Di Malaysia,
isu tentang golongan gelandangan bukanlah sesuatu yang baharu. Bahkan,
peningkatan jumlah golongan ini di banyak bandar telah menunjukkan betapa ia semakin
serius di negara ini. Secara umumnya, golongan gelandangan adalah mereka yang
berasal dari kampung dan desa, yang telah berhijrah ke bandar-bandar untuk
mencuba nasib.
Walau
bagaimanapun, mereka tidak memiliki pendidikan yang baik, modal kewangan yang
mencukupi, pengetahuan yang luas, dan lain-lain lagi. Namun begitu, perkara ini
tidaklah bermakna bahawa golongan gelandangan semuanya berasal dari luar
bandar. Hal ini kerana kesesakan dan kesempitan hidup di bandar juga telah
memaksa sebahagian individu untuk hidup sebagai geandangan. Mereka tidak mampu
memiliki tempat kediaman, pekerjaan dan sumber kewangan yang tetap.
Kebelakangan
ini, ramai pihak yang cuba untuk menolong golongan gelandangan itu dengan
menawarkan tempat tinggal, makanan, pakaian dan sebagainya. Ia adalah usaha
yang seharusnya dihargai oleh kita kerana sedikit sebanyak ia dapat membantu
mereka untuk terus hidup dan bertahan. Walau bagaimanapun, ia hanyalah untuk
jangka masa pendek sedangkan jurang antara mereka yang kaya dan miskin masih
tetap ada. Punca kepada sebab-sebab mengapa gelandangan ini wujud juga belum
dapat diselesaikan. Akhirnya, golongan gelandangan semakin hari makin
bertambah.
Masalah
gelandangan timbul kerana kesan daripada sistem kapitalisme. Ketika para kapitalis
berusaha untuk memaksimumkan keuntungan bagi diri mereka sahaja, ramai orang
yang telah dieksploitasi dan ditinggalkan jauh ke belakang. Hal ini terjadi
kerana dalam sistem kapitalisme, satu-satunya cara untuk mengawal manusia
adalah melalui wang. Kos sara hidup yang tinggi, pengangguran, kemudahan rumah
dan kesihatan yang mahal, pendidikan yang diniagakan, dan lain-lain lagi telah
menimbulkan tekanan demi tekanan dalam masyarakat yang akhirnya menghimpit
mereka dengan teruk. Justeru, masalah inilah yang harus ditangani bersama. Penyelesaian
ini tidak akan dapat ditemui dalam kerajaan kapitalis.
Ia hanya boleh
dicapai melalui perjuangan masyarakat dan kelas pekerja itu sendiri. Perjuangan
yang dimaksudkan adalah dengan menghapuskan sistem kapitalisme dan
menggantikannya dengan sosialisme. Dalam sosialisme, keuntungan bagi sesetengah
pihak sahaja tidak akan terjadi. Hal ini kerana penghasilan segala barang dan
perkhidmatan adalah untuk kegunaan semua orang dengan adil dan sama rata tanpa
mengira status mereka dalam masyarakat, tanpa menentukan siapa yang mendapat
untung dan sebaliknya, tanpa mendiskriminasi dan mengeksploitasi. Ekonomi akan
dirancang dengan sebaik-baiknya dan kesimpulannya adalah untuk memenuhi
keperluan semua manusia, bukannya memenuhi keuntungan bagi segelintir pihak
sahaja sebagaimana yang telah berlaku dalam sistem kapitalisme.
Sharifah, CWI Malaysia
Sharifah, CWI Malaysia
No comments:
Post a Comment