Tidak nampak pengakhiran kepada
keganasan untuk rakyat Pakistan...
Sebagaimana pembunuhan dan
penganiayaan terhadap orang awam yang tidak bersalah semakin meningkat sejak
kebelakangan ini, begitu juga dengan retorik rundingan daripada beberapa badan-badan
kerajaan, dan juga daripada Parti PTI (Gerakan Pakistan untuk Keadilan) yang
dipimpin oleh Imran Khan. Ini seolah-olah untuk mencetuskan satu lagi harapan apabila
keganasan tidak boleh dihentikan dengan mempergunakan kekerasan, maka satu
rundingan adalah diperlukan. Nizar, Menteri Dalam Negeri yang juga pemimpin PML-N
(Liga Muslim Pakistan-Nawaz) dan Imran Khan, berjaya mempergunakan pendekatan politik
Zia ul Haq yang masih wujud dalam kesedaran orang ramai, di mana
pemimpin-pemimpin berhaluan kanan ini menganggap bahawa, selagi ada kumpulan yang
sedang melonjakkan slogan Islam, maka mereka berhak mendapat perhatian istimewa.
Berdasarkan analogi tersebut, suatu strategi dibentuk untuk berunding dengan
Taliban.
Perkataan ‘kami akan berunding’,
menjadi strategi keseluruhan kerajaan Pakistan. Tidak ada sebarang idea di luar
lingkungan tersebut. Strategi kedua-dua parti pemerintah dan parti pembangkang
sedang di momok-momokan dan dicemuh oleh militan bersenjata yang diketuai oleh Taliban.
Walau bagaimanapun, pihak kerajaan langsung tidak membalas cemuhan tersebut.
Kerajaan Pakistan tidak memikirkan tentang
syarat-syarat kepada rundingan ini. Kini, Taliban pula telah mengumumkan bahawa
pelaksanaan undang-undang Syariah adalah syarat perlu sebelum rundingan tersebut
boleh dimulakan. Pada masa yang sama, sebelum rundingan itu secara rasmi
dimulakan, Taliban terus membunuh dan menyerang rakyat Pakistan di
tempat-tempat awam seperti di pawagam, pasar dan hotel.
Adakah para pendukung rundingan ini
mempunyai jawapan yang jelas? Apakah niat sebenar kerajaan yang ingin berunding
dengan pihak yang meneruskan aktiviti pembunuhan orang awam? Bagaimana dengan Taliban
yang kononnya mempunyai niat baik untuk berunding? Ia seolah-olah seperti kerajaan
menghentak kaki mereka setiap kali suatu ledakan bom berlaku dan berkata kepada
Taliban ‘kamu dimaafkan, tetapi ini
adalah kali terakhir’. Sudah tentu retorik tersebut adalah sehingga satu lagi
pembunuhan berlaku.
Walaupun begitu, ramai yang
mempunyai ilusi terhadap rundingan ini, tetapi ia pasti tidak akan berlangsung selancar
yang diharapkan.
Kumpulan-kumpulan ekstremis agama
cuba untuk mendapatkan simpati daripada orang ramai, dan sebilangan besar
rakyat di negara ini sudah mula percaya bahawa sesuatu akan dicapai daripada
rundingan tersebut. Walau bagaimanapun, ini adalah anggapan palsu. Jalan kepada
rundingan tersebut sangat panjang dan sukar. Akan timbul pelbagai isu
perbalahan daripada rundingan tersebut.
Dalam keseluruhan proses ini,
banyak soalan penting masih tidak terjawab. Antara soalan yang terpenting
adalah; apakah yang akan berlaku kepada orang-orang Pakistan yang tinggal di
wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Taliban? Undang-undang mana yang patut
mereka ikuti? Jika jawapannya adalah undang-undang Taliban, maka ia adalah
lebih baik untuk mengundang Taliban ke Islamabad dan menyerahkan semua kuasa pemerintahan
kepada mereka dalam suatu majlis besar-besaran untuk menyambut peralihan kuasa
ini. Warga perempuan tidak perlu hadir.
