Final piala dunia di Brazil tahun ini sudah semestinya menjadi tumpuan
kaki bola. Yang tak minat bola pun pasti terkena virusnya. Ke manapun kita
pergi semua orang akan bercakap pasal bola. Pasti ramai yang akan bersengkang
mata sehinggakan ke pagi menonton pertandingan nanti. Malanglah bagi mereka
yang terpaksa bekerja, tak kiralah pegawai kerajaan, pejabat swasta, pekerja
kilang, yang mesti bekerja 8 pagi sampai 5 petang. Apalagi kalau dah masuk
bulan puasa, lepas sahur boleh terus tengok bola. Akhirnya ibadah ke mana, bola
ke mana, kerja ke mana.
Namun, di sebalik sambutan kemeriahan piala dunia ini, tahukah anda
bahawa sebenarnya majoriti rakyat Brazil yang memiliki latar belakang kelas
pekerja yang miskin menolak temasya sukan tersebut? Tahukah anda bahawa
jersi England yang dijual seharga 90 Pound sterling (atau setara RM450) telah
menimbulkan kemarahan rakyat England ? Mengapa kita mesti tahu semua ini? Apa
kaitannya semua itu dengan kelas pekerja? Jawapannya sederhana. Bola sepak
bukan hanya apa yang berlaku 2x45 minit di dalam padang sahaja. Sukan ini telah
menjadi sebuah industri kapitalis yang besar dan berpengaruh terhadap sosial
masyarakat. Kerana bolasepak adalah sebahagian daripada kapitalisme, maka ia
juga memangsa kelas pekerja. Bagaimana? Mari kita semak dua berita ini.
Populariti sukan ini di Brazil tidak boleh menandingi keperluan mendesak
rakyatnya yang semakin terpinggirkan. Pemerintah Brazil menghabiskan lebih
daripada 11 billion dolar Amerika untuk keperluan piala dunia. Jumlah ini tiga
kali ganda lebih besar daripada piala dunia 2010 di Afrika Selatan. Peruntukan
tersebut diperolehi dengan mengurangi subsidi pendidikan, kesihatan, perumahan,
dan pengangkutan yang merupakan keperluan asas rakyat. Meskipun telah
mengeluarkan biaya besar, tetapi masih banyak kekurangan dalam persiapan. Hanya
dalam kiraan hari sebelum pertandingan bermula, masih banyak stadium yang belum
siap dan diragukan tahap keselamatannya. Pekerja yang bekerja membuat
stadium-stadium tersebut banyak mengalami kemalangan di tempat kerja kerana
tahap keselamatan tidak dijaga oleh pihak penganjur.
Selain itu, untuk memberikan imej yang baik kepada para pelancong yang
akan datang ketika piala dunia nanti, pemerintah telah merobohkan kawasan
setinggan di bandar-bandar tempat pertandingan bola sepak diadakan. Rakyat
miskin yang tinggal di kawasan setinggan tersebut tidak diberi pilihan tempat
tinggal yang lebih baik kerana memang bajet untuk perumahan sudah digunakan
untuk penye- lenggaraan piala dunia.
Semenjak protes besar-besaran menentang kenaikan tambang pengangkutan
keretapi sebesar dua puluh sen pada tahun 2012, ketidakpuasan di kalangan
rakyat terhadap pemerintah terus merebak. Pada kejohanan bolasepak piala
Konfederasi tahun 2013 protes bertambah besar. Kejayaan Brazil menjadi juara
dalam kejohanan tersebut tidak dapat menghibur rakyat miskin di negara itu yang
terhimpit dengan persoalan ekonomi teruk. Kurang dari sebulan sebelum
pertandingan bermula, ribuan rakyat masih turun ke jalan membantah pelaksanaan
piala dunia.
Cerita Jersi England
Jika Perdana Menteri Inggeris, David Cameron telah dibuat marah dengan
harga jersi bolasepak negara tersebut untuk piala dunia yang harganya terlalu
mahal, maka isu ini patut mendapat perhatian kita, terutama kelas pekerja.
Jersi tersebut dibuat oleh pekerja kilang di Indonesia. Salah satu sumber di
negara itu mengatakan, gaji pekerja Nike di Indonesia hanya RM2 sahaja sejam
menjadikan biaya yang diperlukan untuk menghasilkan jersi tersebut hanya
sekitar RM20 sahaja. Nike, syarikat kapitalis pengeluar rasmi jersi tersebut
telah mengaut keuntungan yang sangat besar dengan penjualan jersi ini. Dengan
harga jualan mencapai 90 Poundsterling (RM450) setiap helai, harga tersebut
adalah 20 kali ganda daripada biaya pengeluaran yang dikeluarkan untuk membuat
jersi tersebut.
Di sini kita dapati realiti sebenar ketamakan syarikat kapitalis
bagaimana mereka mengaut keuntungan hasil titik peluh pekerja tanpa pulangan
yang memadai untuk pekerja tersebut. Apakah yang difikirkan oleh para pekerja
tersebut ketika mereka meletakkan tag harga pada jersi yang mereka buat? Salah seorang pekerja
kilang Indonesia pembuat barangan Nike mengatakan: “Di kilang, setiap setengah
minit saya menjahit sebuah jersi, bermakna 120 helai dalam sejam. Sedangkan
saya dan pekerja yang lain hanya mendapat upah RM550 sebulan, masih rendah
untuk mencukupi kehidupan yang layak. Nike telah mengaut keuntungan besar dari
hasil kerja kami, tetapi gagal mensejahterakan kami.” Bandingkan upah ribuan
pekerja tersebut dengan gaji CEO Nike yang berpejabat di Amerika Syarikat
mencecah hampir RM50 juta setahun, atau dengan pemain bola sepak England Wayne
Rooney mendapatkan RM1.5 juta sebulan dari kelabnya hanya dengan bermain bola.
Memandangkan Rooney juga adalah duta produk Nike, tentu saja berjuta- juta
ringgit lagi akan masuk ke poketnya untuk mempromosikan produk syarikat
tersebut. Lalu, di manakah keadilan bagi ribuan pekerja? Padahal tanpa kerja
mereka, kain tidak akan pernah menjadi jersi.
Tujuan kami menuliskan dua berita di atas supaya kita sedar bahawa di
tengah keseronokan kita melayan bola, masih ada ruang bagi kita untuk melihat
sisi lain daripada piala dunia. Kapitalisme sudah masuk ke dalam semua celah
kehidupan sehingga kita tidak terasa bahawa sebenarnya kita ikut mempertahankan
sistem tersebut jika kita tidak mengetahui bagaimana sebenarnya sistem ini
bekerja. Kapitalisme hidup ke atas penindasan pekerja untuk keuntungan maksima
majikan yang kaya. Contoh di Brazil dan England di atas jelas menunjukkan
perkara itu. Bolehkah kita luangkan sedikit masa berfikir dan melihat bagaimana
ia juga sebenarnya berlaku dalam kehidupan di sekeliling kita?
No comments:
Post a Comment