Pada awal bulan Januari
tahun 2013, kerajaan mengumumkan bahawa gaji minimum akan diamalkan di seluruh
negara, dan memberikan harapan bahawa taraf hidup pekerja akan meningkat dengan
amalan tersebut. Walaupun gaji minimum RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah
dan Sarawak tidak selaras dengan taraf sebenar sara hidup pekerja masa kini,
banyak syarikat yang tidak mengamalkan polisi gaji minimum tersebut dan dengan
sewenang-wenangnya memansuhkan elaun-elaun tertentu yang sebelum ini diterima
oleh pekerja dengan mempergunakan kelemahan kerajaan dalam pelaksanaan polisi
tersebut. Ini menunjukkan seperti biasa keprihatinan
kerajaan hanyalah sehingga pilihan raya selesai, dan seperti kacang lupakan
kulit, hak dan keperluan rakyat terus dipinggirkan.
Setahun sudah berlalu
semenjak pelaksanaan polisi gaji minimum, tetapi taraf hidup pekerja terus
dibelenggu dengan beban kehidupan yang semakin meningkat. Harga barangan dan
perkhidmatan asas seperti gula, petrol, sayur-sayuran, pengangkutan dan
lain-lain semakin meningkat, dan had gaji minimum tersebut jauh daripada taraf
gaji yang diperlukan oleh pekerja pada masa kini. Manakala, kerajaan sudah
merancang untuk mengurangkan subsidi untuk barangan asas dan memperkenalkan
cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada pertengahan tahun 2015 yang sudah
semestinya akan terus membebankan golongan berpendapatan rendah dan juga
menengah.
Selain itu, golongan
kapitalis pula terus menghakis hak pekerja, dan serangan demi serangan ke atas
hak kesatuan terus meluas. Misalnya, pada December tahun lalu, 27 pekerja Hong
Leong Bank yang sudah lama bekerja dengan bank tersebut, ditamatkan kerja
apabila mereka enggan untuk berpindah ke cawangan yang jauh daripada tempat
kediaman mereka sekarang. Manakala,
kesatuan dan pemimpin kesatuan juga diserang untuk melemahkan hak pekerja, dan
serangan terbaru adalah terhadap Presiden NUFAM ( Kesatuan Sekerja Anak Kapal
Penerbangan MAS) yang dipecat apabila isu-isu pekerja diketengahkan kepada
majikan.
Pada masa yang sama, pencabulan
hak pekerja dijangka akan terus berleluasa di kilang-kilang yang tidak ada
kesatuan dengan polisi majikan untuk meminumkan kos dan meningkatkan keuntungan
dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu. Ini termasuk penindasan
terhadap pekerja migran yang dipergunakan oleh majikan untuk menghakis hak
pekerja tempatan. Ini adalah taktik ‘pecah dan perintah’ yang cuba dipergunakan
oleh majikan untuk melemahkan hak pekerja secara keseluruhan.
Dengan keadaan ekonomi
yang tidak stabil, dan hutang negara yang semakin meningkat, dijangka kerajaan akan tertekan untuk memotong
lebih banyak subsidi dan perbelanjaan awam. Pada masa yang sama kerajaan juga
akan terus mendukung keperluan golongan kapitalis untuk memaksimumkan
keuntungan dengan nama untuk meningkatkan ekonomi. Polisi dan undang-undang
seperti GST akan dilaksanakan oleh kerajaan atas desakan golongan kapitalis dan
pasaran bebas. Akhirnya, rakyat dan kelas pekerja yang sudah pun dibebankan
dengan hutang isi rumah yang tinggi akan terus menjadi mangsa kepada polisi
kerajaan yang memihak kepada golongan kapitalis.
Untuk meningkatkan hak
dan keperluan kelas pekerja, kesatuan sekerja dan warga pekerja tiada pilihan
lain, selain bersatu untuk memperjuangkan hak dan keperluan mereka. Kesatuan-kesatuan sekerja di bawah naungan
MTUC perlu mengatur langkah untuk mengorganisasikan lebih ramai pekerja
termasuk pekerja migran. Kesatuan harus diperkuatkan dengan kepimpinan yang
sanggup berjuang, dan dengan kepimpinan yang komited berlandaskan kepada
aspirasi pekerja. Ini akan memberikan keyakinan kepada warga pekerja, termasuk pekerja
muda yang ingin melihat perubahan dalam kehidupan mereka untuk bersatu dan
berjuang. Solidariti di antara warga pekerja dan kesatuan sekerja di
berbagai-bagai sektor, dan juga dengan golongan tertindas yang lain seperti
anak muda dan pelajar juga perlu dibina untuk memperkuatkan perjuangan pekerja.
Hanya melalui perjuangan sahajalah satu perubahan dalam kehidupan kelas pekerja
dan rakyat dapat dilakukan.
Ravi, CWI Malaysia
No comments:
Post a Comment