Bagaimana pula dengan perasaan
beribu-ribu banduan yang sedang meringkuk di penjara disebabkan jenayah
membunuh? Mereka pasti sedang mengutuk nasib mereka, sekiranya mereka telah
melakukan jenayah membunuh itu atas nama agama, pasti kerajaan Pakistan akan berunding
dengan mereka. Mereka yang terlibat dalam peras ugut dan penculikan atas nama
agama dibenarkan untuk duduk di meja rundingan dalam dialog dengan kerajaan
Pakistan. Mereka yang sedang merancang untuk melakukan pembunuhan kejam dalam
masa terdekat patut memberikan perhatian. Sejarah Pakistan akan melihat tempoh
masa ini sebagai mendedahkan satu fakta tertentu; khayalan tentang kepentingan
orang-orang yang membunuh atas nama agama. Ia adalah agak mengejutkan bagaimana
begitu ramai yang telah terpedaya. Berlandaskan kepada strategi rundingan tersebut,
Taliban memberikan kita pengajaran sebenar.
Sambil menghadapi kesengsaraan yang
teruk, rakyat Pakistan memandang ke arah langit untuk pembebasan mereka. Dalam
keadaan terdesak, mereka memandang ke arah pemerintah mereka, tetapi ini adalah
para pemerintah yang sedang menggigil ketakutan menghadapi serangan pihak
Taliban. Dari 5 Jun 2013, apabila Nawaz Sharif memulakan penggal ketiganya
sebagai Perdana Menteri, sehingga kepada 7 Februari 2014, terdapat 863 insiden
keganasan yang dilakukan oleh Taliban dan sekutu-sekutunya yang telah disokong
oleh Al-Qaeda. Seramai 1403 orang telah terbunuh dalam jangka masa tersebut.
Kerajaan tidak mengambil sebarang langkah langsung terhadap kumpulan-kumpulan
ini yang melakukan pembunuhan dan kemusnahan atas nama agama.
Sejak tahun 2004, lebih daripada 46
ribu orang telah kehilangan nyawa mereka dan beribu-ribu lagi telah cedera dan mengalami
kecacatan. Lebih daripada 3000 anggota keselamatan telah kehilangan nyawa. Ekonomi
Pakistan telah kehilangan lebih daripada $68 bilion dolar Amerika Syarikat
akibat peperangan dan keganasan ini. Kerugian nyawa dan ekonomi di Pakistan
adalah jauh lebih besar daripada kerugian di Afghanistan semenjak Amerika
Syarikat dan kuasa-kuasa imperialis lain campur tangan di negara itu pada tahun
2002. Rakyat jelata dan kelas pekerja terus menderita akibat ketidakwarasan
yang dilakukan atas nama agama dan atas nama untuk menyelamatkan negara ini.
Isu sebenar dalam konteks ini
adalah sama ada kerajaan Pakistan bersedia untuk meninggalkan agenda agama
sebagai slogan politik dan alat untuk menindas kelas pekerja dan rakyat biasa. Sama
ada ia bersedia untuk menghentikan sokongannya terhadap organisasi jihad dan
kumpulan-kumpulan seperti Taliban. Jawapannya adalah bahawa kerajaan Pakistan
tidak bersedia untuk meninggalkan dasar yang dimulakan sejak tahun 1970-an
lagi. Masalah dengan kerajaan Pakistan pada masa ini adalah bahawa ia mahu
meneruskan dasar reaksioner dan pada masa yang sama, kononnya mahu untuk membawa
keamanan kepada negara. Tentera Pakistan memerangi beberapa kumpulan Taliban dan
sekutu-sekutu Al-Qaeda di kawasan pedalaman tetapi pada masa yang sama, menyokong
kumpulan-kumpulan Taliban yang berjuang di Afghanistan tetapi memiliki tempat
perlindungan di Pakistan.
Kerajaan Pakistan telah memutuskan
untuk meneruskan rundingan dengan Taliban dengan harapan bahawa mereka boleh
dipujuk untuk meninggalkan matlamat mereka yang ingin mewujudkan pemerintahan
khalifah Islam, meletakkan senjata mereka dan berikrar kesetiaan kepada
perlembagaan. Semenjak skim ini diumumkan oleh Perdana Menteri di Dewan Negara
pada 29 Januari, keganasan oleh pihak Taliban langsung tidak reda dan
berterusan seperti biasa.
