Tuesday 9 December 2014

HANYA 0.001 PERATUS IAITU GOLONGAN JUTAWAN DAN BILIAWAN (BILLIONAIRE) NEGARA MEMILIKI 50 PERATUS KEKAYAAN NEGARA !

KAYA SEMAKIN MEWAH, MISKIN SEMAKIN MERANA !

Malaysia dijangka akan mempunyai lebih ramai biliawan (20 orang) berbanding dengan United Arab Emirates (19 orang) menjelang tahun 2018 mengikut WealthInsight Intelligence Center (WIC) di London.  Mengikut laporan WIC, pada tahun 2013, Kuala Lumpur mempunyai jutawan dan biliawan yang paling ramai iaitu, 13800  jika dibandingkan dengan Abu Dhabi (12500), Cape Town (8753) atau Birmingham (8736). Pada tahun 2013, secara keseluruhannya ada seramai 26000 jutawan dan biliawan di Malaysia dengan kekayaan USD 151 bilion (RM527 billion).

Ini bermakna hanya 0.001 peratus iaitu golongan kaya menikmati 50 peratus kekayaan negara jika kita mengambilkira jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun 2013 iaitu USD 312. 4 billion (RM 1089 billion). Kekayaan 0.001 peratus jutawan dan biliawan tersebut berkembang pada kadar yang melampau iaitu hampir 60 peratus di antara tahun 2009 hingga 2013 walaupun ekonomi dunia terumbang-ambing, dan sedang menghimpit sebilangan besat rakyat biasa. Dan dijangka kekayaan mereka akan meningkat lagi kepada 28 peratus untuk mencapai USD 206 billion (RM 719 billion) menjelang tahun 2018. 

Manakala, biliawan Malaysia dengan jumlah kekayaan USD 46 bilion (RM160 billion) pada tahun 2013, memiliki 209 peratus lebihan kekayaan berbanding dengan keseluruhan jutawan di negara Paraguay.

Ini dengan jelas mendedahkan jurang kekayaan di antara kaya dan miskin di Malaysia semakin meningkat. Dan membuktikan agenda kerajaan seperti Polisi Ekonomi Baru (NEP) yang dilancarkan pada 1970an dengan matlamat untuk mengagihkan ‘kekayaan negara secara saksama’ hanya memanfaatkan segelintir elit yang menjadikan NEP dan polisi-polisi kerajaan yang lain (Rancangan Malaysia setiap lima tahun; perancangan bajet negara dll) sebagai batu loncatan untuk mengondol sebanyak mungkin kekayaan negara. Rakyat biasa dengan nama ‘keperihatinan’ pula hanya diberikan BRIM dan lain-lain habuan kecil yang tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah asas yang dihadapi oleh kebanyakan rakyat, dan kehidupan mereka semakin terhimpit akibat kecelaruan dalam sistem ekonomi pasaran bebas yang hanya memihak kepada 0.001 peratus (jutawan dan biliawan) tersebut.


Harga rumah , kos perubatan dan pendidikan, harga barangan  asas,  hutang isirumah semuanya semakin meningkat, dan terus meningkatkan kesan sosial dan tekanan hidup kepada kebanyakan rakyat. Tetapi, golongan 0.001 peratus pula mampu meningkatkan kemewahan mereka tatkala majoriti sedang merana. Inilah sifat sistem kapitalisme yang mementingkan kemewahan 0.001 peratus dengan menjunamkan sebilangan besar rakyat dalam berbagai kesengsaraan hidup. Sebab itu pembinaan sosialisme sebagai alternatif kepada kapitalisme penting sebagai jalan keluar kepada krisis dan konflik ekonomi dan sosial yang diwujudkan oleh kapitalisme untuk membolehkan kekayaan negara dapat diagihkan secara saksama dan adil untuk memanfaatkan keperluan rakyat biasa.


No comments: