Selepas
berbulan-bulan melakukan pemogokan-pemogokan kecil, kelas pekerja Mesir telah
menunjukkan potensi kekuatan yang besar dalam beberapa minggu terakhir. Seramai
duapuluh ribu pekerja syarikat pemintal dan tenun Mahalla telah mogok dan
menduduki pejabat utama syarikat pada 10 Februari. Mereka menuntut upah
sebanyak 1200 Egypt Pound (EGP), iaitu setara dengan gaji minimum untuk pekerja sektor awam (tidak termasuk
sektor swasta). Mahalla adalah kilang yang dimiliki oleh kerajaan, tetapi
pekerjanya hanya menerima gaji sebanyak 500EGP setiap bulan. Pekerja juga
menuntut bonus yang telah dijanjikan tetapi belum mereka terima.
Selain itu
mereka juga meminta ketua syarikat untuk berundur, penggantian komisioner
Syarikat Pemintalan dan Penenunan dengan sebuah pengurus pentadbir yang
dipilih, juga proses pengundian untuk memilih ketua kesatuan sekerja rasmi yang
telah memimpin semenjak tahun 2005.
Setelah enam
hari, 12,000 pekerja Syarikat Pemintalan dan Penenunan Kafr Al-Dawar juga turun
untuk bersolidariti dengan pekerja Mahalla. Enam hari kemudian, Perdana Menteri
Hazem El-Beblawy telah berjanji
untuk memenuhi tuntutan pekerja. Mogok ditangguhkan selama 2 bulan dengan desakan
bahawa ia akan dilanjutkan jika janji tersebut tidak dipenuhi sesuai dengan
masa yang ditetapkan.
Kemunculan Gelombang Pemogokan
Baru
Pada hari
terakhir pemogokan, seramai 40,000 pekerja pengangkutan juga mogok menuntut majikan melaksanakan gaji
minimum sektor awam. Kesatuan Sekerja Pengangkutan Bebas yang ditubuhkan
selepas kejatuhan Mubarak, telah mengorganisasikan ramai pekerja. Baru-baru
ini, 800 pemandu bas menduduki garaj mereka di Alexandria. Sebahagian pegawai
polis berpangkat rendah juga melakukan aksi menuntut gaji minima (di beberapa
tempat mereka juga menuntut bekalan senjata untuk semua polis). Doktor, pekerja
farmasi, dan doktor haiwan telah mengambil bahagian dalam beberapa siri
pemogokan berkenaan dengan masalah gaji, situasi kerja, dan menuntut peningkatan
dalam pendidikan dan kualiti hospital. Persatuan Jururawat tidak menyokong
pemogokan doktor secara rasmi tetapi 400 orang daripada mereka telah protes di Kafr al-Sheikh, menuntut pelaksanaan kembali 40%
bonus yang telah dibatalkan.
Pekerja Tanta Linen juga melakukan protes,
menuntut pelaksanaan perintah mahkamah mengenai pengesahan kerja selepas
kembali ke sektor awam, yang tidak dilaksanakan oleh dua pemerintahan
sebelumnya. Puluhan pegawai pos juga telah berkumpul di pejabat pos menuntut
gaji minima sektor awam. Sebahagian pegawai kerajaan, pekerja penambakan tanah,
dan pembina jalan juga telah mogok.
Tuntutan-tuntutan pekerja tersebut menunjukkan keadaan
sosial yang semakin menekan mereka
semenjak kejatuhan Mubarak pada 25 Januari 2011. “Jika ada yang bertanya
mengapa kami mogok sekarang, itu kerana kami telah diberi janji sebelumnya.
Mereka meminta kami tunggu sehingga pemerintahan baru. Pemerintahan baru
memimpin sampai dijatuhkan lagi, tetapi tidak ada yang berubah. Sekarang kita
di dalam krisis.”, kata salah seorang pekerja pengangkutan kepada media Al-Ahram.
Pemerintah Silih Berganti
Pada 24 Februari, Perdana Menteri Hazem
El-Beblawi mengumumkan pengunduran diri kabinetnya. Pengumuman ini mengejutkan,
bahkan di kalangan ahli kabinetnya sendiri. Kuasa sebenar ada di tangan para
pegawai tentera senior. Mereka mengambil alih kuasa selepas kejatuhan
pemerintahan Muslim Brotherhood Morsi
pada demonstrasi besar-besaran bulan Jun tahun lepas. Jeneral Abdel Fattah
al-Sisi dijangkakan akan bertanding pada pilihanraya bulan Mei tahun ini.
Pemogokan-pemogokan yang semakin berkembang, bersamaan dengan meningkatnya
serangan-serangan mirip Al-Qaeda terhadap kerajaan dan kawasan-kawasan
pelancongan di Sinai, serta masalah ekonomi yang masih belum diatasi
seolah-olah memberi laluan kepada tentera untuk menggantikan kerajaan. Warga pekerja
tidak mengharapkan pilihanraya memandangkan keadaan sangat menyebelahi al-Sisi
dan lebih menumpukan kepada tuntutan pekerja.
Al-Sisi Bukan Nasser
Al-Sisi cuba menggambarkan dirinya seperti
Nasser, seorang tentera yang menjadi presiden pada tahun 1950an. Nasser telah
menerajui reformasi pembangunan industri yang meningkatkan taraf hidup pekerja
dan menjadikannya sangat popular. Walau bagaimanapun, ia mampu menyeimbangkan
dua kuasa besar (Amerika Syarikat dan Rusia) yang saling bersaing untuk
mendapatkan pengaruh di Timur Tengah pada masa pertumbuhan ekonomi global.
Sedangkan Al-Sisi dan mana-mana kerajaan kapitalisme hari ini tiada ruang untuk
maneuver seperti itu. Tempoh krisis ekonomi yang teruk telah mempengaruhi
kuasa-kuasa kapitalis besar. Persaingan yang semakin meningkat terhadap
industri Mesir, terutama dari China dan ekonomi bergaji rendah, penurunan
jumlah pelancong dalam tiga tahun terakhir, dan kehilangan alternatif terhadap
blok Stalinis sebagai tempat bergantung, dan secara keseluruhan serangan yang
kejam terhadap taraf hidup pekerja dan miskin di Mesir.
Kabinet baru lebih berlandaskan kepada tentera
dan kem era Mubarak berbanding dengan pemerintahan sebelumnya. Kabinet ini
mencerminkan pakatan dengan tentera pada Jun lepas dengan beberapa bekas
revolusioner dan liberal menentang Muslim
Brotherhood. Setelah berperanan penting dalam mendapatkan sokongan pekerja
dan golongan kelas menengah liberal untuk tentera ketika menentang Brotherhood, menteri-menteri liberal dan
bekas revolusioner ini kemudian disingkirkan.
Di antara menteri yang disingkirkan itu ialah
Kamal Abu-Eita, pemimpin pemogokan ketika rejim Mubarak dan presiden kepada Kesatuan
Sekerja Persekutuan Mesir Bebas (EFITU) sehingga pengangkatannya sebagai
menteri tenaga kerja. Pelantikannya ke jawatan tersebut tahun lepas telah
mendapat bantahan oleh EFITU dan organisasi-organisasi pekerja lain seperti
Kongres Permanen Pekerja Alexandria (PCAW). Mereka melihat langkah tersebut
sebagai taktik kotor dari tentera untuk mengekang pertumbuhan pesat
organisasi-organisasi pekerja. Namun pemogokan-pemogokan pada akhir-akhir ini
telah menunjukkan bahawa pekerja tidak gentar dengan kembalinya kuasa tentera
dalam pemerintahan.
Kebangkitan Kembali Rejim
Mubarak
Perdana Menteri yang baru ialah Ibrahim Mehleb,
bekas ketua pengarah Syarikat Kontraktor Arab, sebuah syarikat pembinaan besar
di Timur Tengah dan Afrika. Ia telah terpilih sebagai ahli Shura Council
(parlimen) pada tahun 2010 dan juga seorang ahli jawatankuasa pengeluaran
dasar-dasar parti kerajaan Mubarak yang sekarang sudah dimansuhkan, iaitu Parti
Demokrasi Nasional. Menteri baru yang berasal dari era Mubarak termasuk Ibrahim
El-Demeiri, yang menjadi Menteri Pengangkutan untuk penggal yang ketiga.
Penggal pertamanya ialah pada 1999-2002, ketika ia diberhentikan setelah
kebakaran keretapi yang penuh sesak dan membunuh seramai 373 penumpang, sebuah
kemalangan keretapi terburuk di Mesir.
Nabil Fahmy, Menteri Luar Negara yang baru,
adalah bekas duta Mubarak ke Amerika dari tahun 1999-2008. Adel Labib, Menteri
Pengembangan Pentadbiran Tempatan adalah bekas seorang Gabenor Negeri yang
menentang keras gelombang protes. Atef Helmy, Menteri Komunikasi dan Teknologi
Maklumat adalah Pengarah Pengurusan Oracle Egypt, sebahagian daripada syarikat
multinasional yang dimiliki oleh Amerika Syarikat.
Menteri-menteri tersebut berniat mengukuhkan
cengkaman perniagaan rejim lama dan pemimpin-pemimpin tentera. Di bawah kawalan
rejim tentera, cengkaman itu lebih kuat jika dibandingkan pada masa akhir kuasa
Mubarak, di mana anaknya, Gamal, telah mengangkat kroni-kroninya sendiri untuk menduduki
jawatan-jawatan yang penting. Dengan secara jelas merujuk kepada
pemogokan-pemogokan yang berlaku sekarang, dan menuduh mereka memiliki kaitan
dengan Muslim Brotherhood, Mahleb
menyerukan supaya “protes yang memecahkan” ini dihentikan.
Mereka telah berusaha untuk mengongkong media,
sama ada milik kerajaan mahupun swasta untuk menulis kembali sejarah.
Pemberontakan massa pada 25 Januari 2011 yang menjatuhkan Mubarak, digambarkan
sebagai perebutan kuasa oleh Brotherhood, sedangkan pemberontakan 30 Jun
melawan pemerintahan Morsi digambarkan sebagai revolusi sebenar.
Perlunya Alternatif Sosialis yang
bebas
Akan tetapi ingatan anak muda dan pekerja selama
tiga tahun terakhir tidak mudah terhapus. Massa telah melihat kuasa mereka
melahirkan perubahan, namun belum menemukan cara untuk mengubah masyarakat atas
kepentingan mereka sendiri. Dalam dua perlawanan, iaitu menentang Mubarak dan
Morsi, kedua-dua pemimpin itu dapat dijatuhkan, akan tetapi kelas pekerja tidak
memiliki program nyata dan organisasi yang boleh merebut kuasa ke tangan
mereka. Seorang pekerja pengangkutan memberitahu Al-Ahram: “Semenjak revolusi
kami telah diperintah oleh enam pemerintahan, dari pelbagai warna dan rupa.
Mereka mengambil alih dari sebuah pemerintah, menggantikannya, lalu
menjatuhkannya, menggantikannya dengan yang lain lagi, tetapi dasarnya tetap
sama. Yang berkuasa merampas, sedangkan yang miskin dikuburkan.”
Pekerja dan anak muda revolusioner akan terus
membincangkan arah revolusi yang terus berlanjutan ini. Sama halnya seperti
Revolusi Sepanyol pada tahun 1930an yang menjadi maju dan mundur akibat
kekuatan revolusioner dan kaunter revolusioner, Mesir juga mengalami pola
pasang surut dalam tiga tahun terakhir.
Pekerja perlu membina parti revolusionernya
sendiri untuk memperjuangkan hak pekerja dan masyarakat miskin serta komited
terhadap perubahan demokratik sosialis yang sebenar. Seruan sedemikian kepada
pekerja di seluruh Timur Tengah, Afrika Utara, dan dunia adalah perlu untuk menjatuhkan kuasa kapitalisme yang merupakan
penyebab utama kepada masalah kemiskinan, keselamatan, dan penindasan.
David Johnson, (CWI England dan Wales). Diterjemahkan
dari www.socialistworld.net
No comments:
Post a Comment