Tindakan ketenteraan oleh kerajaan
Pakistan di Waziristan Utara mungkin telah menjana sokongan tertentu daripada
khalayak umum dan juga mencetuskan rasa ketidakpedulian dalam kalangan mereka.
Tetapi ia membawa kepada lebih banyak serangan di pusat-pusat bandar, maka pihak
pembangkang akan mula menyalahkan kerajaan. Di satu sisi, kerajaan telah
menguatkuasakan undang-undang yang zalim seperti Ordinan Perlindungan Pakistan.
Pada sisi yang lain, ia mengundang pengganas untuk berunding supaya "keadaan
boleh diselamatkan". Taliban melihat kerajaan dan dapat menganggar
kekuatan dan kelemahan mereka. Sebuah negara yang mempunyai kekuatan ketenteraan
tetapi selalu terdedah kepada serangan daripada kuasa-kuasa luar bukanlah
sebuah negara yang berfungsi dengan betul. Tawaran rundingan yang berpunca
daripada kesedaran bahawa kerajaan berada dalam keadaan yang lemah, tidak boleh
dikatakan sebagai tawaran, ia adalah konsesi. Undang-undang yang menjanjikan
hukuman yang berat bagi militan tetapi digunakan hanya untuk kumpulan pemisah
etnik, nasionalis bersenjata dan gerakan kelas pekerja adalah alat penindasan
semata-mata.
Kedua-dua kerajaan tentera dan
kerajaan awam bersependapat untuk tidak melancarkan operasi yang serius untuk
membendung serangan Taliban. Kerajaan PML–N Nawaz Sharif sudah pasti tidak
terlalu bersemangat kerana ia mempunyai kepentingan ideologi dan politik dalam gerakan
militan agama. Pihak tentera juga tidak menunjukkan sebarang kesungguhan dalam
berkongsi maklumat dengan pihak polis untuk memerangi kumpulan pengganas
tersebut.
Nampaknya tujuan sebenar cadangan
bagi rundingan ini adalah hanya untuk melengahkan sebarang konflik bersenjata yang
serius dan mengurangkan aktiviti pengganas sekurang-kurangnya sampai ke tahun
terakhir kerajaan berada dalam kuasa. Ini akan memberikan masa yang cukup untuk
kumpulan ‘politik elit’ ini untuk mengumpul kekayaan dengan secukup-cukupnya
sebelum berundur ke istana dan rumah-rumah besar mereka di London dan Dubai,
meninggalkan rakyat biasa Pakistan untuk menangani masalah ‘Talibanisasi’ di
Pakistan.
Pendukung
Kejahatan
Parti Pembangkang, PTI dapat meraih 7.7 juta undi dalam pilihan raya
umum tahun 2013. Angka itu sudah memadai untuk mendapat sokongan kedua
terbanyak di peringkat kebangsaan selepas Nawaz Sharif (PML-N), mengalahkan
Asif Zardari (PPP-Parti Rakyat Pakistan) kepada tempat ketiga, dan juga menjadi
parti ketiga yang terbesar dalam Dewan Negara. Ia membentuk kerajaan di wilayah
Khyber Pakhtunkhwa. Parti itu, bagaimanapun, rasa tertipu apabila harapan untuk
menjadikan Imran Khan sebagai Perdana Menteri telah berkecai. PML-N dan PPP
telah bekerjasama untuk menafikan Imran Khan sebarang posisi termasuklah
menjadi ketua pembangkang dalam Dewan Negara.
Walau bagaimanapun, Imran Khan
telah kembali dengan retorik-retorik untuk berunding dengan Taliban tanpa
mencari satu penyelesaian kepada keganasan mereka. Selepas mendapat sokongan
daripada ketua PTI itu, Taliban menamakan Imran sebagai salah satu wakilnya
bagi membuat rundingan dengan kerajaan.
Tetapi Imran seolah-olah berundur
mengatakan bahawa dia adalah merupakan ketua parti dia sendiri, dan dengan itu tidak
boleh mewakili Taliban. PTI dan pengerusinya gagal untuk melanjutkan logik yang
sama kepada fakta bahawa Taliban juga mencalonkan pemimpin Munawar Hassan (JI-
Parti Islam), Fazlur Rehman (JUI–F –Parti Ulama Islam-Fazal), dan Samiul Haq
(JUI-S- Parti Ulama Islam-Samiul) dalam pasukan perunding mereka. Tidak ada
nasihat daripada Imran sama ada kepada Taliban atau parti-parti ini untuk tidak
mewakili Taliban.
Ia kerana Imranlah yang memaksa untuk
sebuah Persidangan Semua Parti untuk bersetuju kepada rundingan dengan Taliban apabila
majoriti di parlimen mahukan suatu tindakan diambil terhadap Taliban. Imran kemudiannya
pula enggan menghadiri Persidangan Semua Parti dan mensyaratkan bahawa dia diberikan
taklimat secara peribadi oleh ketua tentera. Imran juga tidak pernah
menyalahkan Taliban dalam serangan mereka terhadap rakyat umum. Dia tidak
pernah meminta Taliban mengumumkan gencatan senjata tetapi telah menuntut
bahawa kerajaan yang patut berbuat demikian. Imran dan partinya tidak mempunyai
masalah untuk berpolitik dengan pelbagai percanggahan. Mereka memanggil Taliban
untuk berunding di mana hasil rundingan perlu berada dalam lingkungan
perlembagaan. Namun, di bawah perlembagaan, kumpulan bersenjata selain badan
kerajaan adalah diharamkan. Taliban pula telah lama diisytiharkan sebagai
sebuah pertubuhan pengganas oleh kerajaan. Bagaimanakah rundingan ini boleh
dijadikan sah dari segi perlembagaan?
Hakikatnya adalah bahawa dalam
kalangan parti politik sekular, PTI adalah satu-satunya parti yang sentiasa menentang
tindakan ketenteraan terhadap kumpulan Taliban dan tidak pernah mengutuk
kumpulan-kumpulan ini untuk kesalahan membunuh orang yang tidak bersalah.
Polisinya adalah bertujuan untuk memujuk dan memenangi sokongan daripada rakyat
yang sedang keliru dengan kejadian-kejadian yang berlaku sejak kebelakangan
ini. Imran mengambil jalan pintas supaya dapat melarikan diri daripada
mengambil tanggungjawab untuk melakarkan suatu penyelesaian jangka masa
panjang.
Hanya ada dua penjelasan kepada
politik dwi-kutub Imran. Sama ada dia benar-benar bersimpati dengan perjuangan
Taliban ataupun dia menggunakan peluang ini untuk mengukuhkan posisinya sendiri
dalam kuasa pemerintahan Pakistan. Setakat ini, tindakan-tindakan Imran
seakan-akan menunjukkan dirinya sebagai lebih berpengaruh daripada Perdana
Menteri. Dia umpama panglima yang tidak memimpin dari barisan hadapan. Dia mengharapkan
ganjaran tetapi tidak ingin beban tanggungjawab.
Imran Khan merupakan seorang yang
amat keliru tentang agama. Dia mengalami romantis terhadap naratif agama tanpa
memahami apa yang diperkatakannya itu.
Tidak kira jika rundingan ini
berlangsung atau tidak, pada realitinya, kerajaan dan elit pemerintah Pakistan
tidak boleh menawarkan alternatif kepada pertumpahan darah dan kemiskinan yang
dihadapi oleh rakyat. Hanya gerakan rakyat daripada pekerja, petani dan
golongan miskin luar bandar yang bersatu padu boleh mengambil langkah-langkah
yang perlu untuk mempertahankan orang awam daripada serangan Taliban dan kelas
pemerintah.
Krisis semakin teruk ini telah
menimbulkan keperluan mendesak untuk membina sebuah parti politik bebas yang berlandaskan
kepada kelas pekerja dan rakyat biasa untuk menawarkan alternatif sebenar
kepada kekecohan yang telah disebabkan oleh sistem yang memudaratkan ini.
Khalid Bhatti SMP (CWI in Pakistan), Lahore
No comments:
Post a Comment