Friday 6 June 2014

PEKERJA MAMPU MENANG...

BUKTI KEJAYAAN PERJUANGAN GAJI MINIMUM 15 DOLAR SEJAM DI SEATTLE, AMERIKA

Teks ucapan Kshama Sawant, Ahli Majlis Tempatan Parti Alternatif Sosialis (CWI USA), di Seattle, Amerika Syarikat mengenai kejayaan penggubalan akta gaji minimum  15 dolar sejam kerja pada 2hb. Jun, 2014 :

Hari ini, warga pekerja di Seattle telah mencipta satu sejarah.

Setengah abad yang lalu, Dr Martin Luther King (pejuang hak asasi) telah mengadakan perarakan untuk gaji yang berpatutan  di Washington, di mana 250,000 orang telah menyertainya, kebanyakannya pekerja berkulit hitam untuk menuntut hak-hak mereka. Mereka telah menuntut 2 dolar sejam kerja. Membandingkan nilai dolar pada hari ini, ia adalah angka yang setara - Dr King dan gerakannya telah melancarkan perjuangan pertama menuntut gaji 15 dolar sejam kerja, pada masa yang sama mereka juga berjuang menentang keganasan perkauman yang termaktub dalam undang-undang Jim Crow.

Dengan pengubalan akta gaji minimum, Seattle menjadi antara bandar terbesar yang pertama di Amerika Syarikat untuk memenangi gaji minimum 15 dolar sejam kerja.

Kemenangan kami dicapai kurang daripada 6 bulan selepas pelancaran kempen ‘15 Sekarang’, selepas pemilihan pertama kali seorang sosialis sebagai Ahli Majlis Tempatan di Seattle selepas lebih 100 tahun. Kami membina gerakan ini berasaskan gerakan buruh di Seatac (sebuah bandar kecil berhampiran Seattle) dan gerakan pekerja makanan segera yang bermula di New York setahun sebelum ini. Kami bersatu bersama organisasi pekerja di Seattle, yang berkempen secara berterusan untuk kempen ‘15 Sekarang’.

Kami telah mendesak syarikat-syarikat besar supaya menaikkan gaji lebih 100,000 pekerja yang bergaji rendah, iaitu untuk mengagihkan 3 billion dolar daripada keuntungan korporat kepada pekerja-pekerja yang berada di skala gaji yang rendah dalam sepuluh tahun yang akan datang.
Kami berjaya melakukan ini. Pekerja berjaya melakukan ini .

Kemenangan gaji minimum 15 dolar sejam kerja ini boleh memberikan inspirasi kepada ramai orang di seluruh Amerika. Kita perlu mengiktiraf apa yang berlaku di Seattle yang telah membawa kita ke tahap ini.

’15 Sekarang’ tidak dimenangi di atas meja rundingan ataupun dengan  ‘bertolak ansur’ antara pekerja dan perniagaan. Ia juga bukan disebabkan oleh hasil murah hati syarikat-syarikat besar ataupun wakil-wakil Parti Demokrat dalam kerajaan.Apa yang telah diundi di dalam Majlis Tempatan mencerminkan kepada kemenangan para pekerja yang telah berjuang dan turun ke jalan raya sepanjang tahun lepas.

Dalam kempen ‘15 Sekarang’, golongan pekerja dan aktivis bertemu setiap minggu, mengadakan persidangan dan perbahasan, menganjurkan himpunan besar-besaran, dan melibatkan beribu-ribu orang di sekitar bandar menegaskan keperluan untuk berjuang untuk gaji minimum. Kita telah memenangi perdebatan awam - dalam satu tinjauan baru-baru ini, 74% daripada rakyat Seattle kini menyokong kempen ’15 Sekarang’. Kami menewaskan hujah-hujah pemodal dalam media korporat dengan analisa yang konkrit.

Biarlah ini menjadi panduan kami. Pada setiap peringkat perjuangan, syarikat korporat dan wakil-wakil mereka, telah berusaha untuk melemahkan usaha kita. Dan kemenangan kita di masa hadapan juga akan bergantung kepada organisasi pekerja dan rakyat biasa yang berjuang untuk kepentingan kita semua.

Ini juga menunjukkan mengapa kita perlukan suatu alternatif kepada kedua-dua parti yang mewakili kapitalis. Walaupun Parti Demokrat menyamar sebagai alternatif progresif kepada Parti Republik - kita boleh lihat di Seattle bagaimana dengan hanya melalui pemilihan seorang sosialis barulah pihak penguasa terpaksa meluluskan polisi yang adil bagi pekerja. Kita memerlukan lebih ramai calon sosialis yang bebas yang sanggup  menentang arus politik korporat.

Kemenangan kita tidak lengkap, tetapi kita telah berjuang sehingga ke hari terakhir, jam terakhir, menentang kelonggaran-kelonggaran dalam akta yang telah dituntut oleh kapitalis.
Kita akan kembali semula kepada persoalan-persoalan seperti denda tip (tips penalty), lama fasa-dalam (long-phase in) , gaji latihan (training wage) yang telah didesak oleh kapitalis dalam pelaksanaan gaji minimum.

Apa yang telah cuba diumpukkan melalui kelongaraan yang dituntut oleh korporat merupakan satu peringatan kepada kita bahawa tahap kemenangan akan ditentukan oleh imbangan kuasa. Ia adalah satu peringatan bahawa kita perlu terus membina gerakan yang lebih kuat dan mantap. Gerakan yang cukup kuat untuk mengatasi serangan balas daripada kapitalis. Gerakan yang tercetus daripada ’15 Sekarang’ perlu diteruskan untuk memenangi lebih banyak faedah untuk menangani ketidaksamaan pendapatan yang dihadapi oleh pekerja – termasuk untuk berjuang untuk kawalan sewa, meningkatkan cukai ke atas jutawan dan pemaju besar, dan pembiayaan penuh kerajaan untuk semua perkhidmatan awam.

Saya menyeru kepada semua pekerja untuk menyertai gerakan ini. Percubaan untuk melemahkan kempen ’15 Sekarang’ akan diteruskan, walaupun dengan keputusan undi hari ini yang memihak kepada kita. Mereka boleh mengemukakan cabaran undang-undang, mereka boleh mencabar kita di peti undi, mereka boleh menunggu untuk seketika sebelum membuat sesuatu yang lebih drastik.


Tetapi mesej hari ini adalah jelas: Sekiranya kita berorganisasi dan bersatu sebagai pekerja, dengan strategi sosialis, kita boleh menangani jurang pendapatan dan ketidakadilan sosial. Gaji minimum 15 dolar di Seattle cumalah permulaan. Kita ada seluruh dunia untuk dimenangi.

No comments: