanggup menanggung beban kerja yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan. Salah seorang guru mengatakan: “Mungkin ini jalan untuk sedarkan menteri agar menghentikan segala sistem mengarut yang membebankan guru. Guru diberi tekanan prestasi pelajar dan sekolah untuk mengejar prestasi dan gred yang ditetapkan oleh pihak kementerian.” Spekulasi itu tidak ada kesudahannya kerana memang tidak ada penjelasan yang munasabah yang rakyat boleh terima dari pihak yang menyiasat mahupun dari kementerian yang bertanggungjawab. 


Umum mengetahui bahawa banyak kelemahan yang terdapat dalam sistem pendidikan di negara ini. Tidak ada satu perancangan pendidikan jangka panjang yang konsisten menjadikan murid-murid sekolah selalu menjadi mangsa eksperimen pendidikan. Dasar kerajaan selalu berubah-ubah. Setiap pergantian kepimpinan di kementerian,ada saja dasar baru yang akan diperkenalkan. Selain murid, guru juga adalah yang paling teruk menanggung kesusahan akibat perubahan-perubahan dasar pendidikan ini. Dalam hal ini, guru dan murid adalah mangsa sistem pendidikan kita. Bagaimana cara paling mudah untuk melihat bagaimana anak-anak kita menjadi mangsa sistem pendidikan di negara ini? Lihatlah beg kanak-kanak sekolah rendah yang saiz dan beratnya melampaui kemampuan mereka untuk memikulnya. Padahal secara saintifiknya, dalam usia yang sedang membesar kanak- kanak tidak mesti mengangkat beban seberat itu kerana akan menghambat tumbesarannya. 

Realiti yang tidak terlihat mungkin lebih buruk lagi. Mereka sebenarnya tidak hanya dibebankan secara fizikal, tetapi juga mental. Jika mental murid sekolah rendah sudah bermasalah, maka harapan untuk memberikan pendidikan yang terbaik buat generasi yang akan datang hanya tinggal angan-angan sahaja. 

Kita mesti melihat kebocoran soalan UPSR tidak terhad kepada isu pendidikan sahaja. Ia berkaitan dengan hal lain yang lebih luas. Di zaman kapitalisme sekarang ini, sekolah dan universiti dilihat tidak lagi semata-mata sebagai tempat menimba ilmu, tetapi juga bidang perniagaan yang sangat menguntungkan. Kapitalisme juga mementingkan persaingan dalam segala kehidupan manusia. Anak-anak kita terpaksa bersaing untuk mendapatkan gred yang tinggi supaya mendapat peluang yang lebih besar untuk menyambung ke sekolah yang lebih baik. 

Dalam sistem pendidikan yang mengikut lunas kapitalisme ini, satu- satunya cara untuk menentukan pemenang dalam persaingan itu adalah gred. Berapa banyak A yang dicapai oleh murid akan menentukan kepintarannya. 

Mereka yang ditangkap kerana membocorkan soalan peperiksaan memang bersalah menurut undang-undang. Tetapi jika kita lihat dari sisi yang lain, sebenarnya mereka hanya mahu menang dalam persaingan yang dipaksakan ke atas mereka. 

Iyan

No comments: